You are currently viewing Tanah-Tanah Kosong Akan Dimanfaatkan Sepenuhnya Untuk Keterjaminan Makanan – Zahid

Tanah-Tanah Kosong Akan Dimanfaatkan Sepenuhnya Untuk Keterjaminan Makanan – Zahid

- - iklan - -

11/3/2024 : Menurut laporan media Suara. TV, RISDA dan FELCRA akan memberikan komitmen untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi dalam memastikan tanah-tanah kosong dapat diusahakan agar program keterjaminan makanan dapat diteruskan.

Bukan itu sahaja, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, pelabur juga dijemput untuk menternak di tanah sedia ada.

Beliau memaklumkan, nilai keseluruhan bantuan di seluruh negara adalah RM20.02 juta dengan seramai 1,014 orang penerima manfaat.

Zahid turut memperincikan program-program keterjaminan makanan lain yang telah digerakkan antaranya pelaksanaan projek sedia ada di bawah Keterjaminan Makanan FELCRA Berhad adalah Projek Ternakan Ayam Pedaging secara Sistem Tertutup, Tanjung Seratus, Rompin, Pahang.

“Sebanyak 10 reban sedang dibina di lokasi tersebut dengan anggaran penghasilan pengeluaran sebanyak 300,000 ekor ayam sepusingan.

“Selain itu, projek ternakan lembu juga telah dilaksanakan secara Integrasi dan Fidlot di beberapa lokasi dengan keseluruhan bilangan ternakan sehingga Disember 2023 adalah sebanyak 2,355 ekor lembu.

“FELCRA Berhad juga mengeluarkan beras putih berjenama FELCRA Super Special Tempatan 5% (SST5) hasil tanaman sawah padi seluas 3,264 hektar yang diusahakan di Seberang Perak, Perak,” katanya ketika penggulungan perbahasan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan, bagi tahun 2022, hasil tanaman sawah padi yang diusahakan oleh FELCRA Berhad telah diproses kepada beras putih sebanyak 12,290 metrik tan beras putih tempatan.

“Program Agromakanan telah dilaksanakan oleh RISDA sejak tahun 2020 sehingga kini yang mensasarkan pekebun kecil memperoleh pendapatan tambahan selain dari hasil getah.

“Di antara projek Tanaman Jangka Pendek yang dilaksanakan adalah seperti fertigasi cili, nanas, pisang, jagung dan sayuran di pelbagai negeri.

“Keseluruhan bantuan bagi projek Tanaman Jangka Pendek di seluruh negara adalah RM34.37 juta dengan seramai 2,187 orang penerima manfaat.

“Bagi Tanaman Jangka Panjang adalah seperti kelapa matag, durian, limau kasturi dan vanila. Keseluruhan bantuan di seluruh negara bagi projek Tanaman Jangka Panjang adalah RM2.1 juta dengan seramai 105 orang penerima manfaat.

“Projek Akuakultur pula dilaksanakan seperti ikan air tawar dan udang galah,” katanya.
Jelas Zahid lagi, nilai keseluruhan bantuan di seluruh negara adalah RM4.70 juta dengan seramai 235 orang penerima manfaat.

“Manakala projek ternakan ada dilaksanakan contohnya di Temerloh iaitu projek itik penelur dan arnab pedaging dengan nilai bantuan RM110 ribu kepada 8 orang peserta pekebun kecil,” katanya.

Beliau menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib mencadangkan agar agensi yang memiliki dan mengurus sumber tanah negara seperti RISDA dan FELCRA termasuk kerajaan negeri untuk berganding bahu menguruskan polemik keterjaminan makanan.

 

Hantar blog ini kepada :