You are currently viewing Cempedak, Tanaman Buah-Buahan Berbaloi Untuk Ditanam

Cempedak, Tanaman Buah-Buahan Berbaloi Untuk Ditanam

Secara umum, cempedak dikategorikan sebagai tanaman buah-buahan tropika yang lebih mudah diurus berbanding buah-buahan lain termasuk nangka dari segi kadar perumah perosak yang lebih rendah. Bagaimanapun, kawalan di sisi ini masih diperlukan secara semburan racun pada setiap 10 hari sehingga buah dibalutkan, cuma pembabitan kos adalah lebih rendah.

Beberapa varieti yang biasa telah diusahakan oleh penanam tempatan termasuk CH 28, CH 30 dan CH 33 yang mana CH 30 merupakan kaltivar bersaiz lebih besar sehingga 4kg/buah berbanding yang lain setakat 2.5kg/buah secara purata. Cempedak durian dan cempedak Perak Champion jugalah antara kaltivar ditanam oleh pengusaha tanaman.

Antara sebab penting yang telah merangsang pengusha tanaman menceburi ke bidang penanaman ini adalah pengeluaran hasil yang tinggi. Bagi pokok cempedak berumur 10 tahun umpamanya, sebanyak 70 – 80 buah boleh diperolehi dengan hampir 90% buah itu berupa gred A yang mampu mendapat harga kebun yang baik baik sehingga melebihi RM3.00/kg bergantung kepada situasi pasaran semasa.

Menurut sumber, tanaman cempedak akan mula mengeluarkan hasil di peringkat umur 4 tahun selepas ditanam. Hasil buah akan meningkat setiap tahun. Bagaimanapun, ia merupakan tanaman bermusim yang mana pembungaan hanya akan berlaku semasa musim kering. Dengan kata lain, di kawasan yang bermusim kering dua kali setahun maka pembungaan dan pembuahan akan berlaku dua kali setahun. Di luar musim, pengeluaran hasil walaupun ada tetapi dengan kuantiti yang amat sedikit. Musim besar cempedak biasanya berada di antara bulan Jun – Ogos dalam setahun dan kebiasaan mempunyai dua musim pembuahan setahun.

Apabila buah cempedak berumur 1 1⁄2 bulan, ia hendaklah dibalutkan dengan suratkhabar lama untuk mengelakkan serangan serangga perosak khususnya lalat buah. Inilah kerja ladang yang tidak dapat dielakkan supaya menjamin kualiti buah. Bagi buah yang telah dibalut, warna kulit adalah kuning cerah manakala yang tidak dibalut berwarna hijau. Masa memulakan balutan buah juga bergantung kepada amalan masing-masing tetapi sekiranya buah dibalut di peringkat terlalu kecil, kecacatan buah berikutnya tidak akan dapat dikesan dan keadaan ini merupakan satu pembajiran sumber pada pokok.

Monyet adalah antara perosak haiwan yang boleh menyebabkan kerugian kepada pengusaha tanaman. Binatang ini selain mengoyakkan balutan suratkhabar pada buah, ia juga akan makan dan merosakkan buah. Oleh yang demikian, di kawasan yang menghadapi serangan monyet, pemasangan jaring di tepi pagar akan memberi kesan kawalan tertentu walaupun kaedah kawalan ini tidak dapat pula mengelakkan buah dicuri oleh pencuri ketika harga pasaran cempedak adalah baik. Kedua-dua kerugian ini ada kala mencapai 10% daripada jumlah hasil di kebun.

Untuk mendapat hasil buah sewajarnya, pokok berumur 4 tahun dan ke atas dicadangkan ditaburi baja kompaun 12/12/17+TE mulai kadar 2.0kg/pokok/tahun dipecahkan kepada 3-4 pusingan kemudian meningkat sehingga umur 8 tahun ke atas dengan kadar baja 5.00kg/pokok/tahun dalam 3-4 pusingan setahun. Baja organik juga boleh digunakan sebagai pengganti baja kimia tetapi kuantiti diperlukan adalah jauh lebih tinggi iaitu di antara 15 40kg/pokok/tahun bagi pokok berumur 4 hingga 8 tahun ke atas dipecahkan kepada 3 – 4 pusingan.

Hantar blog ini kepada :