Ulat bungkus, sejenis serangga perosak di ladang sawit di Malaysia, telah menyerang keluasan sawit melebihi 100,000 ha pada 2015. Justeru itu, ia dianggap sebagai perosak utama untuk diperangi.
Demi memperolehi hasil kawalan yang lebih optimum, kaedah kawalan yang digunakan hendaklah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam kawalan perosak ini. Jika kawalan dijalankan tanpa mengikut SOP, kesannya mungkin rendah kerana serangga tidak dapat dihapuskan dengan sempurna dan menyebabkan serangan bangkit semula dalam tempoh masa yang singkat.
Di Malaysia, spesies ulat bungkus dibahagikan kepada 3 jenis iaitu Metisa plana, Pteroma pendula dan Mahasena corbetti. Kesemua spesies ini merosakkan daun sawit dan boleh menyebabkan penurunan hasil sawit sebanyak 40% dalam tempoh dua tahun. Permukaan daun akan dimakannya dan digunakan untuk membuat sarung. Daun akan reput dan kering. Tiga cara penyebaran ulat bungkus telah dikenal pasti iaitu melalui angin, daun sawit bersentuhan dan bawaan jentera ladang. Serangan perosak ini lebih tertumpu di Perak dan Johor. Serangan perosak ini mesti dikawal dari peringkat awal sebelum ia merebak ke kawasan sekitaran.
Inilah misi yang termaktub dalam SOP. Selain itu, SOP juga memberatkan penggunaan kaedah pengurusan perosak bersepadu (IPM) secara integrasi dengan penggunaan agen biologi (Bacillus thuringiensis), tumbuhan dan serangga bermanfaat, pemasangan peangkap feromon dan penggunaan racun kimia yang selektif.
Sebagai permulaan, zon kawasan serangan dan zon kawasan penampan hendaklah ditentukan. Zon serangan ditakrifkan sebagai kawasan yang sudah terkesan serangan ulat bungkus secara visual, manakala kawasan penampan ialah kawasan brsebelahan yang perlu dipantau dan diberi kawalan sekiranya perlu. Zon ini meliputi sekurang-kurangnya berjejari 500m daripada sempadan zon serangan (Rajah 1).
Secara umumnya, aktiviti SOP tersebut dibahagikan kepada 3 bidang kecil iaitu 1. bancian status perosak; 2. pelaksanaan operasi kawalan ulat bungkus dan 3. penerangan dan penghebahan.
Bancian Status Perosak
Bancian dijalankan untuk mengenal pasti spesies ulat bungkus, mengesan keluasan serangan dan memantau populasi perosak tersebut di sesuatu kawasan. Bancian populasi dijalankan sekurang-kurangnya 1% daripada kawasan yang diserang jika kawasan tersebut berskala besar. Sebaliknya jika kawasan serangan terebut adalah kecil, maka satu pokok dibanci bagi setiap 10 pokok atau 10% sudah memadai.
Bancian dijalankan dengan memotong pelepah bersudut 45 darjah atau pelepah teratas yang mempunyai kesan serangan ulat bungkus (rajah 2). Spesies ulat bungkus perlu dikenal pasti dan direkodkan termasuk juga bilangan ulat bungkus mengikut peringkat kitar hidupnya di kira dan direkod. Bancian semula perlu dibuat selepas 14 hari kerja-kerja kawalan telah dijalankan.
Pelaksanaan Kawalan Ulat Bungkus
Kawasan operasi kawalan adalah meliputi semua pokok sawit yang terdapat di zon serangan dan zon penampan. Kawalan dilakukan apabila telur mula menetas menjadi larva peringkat pertama (L1). Apabila lebih daripada 90% ulat bungkus berada pada peringkat larva awal (L1-L3) bagi spesies Metisa plana (rajah 3) dan L1 bagi spesies Pteroma pendula (rajah 4 )serta jumlahnya melebihi paras ambang ekonomi (economic threshold level, ETL), kawalan segera hendaklah dijalankan.
ETL bagi ulat bungkus spesies Pteroma pendula dan Metisa plana ialah 10 ekor larva hidup pada setiap pelepah. ETL bagi ulat bungkus spesies besar Mahasena corbetti adalah 5 ekor larva hidup pada setiap pelepah (rajah 5). Kawalan hendaklah ditangguhkan selama 3 – 4 minggu sekiranya 70 – 80% populasi ulat bungkus sudah berada pada peringkat larva lewat atau pupa.
Pengurusan Perosak Bersepadu
A) Kawalan Menggunakan Biopestisid Berasaskan Bacillus thuriniensis (Bt)
Bt ialah sejenis bakteria bermanfaat yang mempunyai toksin hablur yang spesifik dan berupaya membunuh serangga seperti ulat bungkus. Bahan ini adalah mesra alam dan tidak mendatangkan bahaya terhadap pengguna, alam sekitar serta ekosistem.
Bt boleh digunakan dengan memakai penyembur galas jika pokok masih muda di bawah 4 tahun serta untuk kawalan keluasan kecil di bawah 10 ha (rajah 6). Bancuhan produk ini dilakukan mengikut label serta disembur pada daun pokok dengan penyembur galas. Semburan dijalankan pada kadar 0.3 – 0.8 liter supaya meliputi keseluruhan permukaan atas daun.
Kawalan dengan Bt boleh dijalankan dengan penyembur berkabus yang diletakkan pada jentera traktor berkuasa 40 hp (rajah 7). Setiap tangki yang siap disediakan dengan larutan bancuhan boleh merangkumi keluasan 10 ha sehari mengikut keadaan cuaca dan had laju traktor itu. Kadar semburan ialah 60 liter bancuhan produk Bt untuk 1 ha bagi pokok muda dan matang. Semburan ini tidak sesuai untuk kawasan gambut, berbukit dan curam.
Semburan udara menggunakan kapal terbang adalah cara yang diterapkan untuk keluasan melebihi 100 ha kerana ia berupaya menyembur keluasan 1,000 ha sehari. Semburan 1,000 liter adalah cukup untuk merangkumi keluasan 33 ha (rajah 8). Kelajuan angin hendaklah dikenal pasti, iaitu kurang daripada 10knot untuk mendapat kesan semburan berkesan. Ketinggian kapal terbang semasa semburan disyorkan pada 3 – 5 mdari atas kanopi sawit. Jika hujan tiba pada 3 4 jam selepas semburan, maka semburan perlu dilakukan sekali lagi kerana kesan sebelumnya telah diturunkan oleh air hujan tersebut. Pendek kata, sebaran air bancuhan di permukaan daun hendaklah melebihi 80% untuk mendapat kesan yang baik, justeru pilihan nozel hendaklah dilakukan mengikut kesesuaian. Jadual 1 menunjukkan dos bancuhan untuk ketiga-tiga kaedah Bt ini.
B) Pemasangan Perangkap Feromon
Perangkap feromon dipasang di ladang sawit untuk tujuan menangkap rama-rama jantan dewasa ulat bungkus.
Rama-rama jantan ini akan tertarik oleh ulat bungkus betina hidup reseptif yang diletakkan pada perangkap feromon sebagai umpan. Kaedah ini akan mengurangkan populasi ulat bungkus melalui pengurangan kadar pembiakannya. Ulat bungkus betina reseptif boleh diperolehi di ladang sawit apabila kepala ulat ini kelihatan keluar dan masuk di hujung bungkus pupa terbuka (rajah 9).
Langkah-Langkah Pemasangan Perangkap Feromon
1. Pacak dua batang kayu berukuran 2 m panjang di kawasan longgokan pelepah. Sungkupkan plastik putih berukuran 20 cm x 30 cm di tenagh-tengah antara dua batang kayu tersebut (rajah 10).
2. Sembur plastik tersebut dengan gam polybutena.
3. Gunakan empat ekor betina reseptif untuk setiap perangkap dengan dua betina reseptif pada setiap lubang di plastik (rajah 10).
4. Perangkap diletakkan dalam 3 transek per hektar. Jarak antara setiap transek ialah selang dua baris longgokan pelepah dan 3 laluan tuai (rajah 11 dan 12).
5. Jarak di antara setiap perangkap adalah di antara 20 m hingga 30 m.
C) Penanaman Tanaman Bermanfaat
Cassia cobanensis dan Turnera sp. merupakan dua spesies tumbuhan bermanfaat. la disyorkan ditanam bersama-sama pada nisbah 60 : 40 per plot. Tumbuhan ini menyediakan sumber makanan serta tempatan perlindungan bagi musuh semulajadi ulat bungkus. Jarak untuk tumbuhan bermanfaat ini disyorkan pada 60 cm x 60 cm. Selain daripada dua jenis tumbuhan ini, spesies lain termasuk Euphorbia heterophylla dan Antigonon leptopus juga boleh ditanam (rajah 13).
Tumbuhan bermanfaat ini ditanam di tepi jalan besar serta di tepi parit yang menerima pancaran cahaya matahari dengan baik. Tumbuhan ini senang ditanam serta senang hidup, ia ditanam melalui biji benih ataupun keratan batang. Lakaran penanamannya adalah seperti rajah 14.
Kawalan Menggunakan Racun Kimia
Racun kimia untuk mengawal ulat Rajah 14: Lokasi plot penanaman tanaman bermanfaat. bungkus hanya dibenarkan untuk dilakukan melalui suntikan batang dengan racun methamidophos, monocrotophos atau acephate sahaja (rajah 15 dan jadual 2). Penggunaan racun sistemik alternatif yang lebih selamat adalah digalakkan. Khidmat nasihat dari MPOB dan Jabatan Pertanian perlu didapatkan sebelum menggunakan kaedah ini. Racun berspektrum luas seperti cypermethrin hendaklah dielakkan kerana berbahaya terhadap musuh semulajadi ulat bungkus dan menyebabkan serangan lebih teruk pada masa akan datang.
Penghebahan Kawalan Ulat Bungkus
Penghebahan mengenai serangan ulat bungkus hendaklah diberikan untuk menyampaikan maklumat berkenaan kepada orang ramai. la juga bertujuan memberi kefahaman dan latihan praktikal berkenaaan teknik-teknik pengurusan ulat bungkus. Pelaksanaan penghebahan ini boleh dilakukan melalui media cetak, internet, roadshow dan lain-lain yang mana maklumat berkenaan dengan ulat bungkus dapat disebarkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap perosak ini.
Sumber maklumat :
Garis Panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kawalan Ulat Bungkus, MPOB dan Jabatan Pertanaian, 2016.