FGV Fertiliser Sdn Bhd
Tel : +607-251 2801/2802/2803
Fax : +607-251 1810
E-mail : fertmarketing@fgvholdings.com
Website: www.fgvfertiliser.com.my
Tanah gambut mempunyai struktur yang lembut dan lantaran itu daya pegangannya adalah rendah. Di samping itu, ia mengandungi bahan organik separa reput yang tinggi dan menyebabkannya mudah terbakar. Langkah-langkah tertentu perlu diambil sekiranya kawasan berkenaan dirancangkan untuk ditanami kelapa sawit. Salah satu kaedah bagi meminimumkan gejala tersebut adalah dengan melitupi kawasan itu dengan tumbuhan litup bumi.
Pada hakikat, pelbagai jenis tumbuhan litup bumi telah digunakan khususnya di ladang kelapa sawit bertanah mineral. Tumbuh- tumbuhan litup bumi ini termasuklah Pueraria javanica, P. phaseoloides, Centrosema pubescens, Calopogonium caeruleum, Calopogonium mucunoides dan Mucuna bracteata. Pada amnya, tumbuh-tumbuhan ini telah berjaya dibangunkan atas tanah mineral, tetapi di atas tanah gambut pula, Mucuna bracteata telah dikenal pasti sebagai tumbuhan litup bumi yang lebih sesuai untuk ditanami kerana kadar litupannya yang lebih baik pada jangka masa panjang jika dibandingkan dengan tumbuhan litup bumi yang lain.
Penemuan ini telah diperolehi melalui kajian MPOB di Stesen Penyelidikan MPOB Teluk Intan, Perak yang dimulakan pada tahun 2007. Zon kajian tersebut adalah kawasan penanaman kelapa sawit generasi kedua yang mempunyai kedalaman gambut antara 150 – 200cm. Zon ini dibahagikan kepada empat plot (disebut sebagai rawatan dalam jadual 1) 1) untuk tujuan perbandingan prestasi masing-masing. Keempat- empat plot ini adalah seperti disenaraikan di jadual 1.
Perbandingan Prestasi Litupan
Daripada kajian tersebut, didapati bahawa kadar litupan permulaan bagi tumbuhan litup bumi konvensional (C2) adalah lebih cepat daripada Mucuna bracteata (C3) atau kombinasi Mucuna bracteata + Pueraria javanica + Centrosema pubescens (C4). Selepas ditanam 6 bulan, plot C2 mencatatkan 80% litupan jika dibandingkan dengan C3 dan C4 yang masing-masing menunjukkan litupan 31% dan 32%.
Namun begitu, C2 kemudian menunjukkan litupan yang menurun iaitu kepada 50% pada 12 bulan lepas tanam manakala C3 dan C4 mencatatkan lebih kurang 60% litupan dalam tempoh masa yang sama dan kemudian meningkat kepada 80% pada 24 bulan lepas tanam.
Dari segi penghasilan buah awal pula, didapati plot C2, C3 dan C4 masing-masing menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada plot terkawal (C1) yang tidak dilitupi dengan sebarang tumbuhan litup bumi. Begitu juga dengan pertumbuhan vegetatif tersebut yang turut menunjukkan prestasi lebih baik.
Memandangkan Mucuna bracteata menyesyorkan prestasi yang lebih baik dari segi litupannya, maka ia adalah tumbuhan litup bumi yang sesuai untuk digunakan di atas kawasan gambut.
Sumber Maklumat :
Hasnol Othman et al, “Best Management Practices For Oil Palm Cultivation On Peat: Mucuna bracteata As Ground Cover Crop”, MPOB TT No. 501, MPOB Transfer Of Technology Seminar 2012.