You are currently viewing Pembangunan Sawit Kompak Di Malaysia Sudah Mencapai Hasil Menggalakkan

Pembangunan Sawit Kompak Di Malaysia Sudah Mencapai Hasil Menggalakkan

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


FGV Agri Services Sdn Bhd
Level 9 West, Wisma FGV, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel : +603-2789 0082
Fax : +603-2789 0111
E-mail : fassbmarketing@fgvholdings.com

Sejarah pembangunan tanaman sawit di Malaysia sudah menjangkaui 100 tahun. Namun, tanaman ini adalah berasal dari Afrika khususnya Afrika Barat. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah memperolehi germplama (contoh biji benih sawit) dari sebuah negara di Afrika Barat iaitu Nigeria pada tahun 1973 untuk penilaian. Memang tidak cukup jika sekadar bergantung pada germplasma dari sebuah negara, justeru para penyelidik Malaysia turut mencarinya dari negara Afrika lain termasuk Angola, Cameroon, Republik Demokratik Congo, Ghana, Guinea, Gambia, Madagascar, Sierra leone, Senegal dan Tanzania. Kesemua negara ini kaya dengan diversiti sawit yang tumbuh liar atau separa liar di negara mereka. Bagi memperolehi germplama di kawasan pertumbuhan sawit masing-masing, para penyelidik Malaysia hendaklah diiringi bersama oleh pegawai dari negara-negara di situ atas faktor keselamatan. Germplasma ini kemudian ditanam dan dinilai dari segi potensi hasil dan sebagainya oleh para penyelidik selepas pulang ke tanah air. Walaupun telah mendapat germplasma dari 11 negara tersebut, namun spektrum genetik sawit masih dianggap agak sempit dalam proses penilaian.

Sungguhpun begitu, tetap bersyukurlah kerana germplasma diterima oleh MPOB itu kelihatan cukup untuk mendapatkan ciri-ciri dikehendaki daripada pokok sawit. Jika dilihat keadaan semasa, sawit sudah memiliki potensi hasil yang tinggi, yang penting ialah penanam hendaklah mengetahui cara merealisasikan potensi tersebut berdasarkan faktor iklim, tanah dan pengurusan agronomi.

Germplasma yang diperolehi dari Afrika mempunyai cicir-ciri berbeza. Misalnya germplasma sawit dari Nigeria memiliki ciri pokok katek, kandungan iodin yang tinggi, isirung yang besar serta asid oleic yang tinggi. Angola pula memiliki germplasma sawit berciri biji benih besar dan tempurung biji benih yang tebal bagaikan sawit deli dura. Buah tandan bertangkai panjang serta kaya dari segi komposisi asid oleic juga diperolehi daripada Angola. Germplasma Nigeria dan Madagascar pula kaya dengan kandungan iodin melebihi nilai 60 iaitu lebih tinggi sebanyak 10 nilai berbanding sawit biasa. Congo, Tanzania, Angola dan Cameroon juga memperlihatkan germplasmanya tinggi dari kandungan vitamin E. Ciri-ciri ini sekiranya dapat diterokai dan dikomersialkan akan meningkatkan nilai dan pasaran minyak sawit.

Salah satu ciri ditunggu-tunggukan oleh para peladang sawit ialah pengeluaran hasil yang tinggi. Palat dan rakan-rakan (2012) pernah melaporkan jika peladang menanam 148 pokok/ha kemudian menebang sebahagian pokok yang telalu padat selepas 8-9 tahun mampu memberi hasil optimum memandangkan kepadatan biasa hanyalah 136 pokok/ha. Kaedah lain ialah menanam pokok kompak. Pelepah pokok kompak kebiasaan berukuran 6.5 meter panjang iaitu lebih pendek berbanding sawit biasa pada 7 – 8 meter panjang dan pokok kompak boleh ditanam 180 – 200 pokok/ha.

Melalui kajian berterusan, MPOB telah membangunkan sejenis bahan tanaman sawit yang membawa kod P126. Ukuran panjang rakis P126 hanya 4.4 meter iaitu lebih pendek daripada rakis sawit biasa pada 5 – 6 meter. P126 boleh ditanam 198 pokok/ha berbanding sawit biasa pada 148 pokok/ha. Tumbesaran dan pengeluaran hasil P126 juga telah terbukti unggul melalui eksperimen. Menurutnya, buah tandan segar P126 hanya sederhana besar dan ciri ini digemari oleh kilang minyak sawit kerana lebih senang diproses. Jika tidak salah, bahan tanaman P126 merupakan sawit klon PS3 yang telah dikomersialkan oleh MPOB pada tahun lalu.

Sepanjang masa ini, sawit kompak dikaji secara meluas. Beberapa ciri tersirat di dalam bahan tanaman kompak ialah ukuran pelepahnya lebih pendek, pokok lebih katek, berhasil awal serta tinggi. Ciri-cici unggul seperti ini sudah diterapkan ke dalam bahan tanaman komersial kini. Contoh, sawit Afrika (E. guinensis Jacq.) telah dikacukkan dengan pokok Amerika (E. oleifera) dan berjaya menghasilkan pelepah pokok berukuran 6.6 – 6.9 meter serta boleh ditanam 170 pokok/ha. Penemuan baru ini menghasilkan bahan tanaman DxP yang lebih mampu milik oleh penanam sawit berbanding sawit klon yang lebih mahal.

Sehingga hari ini, pengusaha tanaman sawit sudah memahami hakikat bahawa peningkatan hasil hendaklah diperolehi daripada unit keluasan tanaman yang sama dan bukannya dengan cara membesarkan keluasan tanaman oleh sebab tanah untuk bercucuk tanam semakin berkurangan serta harganya juga mahal. Oleh yang demikian, sawit kompak oleh kerana boleh ditanami dengan jumlah pokok lebih banyak menjadi fokus pilihan ramai. Kegiatan membangunkan sawit kompak sudah dijalankan oleh MPOB antara 1976 – 2000. Proses pembangunan bahan tanaman kompak ini dalam bentuk DxP memakan masa. Kononnya satu pusingan kajian DxP dari peringkat mula tanam kemudian mengumpul data hasilnya sehingga ke peringkat komersialisasi memerlukan masa tidak kurang daripada 12 tahun.

Ciri-ciri germplasma yang diperolehi dari 11 negara Afrika seperti disebutkan sebelum ini memapar pelbagai perbezaan. Namun, misi penting MPOB dalam kajian ini juga termasuk peninjauan dan pembangunan sawit kompak. Selepas saringan dibuat, didapati 3 sawit kompak adalah berasal daripada baka dura manakala yang lain berasal daripada baka tenera.

Kajian seterusnya ke atas baka dura ini mendapati ukuran panjang rakis menunjukkan perbezaan ketara melainkan germplasma dari Gambia. Tenera juga memapar trend serupa melainkan germplasma dari Sierra Leone dan Guinea. Justeru itu, germplasma dari kedua-dua negara ini tidak sesuai digunakan dalam kajian seterusnya.

Sawit dura dari Tanzania juga memperlihatkan ukuran rakis yang agak berbeza daripada negara lain. Julat perbezaan itu didapati sehingga 19.32%. Madagascar dan Congo malah memampang perbezaan ukuran panjang rakis pokok sehingga 100%. Kesimpulan kecil boleh dibuat di sini iaitu germplasma dari Madagascar dan Congo dianggap paling berpotensi untuk mendapatkan ciri sawit kompak. Namun, jika memikirkan hasil buah sawit sepokok hendaklah melebihi 100kg/tahun, maka baka dura dari Tanzania, baka tenera dari Congo dan Cameroon yang menepati syarat sebagai sawit kompak.

 

Bahan rujukan :

Norziha, A. et al, ‘MPOB OIL PALM (ELAEIS guinensis Jacq.) GERMPLAMS LINKED TO COMPACT TRAIT FOR HIGH DENSITY PLANTING’, Journal of Oil Palm Research vol. 32(3) September 2020, pp.394-405.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Palm King Marketing Sdn Bhd
No 40, Jalan Hasta 1, Kawasan Perusahaan Batu 12, 42500 Telok Panglima Garang, Selangor, Malaysia
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd

Website: www.klspalmking.com

Sila kongsi kepada kawan :