You are currently viewing Teknologi Penjimatan Baja Untuk Tanaman Sawit

Teknologi Penjimatan Baja Untuk Tanaman Sawit

Harga minyak sawit mentah di pasaran global yang kurang menggalakkan pada bulan-bulan kebelakangan ini turut menurunkan harga buah tandan segar. Menurut sumber MPOB, harga minyak sawit mentah pada enam bulan yang lepas telah merosot dari RM2,435.00 (4/4/18) kepada RM2,084.50 (3/10/18). Walaupun anjakan harga adalah perkara biasa bagi komoditi, tetapi ia telah membangkitkan kerisauan di kalangan pengusaha tanaman sawit khususnya sektor pekebun kecil kerana khuatir harga mungkin akan turun lagi. Inilah faktor di luar kawalan mereka dan dalam tempoh masa ini, dipercayai ramai pengusaha tanaman sawit akan cuba mengurangkan kos operasi ladang, dan pembajaan akan menjadi sasaran utama pemotongan kos kerana baja adalah kos input terbesar bagi mereka.

Di waktu kesusahan ini, pemotongan kos termasuk kos pembajaan adalah wajar tetapi tidak harus ke tahap mewujudkan kos melepas yang tinggi ekoran pengurangan pembajaan yang menyebabkan tanaman sawit kurang berhasil. Keadaan ini sering berlaku dan untuk menangani masalah ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pernah membangunkan satu teknologi supaya penjimatan pembajaan dapat dijalankan tanap memberi kesan negatif yang ketara terhadap tanaman sawit. Teknologi ini boleh dijadikan panduan bermanfaat kepada pengusaha tanaman sawit dan ia diturunkan seperti berikut :

• Sebarang tindakan untuk mengurangkan dos penggunaan baja hendaklah mengambil kira umur pokok, aplikasi baja sebelum ini, analisis kimia tanah dan status hasil semasa untuk mengira nisbah kos / pendapatan.

• Kadar penggunaan baja tidak boleh dikurangkan terhadap semaian sawit dan juga pokok-pokok belum matang iaitu di antara tahun 1 – 3 selepas pindah tanam ke ladang.

• Pengurangan baja hanya boleh dijalankan ke atas pokok sawit yang telah matang sepenuhnya atau yang berumur melebihi 8 tahun selepas ditanam di ladang.

• Nitrogen sangat penting untuk tumbesaran pokok sawit dan bahan ini tidak berkumpul di dalam tanah melalui aplikasi sebelumnya. Oleh itu baja ini tidak harus dipotong daripada senarai pemotongan kos input.

• Jika analisis tanah menunjukkan paras fosforus (P) melebihi 100 ppm, maka pembajaan P boleh dihentikan 100% manakala jika parasnya di antara 15 – 100 ppm, maka kadar penggunaan baja P boleh dikurangkan mengikut nisbah.

• Jika ion boleh-tukar kalium (K) melebihi 0.50 cmol/kg, maka kadar penggunaan baja K boleh dikurangkan sebanyak 30%.

• Dicadangkan sekurang-kurangnya 0.5kg kieserite digunakan pada setiap pokok per tahun untuk mengekalkan keseimbangan dan fungsi magnesium (Mg) bagi tanaman sawit yang ditanam di tanah bersifat sedentari dan yang di tanam di kawasan pedalaman.


• Penggunaan baja boron (B) boleh dihentikan secara selang tahun serta mengekalkan paras nutrien di antara 15 – 25 ppm.

• Bagi pokok berumur 22-23 tahun yang mana ia akan ditebang dan ditanam semula menjelang umur 25 tahun nanti, pembajaan boleh dihentikan secara langsung.

• Jika pokok kurang sihat dan kurang cergas, kadar baja yang digunakan tidak harus dikurangkan.

• Analisis pelepah 17 boleh digunakan sebagai panduan untuk mengurangkan dos baja jika data tanah tidak diperolehi. Baja P, K dan Mg boleh dikurangkan dos penggunaan untuk jangka pendek jika paras nutrien berada dalam lingkungan berikut: N: 2.56-2.85, P: 0.161 -0.177, K : 0.90 1.22 dan Mg 0.24 0.30.Penanaman tumbuhan kekacang penutup bumi, penggunaan biomas seperti buah tandan kosong, racikan batang pokok, POME dan sebagainya amat digalakkan kerana bahan-bahan ini mengandungi nutrien yang boleh dikitar semula ke dalam tanah untuk pengambilan pokok sawit.

• Mengurangkan pusingan pembajaan ke tahap minimum dan membaja secara menabur dengan rata ke dalam bulatan merumput, lorong tuai dan juga longgokan pelepah. Rumpai hendaklah dibersihkan untuk mendapat kesan pembajaan terbaik. Pembajaan dijalankan di musim hujan sederhana (150 – 200 mm) dan jika sesuai, mesin pembajaan boleh digunakan.


Kesimpulan :

Pengeluaran hasil sawit tidak seperti sesetengah pengeluaran hasil tanaman lain yang boleh diolah sewenang-wenangnya mengikut mengikut situasi pasaran khususnya prestasi harga di pasaran. Program pembajaan yang tidak menentu hendaklah dielakkan supaya tanaman sawit tetap mendapat bekalan nutrien yang diperlukan agar prestasi tanaman dan pengeluaran hasil tidak terjejas.

Sumber maklumat :

Mohd Tayeb Dolmat and Ahmad Tarmizi Mohamad, “Discriminatory Fertilizer Reduction Technology”, MPOB Information Series, MPOB TT No. 105, June 2001.

Hantar blog ini kepada :