You are currently viewing Masalah Karat Isi Nangka Bakal Diselesaikan

Masalah Karat Isi Nangka Bakal Diselesaikan

Nangka, sejenis buah-buahan tropika yang digemari secara global atas sebab keenakan dan kemanisan isi buah serta berkhasiat. Di samping itu, ia juga berpotensi tinggi untuk dihasilkan sebagai makanan ringan. Di Malaysia, beberapa varieti popular telah ditanami dalam jumlah keluasan 5,514 ha ( tahun 2017) merangkumi J32 (Mantin), J33 (Tekam Yellow), J36 (Nangka Madu), J37 (Mastura), Subang Chap Boy (J28) dan J31 (NS 101). Di antara semua varieti ini, J33 paling banyak ditanami oleh penanam dalam negara kerana saiz buah yang sederhana serta kualiti isi buah yang rangup, manis, berwarna keemasan serta kurang berair. Kesemua ciri ini menepati kehendak pasaran sama ada domestik ataupun eksport.

Namun begitu, varieti J33 menghadapi satu fenomena yang dikenali sebagai karat isi nangka (jackfruit bronzing). Fenomena ini mula dikesan pada awal tahun 2010. Sehingga kini sebanyak 25.4 hektar tanaman J33 di Negeri Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka menghadapi fenomena ini. Karat isi nangka berbentuk bintik dan jalur perang pada ulas buah dan juga jerami nangka. Keadaan ini menurunkan nilai buah di samping menyebabkan isi buah kurang manis, sedikit keras serta kelat rasanya. Walaupun masalah ini berlaku juga pada varieti nangka lain secara umum, tetapi J33 lebih lumrah mengalami fenomena ini berbanding varieti lain ekoran daya rintangannya yang lebih rendah dalam konteks ini.


Memandangkan masalah ini memberi kesan negatif terhadap pemasaran dan nilai buah sehingga menjejaskan pendapatan sewajarnya pada penanam, pihak MARDI, Jabatan Pertanian dan juga institusi pengajian tinggi tempatan telah mengambil langkah mengenal pasti punca masalah tersebut. Bagi Jabatan Pertanian, penemuan kulat Rhizopus sp. telah dikesan dalam isi karat nangka manakala MARDI menjumpai bakteria Pantoea sp dalam buah nangka yang diserangi fenomena ini. Ada pihak swasta berpendapat kekerapan hujan menyebabkan air bertakung di bahagian pangkal buah yang seringnya mempunyai lekukan sehingga menyebabkan kemasukan patogen ke dalam isi buah nangka. Ada pihak juga mengatakan ia berpunca daripada tanah asal yang sudah mempunyai penyakit berkenaan. Dengan kata lain, pelbagai perspektif telah dikemukakan dengan harapan menyelesaikannya dalam masa tersingkat.

Pada hakikat, nangka di Filipina juga menghadapi masalah serupa. Kumpulan pakar di situ selepas menjalankan kajian menjumpai kehadiran bakteria Pantoea stewartii di bahagian isi yang diserangi. Kajian inokulasi spesies bakteria ini ke atas buah yang sihat menunjukkan ia berupaya menyebabkan fenomena tersebut. Dalam keadaan demikian, maka peranan bakteria tersebut dalam kaitannya dengan karat isi buah telah disahkan. Berasaskan penemuan ini, pihak MARDI dan Jabatan Pertanian Malaysia turut memperolehi hasil kajian serupa dalam konteks Malaysia. Langkah selanjutnya oleh pihak-pihak ini ialah pencarian kaedah penyelesaian sama ada melalui kawalan kimia ataupun kaedah lain seperti kaedah kultur melibatkan pengamalan pertanian baik termasuk penjagaan kebersihan ladang, pengurangan masalah air bertakung, pembajaan dan sebagainya. Kajian lanjut masih dijalankan dan diyakini tidak lama lagi, pendekatan kawalan yang cekap terhadap fenomena karat isi nangka dapat diselesaikan secara berpanjangan.

 

Bahan rujukan :

Nur Sulastri Jaffar et al., “Fenomena Karat Isi Nangka”, Agromedia, Khas Buah-Buahan 2018, MARDI.

Hantar blog ini kepada :