You are currently viewing Masa Sudah Tiba Untuk Sektor Penanaman Menanam Klon Sawit ?

Masa Sudah Tiba Untuk Sektor Penanaman Menanam Klon Sawit ?

- - iklan - -

Pasaran untuk klon sawit atau sawit tisu didik semakin besar dalam negara. Sehingga kini terdapat tidak kurang 15 buah syarikat mengeluarkan anak benih klon sawit untuk memenuhi permintaan di pasaran. Jumlah tahunan anak benih klon sawit dianggarkan 5 juta pokok tetapi masih tidak dapat menampung permintaan. Dijangka tahun 2020 jumlah tersebut akan ditingkatkan ke aras 6 juta pokok.

Menurut maklum balas daripada peladang yang telah menanam klon sawit, didapati hasilan minyaknya sekurang-kurang melebihi melebihi 20% berbanding sawit DxP. Namun disebabkan oleh klon sawit membawa masalah somaklonal melebihi 5% di peringkat awal komersialisasi, keadaan ini telah mendinginkan minat peladang menggunakan bahan tanaman ini. Keadaan sekarang sudah berubah, berikutan teknik kultur sawit yang semakin mahir dan mantap, klon sawit kini adalah selamat digunakan kerana masalah somaklonal sudah diturunkan ke bawah 5% iaitu satu paras yang boleh diterima oleh peladang. Minat untuk menanam klon sawit kelihatan semakin membara di situasi terkini dengan harapan mendapat pulangan lebih tinggi daripada penanaman tanaman ini di masa akan datang.

Klon sawit tidak digalakkan untuk ditanam secara baka tunggal sebaliknya penanam hendaklah mencampurkan beberapa baka klon daripada pengeluar yang berbeza. Tujuannya ialah untuk mengurangkan risiko serangan penyakit, kadar pendebungaan dan hasil yang lebih rendah.

Selain beberapa pengeluar utama klon sawit di pasaran seperti FGV Agri Services Sdn Bhd, AAR, Sime Darby, United Plantations dan lain-lain lagi, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga pernah melaporkan kejayaan penerokaan klon sawit berhasil tinggi dari segi kandungan minyak dan juga buah tandan segar. Menurut kajian tersebut, bahan tanaman klon yang membawa kod P325 jika ditanam di tanah pedalaman boleh mendatangkan hasilan minyak melebihi 10 tan/ha.

Dalam aspek ini, MPOB sejak tahun 2007 telah memulakan satu projek kulturan klon sawit yang dikenali sebagai CPS1 (Clonal Palm Series 1). Pokok sawit yang membawa kod 0.150/2657 telah dipilih sebagai sumber bahan tanaman untuk pembiakbakaan klon sawit tersebut. Anak benih sawit klon yang dihasilkan kemudian itu ditanam. 9 tahun selepas ditanam, pokok-pokok sawit yang dikenali sebagai CPS 2 ini memberi hasil buah tandan segar sebanyak 35.7 tan/ha/tahun dengan hasilan minyak mencapai 10.8 tan/ha/tahun. Lebih-lebih lagi pokok boleh ditanam dengan kepadatan sehingga 198 pokok/ha iaitu lebih tinggi daripada kepadatan konvensional pada 136 atau 148 pokok/ha.


Tambahan, pokok CPS 2 juga berjaya menghasilkan pokok yang bebas daripada sebarang masalah somaklonal mencatatkan kadar sifar dalam aspek tersebut (Transfer of Technology 2018, MPOB TT. No. 634). Pendek kata, pokok CPS 2 boleh ditanam dengan rapat kerana saiz pokok yang lebih kompak. Selain itu potensi pengeluaran hasil buah tandan dan hasilan minyak yang tinggi juga ciri-ciri unik bagi bahan tanaman ini.

Berikutan tanah yang sesuai untuk tanaman sawit semakin kurang pada masa kini, maka penanam baik dari sektor estet ataupun sektor pekeun kecil digalakkan untuk memberi perhatian berat ke atas hasilan minyak yang lebih tinggi pada klon sawit. Ini kerana di akhir hari kandungan minyaklah yang akan memberi pulangan lebih lumayan kerana dalam pengiraan pulangan sawit, kandungan minyak yang diwakili oleh OER adalah satu komponen penting dalam kiraan tersebut. Dengan kata lain, semakin tinggi OER maka semakin tinggi pulangan hasil sawit yang akan diberikan oleh pihak kilang.

 

Sumber maklumat :

1. Ahmad Kushairi Din, N. Balu and Azman Ismail, Oil Palm Replanting-Little Steps To A Giant Leap, MPOB, 2018, pg. 58-59.
2. Samsul Kamal Rosli et al., “Clonal Palm Series 2 (CPS2)”, MPOB Information Series, July 2018, MPOB TT No. 634.

Hantar blog ini kepada :