You are currently viewing Kewibawaan LALAT Mengawal Serangan Rumput Siam

Kewibawaan LALAT Mengawal Serangan Rumput Siam

  • Post category:Blog

Rumput siam yang juga dikenali rumput kapal terbang (Chromolaena odorata) adalah sejenis rumpai tropika berbentuk pokok renek, berdaun lebar dan berbunga. la sering dijumpai di kawasan lapang dan tumbuh dengan cergas. Daunya bertoksik justeru tidak sesuai dimakan oleh ternakan. Saingannya dengan tanaman untuk mendapatkan nutrien, ruang, cahaya matahari dan air menyebabkan ia menjadi sasaran penebangan oleh pengusaha tanaman. Jika kadar serangannya melibatkan kawasan yang kecil, maka kaedah menebang dengan parang atau sabit sebanyak 4 kali setahun dapat memberi kesan kawalan.

Namun, kawalan untuk kawasan serangan yang besar hendaklah menggunakan cara selain penebangan seperti racun rumpai 2,4-D amine 69.5% (56ml/18 liter air atau 29.6% pada kadar 60ml/18 liter air) atau Glyphosate IPA 41% (20ml/18 liter air) adalah cara kawalan kimia yang umum digunakan.

Selain itu, rumput siam boleh juga dikawal dengan agen biologi iaitu sejenis lalat dari spesies Procecidochares connexa. Lalat ini amat gemar terhadap rumput siam manakala kehadirannya pada tumbuhan lain amat jarang dijumpai. Kajian yang dijalankan menunjukkan antara 76 spesies dari 29 famili tumbuhan, lalat ini tidak dijumpai, sebaliknya hanya wujud pada rumput siam sahaja.

Spesies lalat ini akan bertelur di bahagian kudup tunas rumput siam. Larva yang menetas selepas itu akan masuk ke dalam batang atau dahan pokok kemudian membentuk nodul di bahagian-bahagian tersebut. Proses ini mengambil masa kira-kira 14 hari dari masa peneluran. Nodul-nodul ini akan semakin besar. Sepohon rumput siam boleh ditumbuhi dengan banyak nodul seumpama ini. Larva akan mengambil tisu tumbuhan sebagai bahan makanan dan menghabiskan kitaran hidupnya di dalam sehingga menjadi lalat dewasa. Dalam tempoh masa ini, tumbesaran rumput siam akan terencat.

Menurut kajian, 30 hari selepas peneluran, kadar peninggian rumput siam menurun 40.8% iaitu 38.37cm sahaja berbanding rumput siam yang normal pada pada ketinggian 64.9cm. Peninggian rumput siam yang diserang akan berterusan mengikut corak ini.

Selain itu, rumput siam yang ditumbuhi nodul akan mengalami pengurangan jumlah dahan sebanyak 65.5%, kadar bunga juga kurang sebanyak 48.4% menunjukkan kadar pembiakan rumput akan terencat secara signifikan. Lalat spesies ini akan terus membiak di rumpun rumput dari generasi ke generasi dan keadaan ini akan membawa kesan kawalan yang nyata terhadap rumpai ini. Pada tahun 1995, Kerajaan Indonesia telah membenarkan spesies lalat ini dilepaskan ke kawasan Sumatera, Jawa dan Sulawesi untuk mengawal rumput siam di situ.

 

Bahan rujukan :

1. B.S. Bhumannavar and S. Ramani, ” Introduction of Cecidochares connexa (Macquart) (Diptera Tephritidae) into India for the Biological Control of Chromolaena odorata.”, India. 2. Tracy A. Horner, “Field Release of Cecidochares (Procecidochares) connexa Macquart (Diptera: Tephritidae), A Non-Indigeneous, Gall-Making Fly for Control of Siem Weed, Chromolaena odorata (L.) King and Robinson (Asteraceae) in Guam and the Northern Mariana Islands”. USDA.
3. Chung Gait Fee et al, Pictorial Guide to Common Weeds of Plantations adn Their Control, ACT, 2013.
4. A. Sipayung and R. Desmier De Chenon, “New Biological Agent for the Control of the Weed Chromolaena odorata in Indonesia (Procecidochares connexa, Diptera Tephritidae), 1996 PIPOC, PORIM.

 

Sila kongsi kepada kawan :