Kimagri Corporation Sdn Bhd
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com
Website: www.kimagri.com
Melon wangi termasuk tembikai dan rock melon sering diserangi serangga, di antaranya yang utama ialah kutu trips, afid dan ulat ratus.
1. Kutu trips (Thrips palmi Karny) biasanya bersembunyi di belakang daun dan tunas dan menggunakan organ mulut menghisap cecair di bahagian tersebut menyebabkan daun dan tunas layu. Apabila jumlahnya sudah banyak, pokok yang diserang akan layu dan mati. Di peringkat awal serangan, jumlah bunga dan putik buah akan berkurangan. Kadar serangan berada di tahap rendah hingga tinggi bergantung kepada keadaan cuaca.
Satu ekor kutu trips mampu menghasilkan 50 biji telur. Peringkat telur ke peringkat pupa hanya mengambil 10 – 18 hari. Tempoh matang serangga ini adalah di antara 12 – 15 hari. Kutu trips merupakan sejenis serangga kecil berwarna dari kuning cetek sehingga putih. Kawalan ke atas serangga ini hendaklah cepat sebelum jumlahnya bertambah banyak dan mendatangkan kerugian kepada petani. Penyemburan racun serangga yang biasa diamalkan ialah imidacloprid (contoh Confidor 200 SL, 3.7ml/10liter air) disembur secara berselang 5 – 7 hari.
2. Afid (Aphis gossypii Glover) satu lagi serangga perosak, selain menyerang melon wangi, ia juga menyerang jambu batu, limau dan durian belanda. Sama seperti kutu trips, tempat persembunyiannya adalah di belakang daun dan tunas pokok serta menghisap cecairnya di situ menyebabkan bahagian itu layu. Serangga ini malahan mengeluarkan sejenis manisan yang akan mengundang kewujudan kulapuk hitam dan menyebabkan gangguan ke atas fotosintesis.
Afid didapati juga menyebar sejenis virus. Dalam masa yang singkat, virus ini mampu menghapuskan tanaman tembikai yang diusahakan petani. Cara afid menyebar virus ini adalah melalui penghisapan cecair pokok sakit kemudian dijangkitkan pada pokok sihat sewaktu melompat dan menghisap cecair di situ. Pokok yang diserangi virus ini tidak dapat mengembangkan daun serta daun menjadi kerinting. Tumbesaran pokok menjadi tegak dan kaku. Tiada rawatan untuk serangan virus ini melainkan pokok dicabut dan dibakar. Kawasan serangan selepas itu dibiar kosong untuk memutuskan rantaiannya sebelum boleh ditanam semula.
Afid mudah dibezakan daripada kutu trips kerana badannya berwarna kuning sehingga hijau gelap serta mempunyai kelapa berwarna hitam. Peringkat larva dan dewasa afid sama-sama menyerang pokok. Petani boleh menggunakan racun serangga untuk mengawalnya, seperti fention (contoh Lebaycid, 10g/10 liter air), chlorpyrifos (contoh Zesban, 6ml/4.5 liter air), dimethoate (contoh Dimet 40, 5ml/4.5 liter air), carbaryl (contoh Sevin 85 S, 9g/4.5 liter air) dan acetamiprid (contoh Mospilan, 7.5ml/4.5 liter air). Afid biasanya lebih tertarik oleh warna kuning, justeru tunas dan daun muda yang amnya berwarna kuning hijau menjadi sasaran serangan berbanding daun tua yang berwarna hijau tua.
3. Ulat Ratus (Spodoptera litura Fabricius) selain menyerang melon wangi, ia juga perosak terhadap tanaman pisang, tembikai dan kubis. Apabila populasinya sudah banyak, petani akan mengalami kerugian besar kerana serangga ini berupaya mengunyah daun tanaman pada kadar yang cepat sehingga meninggalkan tulang daun sahaja. Ulat ratus juga menggoris permukaan putik buah menyebabkan putik tersebut gugur. Buah yang telah diserang akan meninggalkan bekas serangan yang hodoh di permukaannya. Ulat ratus berasal dari telur sejenis kupu-kupu yang hanya aktif pada waktu malam. Racun serangga yang sesuai untuk menangani serangga ini termasuk fenvalerate (contoh Sumicidin, 15ml/10 liter air), trichlorfon (contoh Dipterex 95 EC, 20g/10 liter air) atau cartap hydrochloride (contoh Padan, 10g/10 liter air) disembur pada pokok secara berselang 7 – 10 hari.
Bahan rujukan :
Ithnin Badri et al., Serangga Perosak Buah-Buahan Tropika Malaysia, MARDI, 2008.
Union Harvest (M) Sdn Bhd
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com