You are currently viewing Belimbing Hibrid Baru MARDI MSTAR 1 Lebih Unggul Daripada Baka Sedia Ada

Belimbing Hibrid Baru MARDI MSTAR 1 Lebih Unggul Daripada Baka Sedia Ada

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Hextar Fert Sdn. Bhd.
No. 64, Jalan Bayu Laut 4/KS09, Kota Bayuemas, 41200 Klang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336

Website: www.hextar.com

Belimbing hibrid baru MARDI telah dilancarkan pada 7 April 2019 oleh bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia YB Dato’ Haji Salahuddin Ayub di MARDI Kluang, Johor. la merupakan kacukan 4 induk belimbing iaitu B10, B17,B11 dan B2 dan melahirkan hibrid baru yang dikenali Belimbing Bintang Mas atau MSTAR 1 dengan ciri-ciri yang lebih baik daripada klon komersial setakat ini iaitu B10 dan B17. Belimbing MSTAR 1 disasarkan untuk pasaran makan segar dan eksport.

Bentuk MSTAR 1 seperti B17 iaitu oblong dan ia memiliki warna kuning kemerahan secara seragam ketika matang. Ciri ini menjadi tarikan utama bagi hibrid baru ini. Aspek dalaman buah MSTAR 1 termasuk tekstur isi dan rasa buah yang lebih manis (brix 10.9) dan rangup. Kandungan asid oksaliknya pada kadar 0.09% bagi setiap 100 g menunjukkan buah belimbing ini selamat dimakan oleh semua pengguna termasuk pesakit buah pinggang namun nasihat lebih perinci perlu didapatkan dari pakar perubatan mengenai kuantiti boleh diambil. Belimbing MSTAR 1 juga mempunyai masa matang yang lebih awal 12 hari berbanding belimbing B10 iaitu matang antara 68 – 73 hari.

Secara keseluruhan, belimbing MSTAR 1 dikategorikan sebagai belimbing yang tinggi jus, manis, tiada rasa kelat dan lebih rangup berbanding klon lain yang diuji. Keputusan juga menunjukkan MSTAR 1 hampir menyamai klon induknya B17 malahan mempunyai penambahan ciri yang lebih baik dari aspek kekelatan dan tekstur. Ini membolehkan belimbing MSTAR 1 mendapat sambutan baik daripada kalangan pengguna seperti sambutan pada belimbing B17 yang telah lama berada di pasaran sejak 1988.

Kos Pengeluaran MSTAR 1

Menurut pengiraan berdasarkan Jabatan Pertanian 2016, satu hektar dianggarkan boleh ditanam 277 pokok belimbing hibrid ini dengan jarak tanaman 6 m x 6 m. Pokok dijangka mengeluarkan hasil mulai tahun penanaman ketiga. Anggaran purata hasil antara tahun ke-3 hingga tahun ke-8 adalah 28,840 kg/tahun kemudian bertambah kepada 35,000 kg/tahun pada tahun ke-9 hingga tahun ke-20. Harga ladang belimbing ialah RM2.50 – RM2.70/kg berdasarkan harga terkini FAMA. Dengan andaian harga maksimum RM2.70 diperolehi, maka pulangan hasil bersih sebanyak RM50,000 sehektar setahun boleh dicapai di antara tahun ke-3 hingga ke-8 selepas menolak kos tetap dan kos operasi yang dianggarkan RM18,000/ha/tahun. Pulangan bersih akan meningkat ke aras RM78,670/ha/tahun apabila umur pokok meningkat mulai tahun ke-9 hingga tahun ke-20 yang memberi anggaran hasil 35,000 kg/ha/tahun.

Analisis kewangan selanjutnya menunjukkan belimbing memberi kadar pulangan dalaman pada nilai 46% dan pulangan balik modal dalam tempoh 4.7 tahun. Nilai pulangan dalaman ini menyatakan tanaman belimbing berdaya maju dan boleh diusahakan.

Tambahan, dalam majlis pelancaran, YB juga menyatakan kebolehlangsungan penanaman belimbing dengan ternakan lebah kelulut pada kadar 30 sarang dalam keluasan satu hektar dan memberi anggaran pulangan antara RM750 RM3,000/ha/bulan. Ini kerana tanaman belimbing banyak mengeluarkan bunga menarik dan madu justeru sesuai diintegrasikan dengan ternakan kelulut.

Belimbing tersenarai antara buah-buahan premium dalam Dasar Agro Makanan Negara (2016 – 2020) justeru menunjukkan kepentingannya dalam industri buah-buahan negara. Namun minat bertanam belimbing dalam negara kelihatan merosot saban tahun dengan kemungkinan besar dipengaruhi oleh kekurangan tenaga buruh ladang memandangkan tanaman ini adalah buruh intensif. Jumlah keluasan tanaman belimbing telah menurun dari 1,311 ha (2010) kepada 828 ha (2017). Produktiviti tahunan tertinggi dicatatkan pada tahun 2014 dengan rekod 17.5 tan/tahun.

Sungguhpun begitu, permintaan belimbing untuk eksport khususnya ke negara Eropah (Belanda, Perancis dan Jerman) dan negara Asia Tenggara (Singapura, Brunei dan Hong Kong) tetap tinggi. Pada tahun 2015, eksport belimbing adalah sebanyak 2440 tan dengan nilai RM23 juta setahun. Eksport ke Eropah adalah dengan indeks kematangan yang rendah (1 – 2) atau masih hijau kerana penggunaan utama sebagai hiasan makanan dan salad. Untuk pasaran Singapura, indeks tuaian ialah 3 – 6 untuk pasaran segar dan jus. Belimbing juga sesuai dijadikan produk makanan seperti jeli dan jem.

Belimbing adalah buah-buahan tidak bermusim justeru boleh diperolehi sepanjang tahun. Namun begitu, pengambilan rakyat Malaysia untuk buah-buahan ini paling sedikit berbanding buah-buahan lain dengan anggaran pengambilan satu biji seorang dalam setahun menurut bancian tahun 2018.

 

Sumber maklumat :

Suhana Safari et al., “Potensi Pasaran Belimbing Hibrid Baharu MARDI (MSTAR 1 @ Bintang Mas), Buletin Teknologi MARDI Bil. 19 (2020) : 191 201, MARDI.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Hextar Fert Sdn. Bhd.
No. 64, Jalan Bayu Laut 4/KS09, Kota Bayuemas, 41200 Klang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336

Website: www.hextar.com

Sila kongsi kepada kawan :