Sebanyak lebih 234 baka durian Di Thailand telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian negara tersebut. Durian di Thailand mempunyai sejarah 300 lebih tahun dan membentuk 5 baka utama iaitu Luang, Karaket, Thong Suk, Thong Yoi Doem dan Kampan. Dalam tempoh masa yang panjang ini, baka-baka ini terus disaring dan dikultur seterusnya oleh penanam. Pada tahun 1884, kawasan Nonthaburi iaitu sebuah kawasan di tengah Thailand telah memiliki sebanyak 68 baka durian terpilih.
Menurut sumber, rakyat Thailand mempunyai minat semula jadi terhadap buah durian. Sebuah tulisan pada tahun 1687 mengesahkan rakyat Thailand secara umumnya berminat terhadap buah-buahan ini. Seterusnya di bawah sokongan kerajaan dan penambahbaikan penanam negara tersebut, sektor penanaman ini berkembang pesat. Sehingga hari ini, durian ditanami secara skala besar di Thailand. Namun, hanya 5 baka utama yang digemari oleh penanam iaitu Monthong merangkumi 83.12% jumlah keluasan tanaman durian nasional diikuti oleh Chanee 7.79%, Kanyao 1.2%, Kradum Thong 1.78% dan Phuang Mani 0.09%. Inilah 5 baka durian utama di Thailand.
Menurut Hiran et al., (1986, 1988), 227 baka durian akan pupus dalam arus sejarah, barangkali disebabkan oleh rasa yang kurang diminati oleh penggemar.
Pada masa lepas, baka durian bermutu kebanyakan dikultur baik secara disedari atau tidak oleh penanam. Sebab itu maka nama baka yang ada itu kebanyakan berasal dari nama penanam atau nama daerah pengelauran baka itu. Kejadian ini boleh diperhatikan dalam 200 lebih baka di negara tersebut. Perkara ini telah berlaku sejak tahun 1956 dan Plew Horticulture Research Station merupakan pusat pertama yang mengumpulkan kesemua baka ini yang kemudiannya 68 baka daripadanya telah ditanam untuk dinilai selanjutnya.
Antara tahun 1980 – 1986, ada 42 baka dinilai dari segi genetik masing-masing. Selepas itu antara tahun 1987 – 1989, sebahagian anak pokok cantuman dan juga anak pokok dari biji turut dinilai. Daripada sini, potensi 5 baka utama semakin jelas dan akhirnya 5 baka inilah yang menjadi pilihan untuk penanaman komersial di negara Thailand.
Pihak berkuasa Thailand juga menganjurkan pertandingan durian antara tahun 1987 1989 berturut-turut selama 3 tahun. Dalam pertandingan itu, baka Monthong, Chanee, Kanyao dan Kradum Thong mendapat kemenangan dan keputusan itu diserahkan kepada pihak berkuasa pertanian untuk tindakan selanjutnya.
Baka Monthong mula dikultur oleh Encik San Suwankamanee, isi buahnya tebal dan berwarna kuning oren, bentuk buah agak besar. Pengeluaran hasil tertinggi ialah 120 biji per pokok serta mempunyai daya rintangan yang baik terhadap penyakit kanker atau cerana batang.
Baka Chanee pula dikultur oleh Encik Chanchai Manatawee, isi buah juga tebal dan kering manis, rintang terhadap penyakit kanker serta berhasil tinggi. Kanyao pula dikultur oleh Puan Aree Areeket. Buah ini lebih bulat serta berisi halus berwarna oren kuning di samping berhasil tinggi dan ada daya rintangan penyakit yang baik.
Kerja pembiakbakaan durian diteruskan dengan melibatkan anak benih dari biji dan juga anak benih cantuman. Pelbagai kacukan telah dijalankan dalam proses pembiakbakaan. Memandangkan 5 baka utama ini lebih mendapat sambutan rakyat, maka 9 baka baru akhirnya dibangunkan melalui pelbagai kacukan di antara 5 baka utama itu. Umpamanya debunga Monthong dikacukkan dengan bunga betina Kanyao atau debunga Kanyao dikacukkan dengan bunga betina Chanee dan sebagainya. Baka-baka terbaru yang dihasilkan ini ialah Chanthaburi 1 Chanthaburi 9 yang sudah siap dinilai dan anak benihnya sudah diserahkan kepada penanam di negara tersebut untuk penanaman komersial. Diyakini tidak lama lagi rakyat di negara itu akan dapat menikmati durian baka baru itu yang kononnya berkualiti tinggi dan setanding malah melebihi kualiti baka durian yang sedia ada.
Sumber maklumat :
1. Dr. Songpol Somsri, Durian in Thailand-A Success Story, APAARI, 2018.
2. Lindsay Gasik, Thailand-The Durian Tourist’s Guide, 2014.
Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336