PPP Agricare Sdn Bhd
Tel : +6 012 237 6790 & +6 012 720 3301
E-mail :pppagricare@gmail.com
Website: www.pppagrotech.com
Antara 3 jenis pisang dieksport oleh Malaysia, pisang Mas adalah salah satu. Pada tahun 1981, eksport pisang Mas sudah mencapai 28,013 tan kemudian meningkat ke 30,703 tan pada 6 tahun kemudian mencatatkan jumlah nilai RM7.7 juta. Negara import utama bagi pisang Mas ialah Singapura dan Hong Kong. Jumlah keluasan pisang Mas di Malaysia pada tahun 1986 sudah mencapai 3,400 ha iaitu merangkumi 15% daripada jumlah keluasan tanaman pisang di Malaysia. Pada tahun 2017, jumlah keluasan tanaman pisang di Malaysia mencatat 28,247 ha yakni lebih tinggi daripada jumlah keluasan pada 21,921 ha pada tahun 1986. Dalam jumlah ini dipercayai keluasan pisang Mas juga meningkat. Justeru itu, kultivar pisang ini kelihatan mempunyai pasaran yang stabil kerana cita rasa yang sedap.
Pisang Mas pada hakikat bukan kultivar yang dihasilkan oleh Malaysia sahaja. Pisang ini turut wujud di Filipina, Indonesia, India, Hawaii, Thailand serta tempat lain. Di antara semua kultivar pisang yang ada, pisang Mas merupakan kultivar yang peka terhadap alam sekitaran. Sungguhpun demikian, minat menanam terhadapnya tetap kukuh menyatakan ada suatu kelebihan di sebaliknya termasuk daya rintangan yang lebih tinggi terhadap penyakit Panama.
Pokok pisang Mas mudah dibezakan dengan kultivar lain kerana batang pokok yang berwarna hijau ke hijau kuning itu sering diselaputi oleh tompokan merah coklat. Ketinggian pokok di antara 2.2 – 2.6 meter, sebatang pokok induk mampu menghasilkan 10 – 14 sulur setahun. 8 – 10 bulan selepas ditanam, hasil buah boleh dikutip. Dari peringkat mula berbuah hingga buah matang mengambil masa 7 – 9 minggu. Berat tandan buah bagi kultivar ini adalah di antara 8 – 12kg manakala bilangan sisir terpulang pula pada keadaan penanaman, ada yang 5 – 9 sisir manakala ada yang melebihi had ini. Keadaan ini dipercayai berkaitan dengan amalan agronomi seperti pembajaan dan jenis tanah yang ditanami.
Kultivar ini juga mempunyai beberapa jenis. Bancian ke atasnya mendapati ada pisang Mas yang stabil, sederhana stabil dan kurang stabil. Baka yang stabil sesuai ditanami di tanah kurang subur dan tetap memberi hasil menggalakkan. Umpamanya Mas Tasik Gelugur adalah baka yang stabil, pengeluaran hasilnya di antara 5.0 – 10.9 kg/tandan bergantung kepada tempat penanaman.
Mas Belanja dan Mas Air Kuning pula adalah baka sederhana stabil, ia sesuai diusahakan di kebanyakan jenis tanah dan pada tanah yang sesuai, hasilnya mampu mencapai 13 kg/tandan. Baka kurang stabil termasuklah baka Mas Bruas, baka ini amat peka terhadap keadaan sekitaran dan julat hasilnya sangat besar, jika ditanami di tanah subur, hasilnya mencapai 17 kg/tandan, sebaliknya penanaman di tanah kurang subur pula, hasilnya sangat rendah. Berdasarkan fakta ini, semua baka pisang Mas dianggap sesuai ditanami di tanah biasa, cuma Mas Bruas yang hanya sesuai ditanami di tanah subur.
Penanaman pisang Mas di tanah subur atau kurang subur menunjukkan perbezaan ketara dari segi hasil, tempoh matang buah dan kualiti buah. Misalnya jika ditanami di tanah subur, kutipan hasil buah boleh bermula pada bulan ke-7 berbanding penanaman di tanah sederhana subur yang memerlukan 8 – 10 bulan. Tambahan, bilangan buah dan saiz tandan juga lebih besar. Masa kutipan hasil juga berkaitan dengan kualiti buah khususnya kemanisan buah. Buah pisang Mas sangat manis (20 – 24 Brix) jika dituai semasa cuaca baik manakala kutipan hasil pada hari hujan hanya memberi kemanisan 18 Brix sahaja.
Pisang Mas boleh ditanami dengan sulur atau anak benih kultur tisu. Seperti sedia maklum, anak benih kultur tisu lebih mahal daripada sulur, tetapi memberi hasil yang lebih tinggi serta lebih selamat ditanam kerana bebas penyakit. Sumber perolehan sulur kebiasaan kurang jelas justeru meningkatkan risiko pembawaan penyakit. Sekiranya menanam dengan sulur, maka hanya sulur pedang dipilih. Ketinggian sulur yang sesuai untuk ditanam ialah antara satu kaki setengah sehingga 3 kaki. Sulur pedang yang diperolehi dari tepi pokok induk menampil tumbesaran yang lebih cergas, tetapi malangnya daunnya lebih tirus, kecil dan tumbuh lebih menegak menyebabkan sulur seumpama ini tidak dipilih. Pemilihan sulur air yang tumbuh lebih canggih, umpamanya daun besar, adalah satu kesilapan besar jika ia digunakan sebagai bahan tanaman kerana tumbesaran yang lebih lembap serta kurang cergas.

Applied Agricultural Resources Sdn. Bhd.
Tel : 03-61517924/25/26/27/28
Fax : 03-61517081
E-mail: sales@aarsb.com.my
Website: www.aarsb.com.my
Lubang tanaman untuk pisang Mas disyorkan 45cm x 45cm x 45cm. Setiap lubang dimasukkan 5 10 kg tahi ayam atau lembu yang sudah diproses serta ditambah 100g fosforus bagi menggalak pengakaran. Di tanah sederhana subur, jarak tanaman diberikan pada 3m x 3m dan boleh memuat 1,100 pokok/ha. Di tanah subur, kepadatan pokok boleh ditingkatkan kepada 2,200 pokok/ha dengan jarak tanaman 3m x 1.5m.
Pembajaan dilakukan secara aplikasi 300 600g/rumpun dengan baja hijau dan biru pada setiap dua bulan. Dos ini ditingkatkan mengikut umur pokok. Semasa pembuahan, pembajaan elok dihentikan sementara demi mengelak buah rekah. Sesetengah penanam membaja pisang Mas mereka hanya 3 – 4 kali setahun khususnya semasa harga baja sedang melambung tinggi. Lokasi penaburan baja dilakukan berjarak 1m dari pangkal pokok. Apabila pokok sudah dewasa, baja boleh ditabur di antara baris kerana sistem akar pokok sudah mengembang ke merata-rata tempat. Untuk mengelak jangkitan penyakit umpamanya penyakit Panama, kemasaman tanah hendak dikawal. Jika tanah terlalu masam, maka peneutralan tanah ke aras 5.5 8.0 dengan batu kapur amat diperlukan.
Penghasilan sulur sehingga 10 – 14 batang setahun bagi kultivar ini berkehendakkan penanam mengurusnya dengan baik kerana setiap masa hanya satu pokok induk dan satu sulur dikekalkan. Oleh yang demikian, semasa pokok induk berumur 4 – 5 bulan, sulur yang tumbuh hendaklah disingkirkan. Di sini disampaikan satu petua pengurusan sulur tanaman pisang – jika sehektar ditanami 2,200 pokok, maka apabila pokok induk mula berbuah, hanya satu sulur pedang dikekalkan. Keadaan sedemikian akan membolehkan penanam mengutip dua tandan buah dalam setahun. Sebaliknya jika 1,100 pokok/ha ditanami, maka selain pokok induk, penanam boleh mengekal satu sulur besar dan satu sulur kecil. Keadaan sedemikian akan menjana 3 pokok dalam serumpan iaitu bermakna kutipan hasil sebanyak 3 tandan boleh diperolehi dalam setahun. Pendek kata, penyingkiran sulur dilakukan setiap 8-10 minggu melainkan sulur yang ingin dikekal mengikut petua tersebut tadi.
Membalut tandan pisang juga satu amalan baik supaya memelihara kualiti buah. Apabila sisir pisang terakhir mula terbit atau bersamaan 10 – 14 hari selepas penghasilan jantung tandan, buah boleh dibalut, tetapi didahului dengan satu pusingan penyemburan racun serangga bagi mengurangkan serangan perosak. Jantuntg tandan juga hendak dipotong sebelum membalut. Pembalutan tidak seharusnya menutup kesemua tandan itu, sebaliknya hujung tandan dibiarkan terselindung dalam beg plastik beg plastik sudah memadai. Tarikh kutipan hasil atau tandan-tanda tertentu perlu dicatatkan selepas membalut untuk memudahkan pengenalan tarikh kutipan hasil nanti.
Dahulunya penanam perlu menggunakan tangga untuk membalut tandan pisang. Namun proses membalut pada masa kini sudah dipermudahkan dengan adanya sejenis alat yang sudah dipasang beg plastik di hujung kemudian mengautnya pada tandan pisang.
Berkenaan dengan hasil dan pulangan pula, andai kata satu hektar ditanami 2,200 pokok dengan berat antara 8 – 10 kg/tandan, dengan mengambil sahaja berat 8kg/tandan untuk kiraan, maka hasil pertama akan menjana 17,600 tan. Pada tahun kedua dan ketiga pula, setiap rumpun masing-masing ditumbuhi 2 pokok membawa kepada hasil 35,200 tan pada tahun kedua dan 35,200 tan pada tahun ketiga. Jumlah hasil selama 3 tahun adalah berjumlah 88,000 tan. Jika harga kebun pisang diandaikan pada RM1.30/kg, maka jumlah pendapatan kasar akan mencatat RM105,600.00 atau bersamaan pendapatan kasar RM35,200/ha setahun. Pendapatan kasar ini belum ditolak kos pengeluaran.
Bahan rujukan :
Ramlah Mohamad and Rukayah Aman (Penyunting), Panduan Penanaman Pisang Mas, MARDI, 1990.
Samudra SMS Sdn Bhd
Tel : 06-556 1086, 012-964 4932
016-663 6198 / 012-3232 055 (Office)
Email : chssb@hotmail.com