You are currently viewing Kawalan Serangan Anai-Anai Di Kawasan Tanaman Sawit

Kawalan Serangan Anai-Anai Di Kawasan Tanaman Sawit

  • Post category:Artikel

Tanaman sawit sering menghadapi serangan anai-anai terutama di tanah gambut. Di antara 175 spesies anai-anai yang dijumpai di Malaysia, hanya 5 spesies daripada genus Coptotermes digolongkan sebagai perosak tanaman sawit. Perosak ini bersembunyi di bawah tanah iaitu berbeza dengan anai-anai bukan perosak yang amnya membina busut di atas permukaan tanah. Di Semenanjung Malaysia terdapat tidak kurang 41 spesies anai-anai bukan perosak di tanah gambut. Mereka ini sebaliknya meningkatkan kesuburan tanah melalui kegiatan penguraian sisa organik dalam tanah.

Serangan anai-anai terhadap pokok sawit boleh bermula seawal 6 – 12 bulan selepas pindah tanam di ladang. Serangan tersebut mampu menyebabkan kematian pokok sawit melebihi 3% jika serangan berlaku di bahagian pucuk tengah (spear) pokok. Gejala serangan awal dapat diperhatikan melalui kesan kerja tanah yang dibawanya di bahagian pangkal pelepah, mayang bunga, buah tandan dan pucuk daun. Gejala selanjutnya ialah 2-3 pelepah atasan dan pucuk daun menjadi kuning dalam masa 2 bulan. Selanjutnya pelepah dan pucuk tersebut akan layu diikuti oleh penukaran warna krau pokok kepada coklat dan akhirnya patah. Anai-anai yang berjaya memasuki ke dalam bahagian pucuk dan pangkal pelepah akan menusuk ke dalam pokok sehingga ke bahagian pangkal batang pokok iaitu satu tindakan serangan dari atas ke bawah.

Gejala serangan anai-anai hendaklah diawasi di peringkat permulaan iaitu kewujudan kesan-kesan kerja tanah di bahagian batang pokok khususnya di antara pangkal pelepah dan pucuk daun ataupun kelayuan pelepah bawahan di luar dugaan.

Kawalan Kimia

Beberapa kaedah kaedah kawalan telah telah diperkenalkan untuk menangani serangan perosak ini. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendapati Kawalan kimia kimia dengan menggunakan Chlorpyrifos (38ml/5 liter air, 2-3 bulan/kali) memberi kesan kawalan 60% manakala Fiproni (5ml/5 liter air, 5-6 bulan/kali) memberi kesan kawalan 100%. Racun-racun kimia ini digunakan secara menyembur pada pucuk daun dan juga celah perantaraan pangkal pelepah dan juga batang pokok sepenuhnya serta menyiram di bawah pokok. Untuk mengawal serangan baru, 6 pokok di sekeliling pokok yang telah diserangi hendak juga dirawat dengan cara yang sama. Jumlah kos untuk cara ini dianggarkan RM187/ha untuk rawatan Chlorpyrifos dan RM 82/ha untuk rawatan dengan Fipronil iaitu jauh lebih murah.

Sebelum rawatan, kerja tanah yang disebabkan oleh anai-anai pada bahagian pokok hendaklah dikikis supaya racun dapat menusuk masuk. Rawatan seelok-eloknya dijalankan pada hari bercuaca baik dan semasa kerja tanah masih basah. Elekakkan rawatan pada musim kering kerana koloni anai-anai berada lebih mendalam di dalam tanah pada ketika itu menyebabkan racun mungkin tidak dapat mencapai ke koloni untuk membunuhnya.

Kawalan Kultur

Apabila koloni anai-anai berada lebih mendalam di dalam tanah, racun kimia tidak dapat mencapai ke situ dan keadaan ini akan menurunkan kesan kawalan. Oleh yang demikian, melalui cara meningkatkan aras air bawahan tanah kepada 15-30cm dari permukaan tanah untuk jangka masa satu minggu terutama semasa musim kering akan memaksa koloni anai-anai naik ke bawah permukaan tanah. Pada ketika itu, rawatan racun kimia akan memberi kesan kawalan optimum. Paras air bawahan tanah secara jangka pendek ini tidak akan memberi kesan negatif terhadap pokok sawit. Peningkatan paras air ini boleh dijalankan dengan menggunakan beg berpasir atau rangka konkrit untuk mengawal pengaliran air parit di ladang. Satu kemudahan kawalan ini sudah cukup untuk keluasan satu hektar tanah gambut untuk menaikkan paras air ke tahap yang sesuai itu.

Sumber maklumat :

1. Zulkefli Masijan et al., “Termites”, Sustainable Oil Palm Insect Pest Management In Malaysia, MPOB, 2018, Editors, Siti Ramlah Ahmad Ali et al., (Editors).
2. Zulkefli Masijan et al., Termites of Oil Palm in Malaysia : Indentification and Management, MPOB, 2012.