Pengeluaran hasil sawit bergantung kepada amalan kultur yang diberikan dalam satu kitaran penanaman selama 25 tahun. Proses ini boleh dilihat dalam 4 peringkat iaitu bermula dari anak benih ditanam di ladang sehingga masa untuk tanam semula. Peringkat 1 melibatkan anak pokok belum matang manakala 3 peringkat lain adalah peringkat matang yang memperlihatkan pengeluaran hasil sawit sepanjang tahun sehingga 25 tahun kemudian iaitu sehingga masa untuk tanam semula. Setiap peringkat memainkan peranan penting dan ia akan dihuraikan seperti berikut.
• Peringkat 1
Peringkat ini bermula dari anak benih mula ditanam di ladang. Sektor perladangan atau sektor pekebun kecil akan mendapatkan anak benih sama ada dikultur secara sendiri ataupun dibeli dari tapak semaian. Anak benih yang sesuai ditanam di ladang hendaklah berumur 10-14 bulan. Untuk mendapat hasil yang baik apabila pokok matang nanti, pemilihan anak pokok yang tulen dan berkualiti tinggi amat penting. Anak-anak benih ini biasanya dikultur dengan amalan pertanian baik melibatkan pembajaan, pengairan, merumput dan kawalan perosak dan penyakit dengan baik. Anak benih yang cacat akan mengalami penakaian di peringkat ini supaya hanya anak benih yang sihat disalurkan ke ladang.
Usaha ini bertujuan meningkatkan potensi anak benih memberi hasil lumayan nanti di samping juga mengelakkan penyulaman anak-anak pokok kurang sihat selepas penanaman di ladang. Dengan kata lain, keupayaan semua anak pokok tumbuh segar dan cergas adalah ciri utama dalam peringkat ini demi menjimatkan masa dan wang untuk untuk mengendalikan anak-anak pokok kurang sihat, cacat atau mati di ladang.
Selepas ditanam di ladang, anak pokok akan mengambil masa 24-30 bulan baru boleh mengeluarkan hasil. Dalam tempoh masa ini, penjagaannya melalui pembajaan, pengairan, merumput dan kawalan perosak dan penyakit perlu diutamakan agar pokok boleh berbuah dalam masa ditetapkan. Dalam peringkat masa ini, pokok hendaklah kelihatan berdaun rimbun dan cergas, batang yang semakin besar serta sistem akar semakin kuat. Inilah petanda luaran yang boleh dilihat dengan mata kasar. Anak pokok yang kurang sihat amnya menampilkan saiz pokok yang lebih kecil berbanding pokok-pokok sebaya di sekeliling ataupun pokok bersaiz gergasi yang mungkin wujud sebagai pokok jantan atau pokok pondan yang tiada nilai ekonomi langsung.
Pengurusan anak pokok di peringkat ini juga penting untuk memupuk pengeluaran hasil tahun pertama dan tahun-tahun akan datang yang lebih tinggi. Menurut sumber, jika anak pokok tidak diberikan perhatian agronomi sewajarnya di peringkat belum matang ini, ia akan menjejaskan tumbesaran dan merendahkan hasil sawit selanjutnya. Perkara ini sering kelihatan di ladang yang mana ada ladang telah berjaya mendapat hasil awalan dan tahun-tahun berikut dengan baik serta pokok tumbuh dengan rimbun manakala ada ladang gagal mencapai matlamat tersebut. Keadaan ini akan mempengaruhi jumlah hasil terkumpul yang boleh diperolehi oleh pengusaha tanaman.
• Peringkat 2
Apabila pokok sawit mula mengeluarkan hasil sehingga umurnya mencapai tahun ke-7, peringkat kedua ini memperlihatkan hasil sawit terus meningkat saban tahun jika pengurusan dijalankan dengan baik. Untuk mencapai matlamat ini, amalan tertentu perlu diutamakan di peringkat ini termasuk pembajaan, pemeliharaan kelembapan tanah, kawalan rumpai, kawalan perosak dan penyakit. Jika pengusaha tanaman tidak menjalankan amalan standard ini dengan baik, maka kemungkinan besar akan kehilangan peluang emas dalam perolehan hasil lumayan. Dengan kata lain, tempoh masa inilah amat penting untuk menjurus ke arah mendapat hasil sawit yang tinggi, Jadual 1 dan diagram 1 berikut memberi gambaran perbandingan hasil sawit yang tinggi, sederhana atau rendah mengikut tahap amalan kultur yang dijalankan oleh pengusaha tanaman. Terdapat jurang yang ketara di antara satu sama lain.
• Peringkat 3
Applied Agricultural Resources Sdn. Bhd.
Tel : 03-61517924/25/26/27/28
Fax : 03-61517081
E-mail: sales@aarsb.com.my
Website: www.aarsb.com.my
Peringkat 3 ini menampilkan gambaran pokok yang berumur di antara 8 – 15 tahun selepas ditanam. Di peringkat ini, hasil sawit adalah stabil dan jika ada unjuran hasil pun ia hanya wujud dalam lingkungan sedikit sahaja. Maka dalam peringkat ini, pengusaha tanaman hendaklah cuba melanjutkan tempoh masa 7 tahun ini agar hasilnya terus berlanjutan sebelum mula menurun. Hanya dengan melanjutkan tempoh masa ini, jumlah hasil sawit terkumpul boleh ditingkatkan. Untuk melanjutkan status pengeluaran hasil dalam tempoh masa ini, amalan seperti pengurusan kanopi pokok, pengurusan rumpai dan pembajaan optimum boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
Pengurusan kanopi pokok bermakna mengurangkan kesan penindihan daun antara pokok yang boleh menjejaskan keberkesanan proses fotosintesis dan penjanaan karbohidrat (makanan). Namun begitu, pangkasan pelepah hanya boleh dijalankan dengan kadar sederhana dan tidak berlebihan supaya mengelakkan pokok mengalami stres dan mengeluarkan bunga jantan yang banyak selepas 2 tahun pangkasan daun dijalankan.
• Peringkat 4
Peringkat ini bermula selepas 15 tahun pokok ditanam di ladang sehingga pokok tua ditanam semula. Tempoh masa ini adalah selama 10 tahun. Menurut teori, di peringkat ini hasil sawit mula menurun. Jumlah hasil menurun bukan sahaja disebabkan oleh penuaan pokok tetapi juga disebabkan oleh jumlah pokok di satu-satu kawasan yang mungkin telah berkurangan akibat pelbagai faktor seperti terkena petir, serangan penyakit ataupun serangan angin kencang menyebabkan pokok tumbang dan mati. Oleh itu langkah perlu diambil di peringkat ini ialah cuba mengurangan kematian pokok demi menangguhkan ketibaan peringkat ini. Untuk mencapai matlamat ini, kawalan perosak dan penyakit serta pembajaan amat penting supaya kelestarian pokok dapat dikekalkan.
• Kesimpulan
Pengurusan pokok sawit ke arah pengeluaran hasil lumayan memerlukan amalan pertanian baik mengikut langkah-langkah standard yang sudah termaktub dalam pelbagai kajian. Di antaranya ialah pembajaan, pemeliharaan kelembapan tanah, kawalan rumpai, kawalan perosak dan penyakit serta yang penting sekali ialah memperolehi bahan tanaman yang tulen dan berkualiti tinggi. Hanya dengan adanya amalan ini barulah hasil akan lumayan dan memberi pendapatan menggalakkan kepada pengusaha tanaman sawit.
Bahan rujukan :
Thomas Fairhurst and William Griffiths, Oil Palm-Best Management Practices for Yield Intensification, International Plant Nutrition Institute, Southeast Asia Programme, 2014, hal. 16-18.
Kimagri Corporation Sdn Bhd
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com