You are currently viewing Penanaman Sawit Di Mizoram, India Satu Malapetaka

Penanaman Sawit Di Mizoram, India Satu Malapetaka

  • Post category:Blog

Pada tahun 2021, kabinet kesatuan India memperuntukkan RM6.2 bilion untuk pembiayaan rancangan pengeluaran minyak sayuran sawit kebangsaan di negaranya. Usaha tersebut tertumpu di India termasuk wilayah Timur Laut Andaman, Nicobar dan kepulauan Mizoram. Wilayah ini kaya dengan khazanah semula jadi termasuk hutan semula jadi, biodiversiti binatang liar, tumbuhan herba serta tumbuhan makanan liar. Sepatutnya wilayah sebegini tidak harus ditanami dengan tanaman komersial seperti sawit kerana ia melibatkan hutan dan penebangan selanjutnya mempengaruhi biodiversiti di situ.

Sejak 2004, di pengalaman Mizoram dalam mengusahakan tanaman sawit terbukti satu malapetaka. Ladang sawit di situ menyusutkan kesuburan tanah serta simpanan airnya. Tiada infrastruktur pengangkutan dibangunkan, begitu juga kilang minyak tidak wujud. Hasil buah tandan segar yang sudah dituai dibiar reput. Usaha menukar ke tanaman lain tidak berjaya kerana tanah sudah kehilangan kesuburan. Tiga syarikat perladangan sawit di kawasan Mizoram tidak dipertanggungjawabkan atas kegagalan ini. Penduduk di situ alpa kedana.

Beberapa faktor telah dikenal pasti sebagai punca malapetaka tersebut, seperti berikut:

1. Pemindahan hak pegangan tanah dari tangan komuniti kepada syarikat swasta menyebabkan komuniti kehilangan kuasa bersuara. Tanah kelihatan sudah “terkunci” oleh tanaman sawit dan ramai terjerumus ke alam kemiskinan serta terpaksa menjual tanah mereka.

2. Peta yang dibentangkan oleh Organisasi Makanan dan Pertanian menunjukkan lebih 90% topografi atau bentuk muka bumi di kawasan Timur Laut India adalah berbukit-bukit justeru tidak sesuai untuk penanaman sawit.

3. Sawit adalah tanaman pengaut air yang kuat. Dianggarkan setiap pokok sawit memerlukan 250 – 300 liter air sehari. Iklim di situ hanya lembap basah untuk 4 bulan dalam setahun. Keadaan ini menyebabkan penduduk menghadapi masalah kekurangan air yang kritikal. Tambahan, tanaman ini juga memerlukan baja dan racun kimia yang banyak yang kelihatan tidak sanggup ditanggung oleh penanam di situ. Akibatnya produktiviti selanjutnya menurun.

4. Infrastruktur tidak sempurna di kawasan itu juga sebab utama kegagalan penanaman sawit di kawasan tersebut. Buah tandan segar selepas dituai hendaklah dihantar ke kilang selewatnya-lewatnya dalam tempoh 48 jam. Memandangkan infrastruktur pengangkutan amat lemah di situ justeru menyebabkan pekebun mengalami kerugian.

5. Kawasan itu lebih sesuai diusahakan dengan tanaman campuran dan bukannya tanaman tunggal. Sebelum itu, beberapa tanaman tunggal seperti kopi, teh, pinang, pokok kayu jati dan buah pelaga telah diusahakan di situ. Lama kelamaan, tanah meleset dan kurang subur lagi. Tambahan, bentuk muka bumi di situ pada hakikat memang kurang sesuai untuk tanaman sawit.

6. Penduduk di situ tidak diberi tahu mengenai risiko di sebalik menanam tanaman tunggal seperti sawit. Banyak aspek seperti kos buruh, impaks alam sekitar, keperluan baja dan racun dan sebagainya adalah perkara-perkara yang menyengsarakan kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi penduduk tidak dimaklumkan mengenai alternatif lain untuk mendapat sumber sara hidup yang lain.

Usaha India untuk mengurangkan import minyak sayuran melalui penanaman sawit sendiri dijangka akan menghadapi cabaran yang sengit. Tanaman ini walaupun tidak sukar untuk ditanam, namun aspek iklim, topografi, kesediaan air, kesanggupan aplikasi baja dan racun, infrastruktur jalan dan kilang, adalah prasyarat penting untuk menjayakannya. Ini belum menceritakan aspek agronomi yang sesuai untuk mengusahakan tanaman ini serta aspek pembiakbakaan anak benih berkualiti. Mudah dipandang tetapi tidak mudah dikerja dan disempurnakan. Inilah kata penutupnya.

 

Sumber maklumat :

Rupa Chinai, Oil palm plantations prove to be a disaster in Mizoram, 2023.

Sila kongsi kepada kawan :