Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336
Website: www.hextar.com
Ubi kayu, sejenis tanaman ubi yang tidak asing lagi bagi ramai orang khususnya mereka berumur 50 tahun ke atas kerana dulu kala tanaman ini giat digunakan dalam pemakanan harian. Ubi kayu boleh diproses menjadi tepung ubi dan juga boleh digunakan untuk membuat kerepek, justeru itu merupakan satu bahan mentah berpotensi besar dalam sektor pengeluaran makanan.
Tanaman ubi kayu mengambil tempoh matang yang agak lama iaitu kira-kira 12 bulan. Keadaan ini menjadikan penanaman ubi kayu kurang berbaloi kerana tempoh menunggu kematangan ubi yang lama. Memandangkan hal sedemikian, MARDI telah menjalankan penyelidikan dan akhirnya berjaya menghasilkan klon ubi kayu yang dapat matang lebih awal iaitu 6 bulan. Ini satu berita yang amat baik kerana klon yang dikenali sebagai MM 92 ini juga boleh ditangguhkan penuaian sehingga 12 bulan dan tetap memberi hasil setimpal dengan varieti ubi Perintis yang berhasil tinggi tetapi matang dalam tempoh 12 bulan.
MM 92 dikatakan mampu menghasilkan jumlah ubi 36.2 tan/hektar secara purata dalam tempoh 6 bulan jika diusahakan di tanah gambut bersaliran baik berbanding di tanah mineral. Di tanah gambut seumpama ini, tanahnya hanya perlu dibajak sekali bagi menggaulkan batu kapur ke dalam. Selepas itu, dalam 3 – 5 musim penanaman seterusnya, pembajakan tidak diperlukan lagi untuk memulakan penanaman. Penjimatan kos pembajakan ini tidak mengorbankan pengeluaran hasil kerana hasil tetap baik tanpa bajakan seterusnya. Pengurangan bajakan juga tidak mempengaruhi percambahan ubi, ketinggian pokok, pengeluaran hasil dan kandungan kanji di dalam ubi. Sebaliknya cara penanaman ini memberi hasil ubi dan kandungan kanji dalam ubi yang lebih tinggi lagi.
Dari segi keperluan baja, kultivar MM 92 didapati hanya perlu dalam kuantiti yang lebih kecil, kira-kira pada kadar separuh sahaja berbanding kadar biasa malah boleh diaplikasikan dengan jumlah pusingan yang lebih rendah serta aplikasi baja pada setiap baris berselang. Kesemua amalan ini tidak mendatangkan kesan negatif terhadap penjanaan kanji di dalam ubi. Perbandingan seterusnya, klon matang lewat (iaitu Black Twig) yang matang 12 bulan selepas ditanam memberi hasil yang bersamaan dengan MM 92 yang matang pada 6 bulan selepas ditanam.
Secara keseluruhannya, dalam ujian penanaman selama 24 bulan, pengeluaran hasil MM 92 sebanyak 4 pusingan berbanding hanya 2 pusingan bagi klon Black Twig menunjukkan klon MM 92 mendapat pulangan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM2,600/ha berbanding klon Black Twig kerana peningkatan produktiviti yang disebabkan oleh tempoh matang ubi yang jauh lebih awal serta penjimatan lain yang diperolehi melalui pakej penanaman baru tersebut.
Sumber maklumat :
S.L. Tan, “Growing Cassava On Drained Peat Can Be More Profitable Than On Mineral Soils”, Teknologi Pelbagai Tanaman, MARDI, 1995.
Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336