Di Malaysia, terdapat lebih 370 spesies buah-buahan boleh dimakan. Sebahagiannya telah ditanami secara komersial, yang lain belum tetapi masih boleh dijumpai di hutan. Di antaranya termasuk 60 – 70 spesies buah-buahan nadir. Buah-buahan nadir dimaksudkan sebagai buah yang jarang-jarang dijumpai dan sekali sekala boleh ditemui di mana-mana tempat sama ada di kawasan perkampungan, dusun atau dalam hutan. Buah nadir juga ada kelebihannya, cuma kelebihan itu jarang didedahkan sehingga orang ramai kurang mengenalinya.
Kebanyakan spesies buah nadir boleh dimakan segar. Buah-buahan ini adalah seperti kuini, kundang, remia, pulasan, tampoi, cerapu, rambai, salak, jentik-jentik, kerian, delima, rokam, binjai, mata kucing, kedondong, sentul, nona, lanjut, nam-nam dan semua jenis jambu. Selain mempunyai kelebihan dimakan segar, buah-buahan nadir juga berpotensi untuk diproses, seperti belimbing buluh, cermai, buah melaka, buah pala, kelubi, salak, sentul, kundang, remia, asam jawa dan rokam masam.
Tambahan, buah nadir juga sering digunakan sebagai ulam dan sayuran. Buah nadir yang sesuai dibuat ulam ialah petai, jering, kerdas dan putat, manakala yang sesuai untuk dimasak sebagai sayuran adalah gajus, sukun, kulur,sentul, ara dan belimbing buluh. Pada hakikat, pelbagai kegunaan buah nadir telah dikenal pasti termasuk juga sebagai perasa asam untuk gulai dan masakan lain, umpamanya buah nadir asam gelugur, bacang, pauh, kundang, kedondong, limu nipis, limau kasturi, sepam dan sebagainya.
Ada kala bahagian-bahagian tertentu pokok buah nadir turut digunakan dalam masakan, contoh pucuk gajus dan putat boleh dibuat ulam manakala kulit buah rambai dibuat gulai dan pucuk melinjau dimasak dan dimakan dengan nasi. Pucuk salam pula digunakan sebagai perasa dalam masakan.
Dari segi khasiat, buah nadir seperti juga buah-buahan lain yang biasa dijumpai di pasaran, adalah kaya dengan kandungan vitamin, unsur mineral serta asid organik yang dapat memanfaatkan kesihatan badan. Umpamanya buah delima, bilak, gelinggai dan gajus mengandungi vitamin B2 yang diperlukan untuk meningkatkan selera makan serta berfungsi mengelak daripada sakit tekak, lidah dan kulit.
Dari segi khasiat ubatan pula, beberapa jenis buah nadir didapati memiliki fungsi tersebut, seperti gajus, delima, belimbing masam, asam gelugur, asam jawa, buah melaka, buah pala, wampi, petai, jering dan kerdas. Antara buah-buahan nadir ini, sebahagian telah dirumus menjadi produk perubatan tradisional. Sehubungan itu, bahagian-bahagian tertentu pada pokok buah nadir juga berfungsi perubatan. Misalnya daun gajus boleh menyembuhkan ulser di mulut dan mengurangkan tekanan darah tinggi. Biji kerian pula dapat mengawal penyakit kencing manis. Daun pokok ara juga sama.
Pokok buah nadir juga ditanam sebagai tumbuhan hiasan di laman rumah atau taman bergantung kepada kesediaan ruang yang ada. Bagi laman rumah, pokok yang mempunyai kanopi kecil sangat sesuai, seperti cermai, jambu bertih, limau pagar, nam-nam,kedondong kerdil, nona, kerandang dan delima. Pokok yang mempunyai kanopi besar seperti rambai, kundang, binjai, bacang pula sesuai untuk taman yang luas. Selain dapat memberi teduhan kepada orang ramai, hasil buah juga boleh dinikmati atau digunakan dalam masakan.
Buah-buahan nadir berpotensi digunakan sebagai pokok penanti dalam pembiakbakaan yang melibatkan penambahbaikan genetik buah-buahan komersial yang sedia ada. Umumnya, langkah penambaikan genetik ini akan meningkatkan daya rintangan penyakit serta memendekkan tempoh juvenil pokok buah-buahan komersial. Usaha pemuliharaan buah-buahan ini adalah perlu, kalau tidak mereka akan menghadapi kepupusan pada masa akan datang. Terdapat Terdapat spesies buah-buahan nadir di Semenanjung Malaysia yang sudah menuju ke arah kepupusan, antaranya ialah lanjut, asam kumbang, sepam, kundang, binjai, beruas, lotong, kuini, melaka, redan, cerapu, bacang, sentul/kecapi, kerian, melinjau, redan dan muyu.
Beberapa institusi kerajaan telah mengambil initiatif untuk menjalankan usaha ini termasuklah MARDI Serdang, Taman Pertanian Malaysia, Taman Pertanian Sg. Sebiew, Bintulu, Sarawak dan Jabatan Pertanian Tenom, Sabah.
Taman Botani Putrajaya dan Taman Tropika Tasik Kenyir juga mengambil langkah memulihara buah-buahan nadir dalam bentuk agropelancongan. Pengunjung ke situ selain dapat berehat-rehatan dalam suasana yang indah, mereka turut berpeluang berkenalan dengan buah-buahan jati Malaysia. Taman Botani Putrajaya telah mengambil masa 10 tahun untuk mengutip biji benih buah nadir di seluruh Malaysia kemudian menanamnya di taman tersebut. Taman Tropika Tasik Kenyir pula berkeluasan 7 hektar mula dibangunkan pada tahun 2008. Selain Taman buah nadir, juga ada taman-taman lain seperti burung, orkid, rama-rama dan rambutan yang dibangunkan bersama untuk tujuan menarik kedatangan pengunjung serta membuat penyelidikan. Sehingga kini, taman ini telah meliputi hampir 1,500 pokok melibatkan 112 spesies, dan di antaranya 40 spesies adalah pokok buah nadir seperti buah ajaib, mahkota dewa, buah melaka, buah pokok arang dan sebagainya.
Bagi khalayak ramai, buah-buahan nadir di masa kini semakin dipinggiri berikutan pembersihan kawasan tumbuhan demi memberi laluan kepada projek pembangunan, penanaman buah-buahan serta tanaman industri lain. Lagipun, kualiti buah-buahan komersial yang sedia ada telah meningkat kerana adanya usaha penyelidikan dan pembangunan baka-baka tersebut. Oleh itu, peluang pembangunan buah-buahan nadir menjadi nipis, apatah lagi R & D setiap jenis buah-buahan sehingga ke peringkat komersial mengambil masa yang sangat lama. Lebih baik menumpu perhatian ke atas buah-buahan komersail yang sedia ada daripada menjalankan R&D ke atas buah-buahan nadir. Ini rasanya adalah ulasan yang menepati senario kini.
Walau bagaimanapun, pihak berkuasa telah menggariskan beberapa strategi pemuliharaan untuk mengelak kepupusan spesies buah nadir berlaku, seperti berikut:
1. Mengumpul semula spesies buah-buahan nadir dan liar di pusat penyelidikan.
2. Menanam spesies buah-buahan nadir yang mempunyai kanopi besar di taman-taman rekreasi atau hutan lipur.
3. Menggalak penanaman buah-buahan nadir berkanopi kecil di kawasan rumah, umpamanya menggalak mereka menanam 1 – 2 spesies bagi setiap keluarga.
4. Menjadi tanaman buah-buahan nadir sebagai pokok hiasan di pekarangan sekolah, institusi pengajian tinggi dan taman permainan.
5. Menanam spesies yang sesuai sebagai tanaman lebuh di pembahagi atau di tepi jalan.
6. Memastikan supaya spesies tidak pupus. Hal ini dijalankan melalui usaha tambahan bagi menjaga dan mengekal spesies yang sedia ada supaya tidak pupus.
Beberapa buah-buahan nadir yang dipilih secara rawak diturunkan seperti berikut untuk bacaan am.
1. Buah Kepayang (Pangium edule Reinw)
Buah ini banyak digunakan dalam masakan manakala daunnya digunakan sebagai penghalau serangga. Penyediaan buah kepayang dalam masakan hendaklah berhati-hati kerana mengandungi racun hidrogen sianida yang akan mengakibatkan pemakan berasa pening kepala serta gejala sakit yang lain. Bagi menghilangkan racun ini, buahnya dihiris dan direndamkan dalam air mengalir semalaman sebelum digunakan dalam masakan.
Di Malaysia dan Singapura, biji buah kepayang sangat popular sebagai ramuan penting dalam hidangan stew ayam atau khinzir buah kepayang dan merupakan hidangan utama masakan Baba Nyonya atau kaum Hokkien. Dahulunya kita tidak ada peti sejuk, jadi mereka menggunakan daun kepayang untuk membungkus ikan yang sudah dikeringkan atau disalai kerana serangga tidak akan mendekatinya.
Pokok kepayang bersaiz besar, mampu tumbuh sehingga 24m tinggi, dan menghasilkan buah yang besar seperti bola ragbi. Buahnya berwarna perang kemerahan. Pokok mengambil masa bertahun-tahun sebelum matang.
2. Buah Beruas (Garcinia hombroiniana Pierre)
Buah beruas juga dikenali sebagai manggis hutan kerana bentuknya seakan sama buah manggis. Pokok beruas adalah tumbuhan jati Malaysia serta negara Asean lain. Ia mudah hidup dalam tanah berpasir dan berbatu serta lebih biasa ditemui di pantai timur Malaysia seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan. Pembungaan dan pembuahan beruas tidak mengikut musim. Kadangkala bunga dan buah yang masak wujud di atas pokok yang sama.
Saiz pokok beruas agak kecil, ia tumbuh pada ketinggian 4 – 6 m. Batang pokok adalah lurus serta dengan cabang yang banyak. Kulit batang berwarna kelabu dan mudah tanggal dalam bentuk serpihan yang bujur memanjang. Pokok beruas seakan sama pokok manggis tetapi getahnya berwarna putih. Bunga dan buahnya lebih kecil daripada buah manggis. Buahnya berwarna merah atau jingga cerah. Apabila buah matang, warnanya seperti buah manggis, cuma isinya berwarna kuning, nipis, masam tetapi sedap dimakan. Bahagian pokok beruas yang bernilai perubatan tradisional ialah bahagian buah, akar dan daun. Akar dan daunnya dapat melegakan gatal-gatal di badan. Satu fenomena yang unik bagi pokok beruas ialah pekan Beruas di Perak kononnya mengambil nama pokok beruas sebagai namanya.
3. Buah Mentega (Dispyros discolor Wild)
Buah mentega mempunyai permukaan kulit seperti baldu justeru juga dikenali sebagai ‘velvet apple’. Bau buah pada mulanya seolah-olah ia sudah busuk tetapi apabila dimakan, rasanya agak manis dan sedikit berlemak. Kononnya, buah mentega dapat berfungsi mengelakkan mata daripada rabun serta penyakit selaput mata. Ia juga kononnya bermanfaat terhadap sistem pencernaan ekoran kandungan serat yang tinggi dan dapat menyembuhkan masalah sembelit. Kandungan besi di dalam buah ini juga agak tinggi, justeru dikatakan boleh membantu mengatasi masalah kurang darah atau anemia. Bagi kaum wanita, buah mentega berfungsi menghalusi kulit serta mencerahkan kulit secara semula jadi serta melambatkan proses penuaan.
Buah mentega berwarna perang kemerahan apabila matang. Kulitnya mempunyai bulu lembut seperti baldu. Isinya merah jambu berkrim dengan rasa dan aroma yang kurang menyenangkan iaitu seperti keju yang busuk.
Pokok mentega adalah spesies pokok kayu yang bertekstur keras justeru sesuai untuk dijadikan perabot atau peralatan hiasan. Ia boleh dibiak sama ada dengan biji benih, tetapi mengambil masa 6 – 7 tahun untuk matang dan berbuah. Keratan batang jugalah salah satu kaedah pembiakan, namun tempoh matang adalah lebih singkat setakat 3 – 4 tahun sahaja. Kandungan di dalam buah ini terdiri daripada unsur-unsur memanfaatkan kesihatan termasuk keunikan anti radang.
Sambungan ke : Peninjauan Buah-Buahan Nadir Di Malaysia (Bahagian 2/2)
Bahan rujukan :
1. Rukayah Aman, Buah-Buahan Nadir Dan Buah-Buahan Liar Semenanjung Malaysia.
2. Blog rasmi MARDI.
3. Wikipedia.com