Samudra SMS Sdn Bhd
Tel : 06-556 1086, 012-964 4932
016-663 6198 / 012-3232 055 (Office)
Email : chssb@hotmail.com
Website : www.chanhockseng.com
Di ladang kelapa sawit yang matang, sekali sekala boleh ternampak buah sawit yang reput dan busuk dalam tandannya. Gejala ini ada kala wujud secara sementara sahaja, ada kala berlaku pada setiap buah yang dihasilkan yang mana buah sawit tersebut mereput dan busuk sebelum masak.
Sesungguhnya, ada sebab-musabab di sebaliknya yang menyebabkan kejadian ini. Amnya, buah reput dan busuk adalah disebabkan oleh masalah pertumbuhan fisiologi yang dialami oleh pokok dan selanjutnya mengakibatkan kegagalan buah tandan. Buah tandan yang gagal ini dengan cepatnya diselubungi oleh kulat dan organisme mikro yang akan terus membawa buah tandan tersebut ke kancah kereputan. Terdapat beberapa punca yang telah dikesan sebagai penyebab buah reput dan busuk dan ia adalah seperti berikut :
Â
1. Gejala Buah Reput Akibat Kegagalan Buah Tandan Pokok Steril (sterile palms)
Pokok steril boleh difahamkan sebagai pokok yang tidak produktif dan tidak mengeluarkan buah sawit. Pokok seumpama ini boleh jadi tidak menghasilkan bunga betina atau buah tandan sama sekali. la juga dimaksudkan sebagai pokok yang menggugur dan mengagalkan bunga/mayang betina di masa sebelum atau selepas sahaja bunga mengorak (anthesis). la juga merangkumi aspek kegagalan buah tandan. Segala aspek ini mendatangkan kerugian kepada pengusaha tanaman sawit kerana tiada peluang untuk mayang betina pokok berkembang dan membentuk buah tandan segar.
Bunga/mayang dan buah tandan yang gugur serta gagal dengan cepatnya akan diserangi oleh sejenis organisme mikro yang dikenali sebagai Marasmius. Kulat ini akan mreputkan buah sawit di tandan tersebut. Pengusaha tanaman sawit
sukar sekali untuk memperolehi hasil buah daripada pokok steril. Lantaran itu, pokok steril ada kala dikenali sebagai pokok jantan atau pokok “pondan” yang membawa implikasi kebolehan pokok bertumbuh tetapi tidak boleh berbuah. Nama yang lebih tepat bagi pokok steril ialah pokok pisifera. Pokok pisifera sebenarnya adalah pokok induk jantan, membawa konotasi pokok yang tidak produktif.
Disebabkan oleh sifat semula jadi ini yang tidak berfungsi menghasilkan buah, pokok pisifera akan menyalurkan sepenuhnya karbohidrat yang dijana melalui proses fotosintesis serta nutrien yang diserap kepada bahagian vegetatifnya, iaitu batang, daun, pelepah dan bunga jantan pokok, menyebabkan jenis pokok ini mempunyai rupa bentuk dan saiz yang lebih besar daripada pokok-pokok sebaya di sekeliling. Baik dari segi batang, pelepah atau ketinggian, pokok pisifera menunjukkan pertumbuhan vegetatif yang lebih agresif dan dapat dilihat dengan ketara. Oleh kerana tidak dapat menjalankan tugas menghasilkan buah, pokok pisifera yang tumbuh di ladang boleh ditebangkan seawal mungkin supaya menyediakan ruang yang lebih besar bagi pokok-pokok sekitaran membesar dengan lebih baik.
Kenapa Pokok Pisifera Boleh Wujud Di Ladang ?
Pokok pisifera yang tidak boleh berbuah ini boleh dikatakan adalah hasil kacukan daripada sesetengah tenera dengan pisifera. Ia juga boleh wujud dalam baka kacukan deli dura. Dalam proses kacukan, jika baka pisifera yang digunakan adalah berkualiti rendah, ia berkemunkinan akan menghasilkan baka pokok ini. Bahan tanaman kelapa sawit yang tiada lesen dengan MPOB serta dari sumber yang tidak sah, mempunyai kemungkinan yang besar akan tertanam sehingga 20 – 25% pokok-pokok pisifera di ladang.
2. Gejala Buah Reput Pada Pokok Yang Normal
Dalam proses pembentukan, Buah tandan di pokok yang normal boleh gagal menjadi buah tandan segar akibat masalah fisiologi. Buah tandan yang gagal ini dengan cepatnya akan diduduki dan direputkan oleh organisme mikro. Oleh itu, gejala buah reput dalam keadaan ini adalah berpunca daripada aspek fisiologi pokok menyebabkan yang buah tandan gagal membesar, kemudian diselubungi dan direputkan oleh organisme mikro. Dengan kata lain, aspek fisiologi adalah punca kejadian buah reput, bukannya pokok menghasilkan buah yang reput.
Halangan fisiologi boleh terjadi pada pokok yang sedang berada dalam tempoh pembuahan yang genting, yang mana bekalan air dan nutrien yang tidak mencukupi menyebabkan buah tandan atau mayang betina gugur atau gagal untuk perkembangan selanjutnya. Fenomena ini berasal dari daya penyelarasan diri pokok untuk menangani gaya pembuahannya yang tinggi. Keadaan ini biasa berlaku dalam tempoh pembuahan yang tinggi untuk 3 10 tahun atau pada pokok yang baru mula berbuah. Di samping itu, buah tandan juga boleh gagal pada masa sebelum atau selepas musim kemarau.
Kejadian buah tandan gagal boleh melibatkan semua buah tandan pokok atau hanya merangkumi sebilangan kecil buah tandan sahaja di pokok. la juga boleh berlaku pada satu sahaja buah tandan malah pada sebahagian buah tandan tersebut.
Terdapat juga buah tandan hampir masak mengalami kereputan di hujung buah sawit Buah sawit berkenaan kemudian akan gugur dan meninggalkan lekukan kecil di situ. Buah sawit yang terlibat itu boleh merangkumi 1/2 – 1/4 keluasan permukaan buah tandan tersebut. Gejala buah tandan gagal biasanya akan berlaku dalam masa 2 – 4 bulan selepas mayang betina mengorak/ berkembang (anthesis). Petanda awal kejadian ialah kehilangan kecerahan warna pada kulit buah sawit.
Untuk mengelakkan gejala buah reput di pokok normal, maka halangan fisiologi pokok harus diminimumkan. Antara langkah yang boleh diambil termasuklah pembekalan nutrien dan air yang secukupnya.
Dalam pada itu, terdapat beberapa faktor lain yang boleh dikaitkan dengan gejala buah tandan gagal dan reput. Antaranya ialah pendebungaan yang tidak sempurna ketika mayang betina mengorak. Penyakit reput pangkal batang (Ganoderma) boleh juga dengan tiba-tibanya menyebabkan buah tandan gagal kesemuanya.
Selain itu, pokok muda menjelang kematangan yang masih kecil batang pokoknya mungkin tidak dapat menyimpan zat makanan secukup untuk kegunaan pokok dalam tempoh pembuahannya. Ditambah dengan sistem akar yang masih terbatas, kedua-dua faktor ini boleh menggagalkan buah tandan. Namun, dengan memelihara tahap kalium (K) dalam tanah, masalah ini dipercayai dapat diatasi.
3. Gejala Buah Reput Akibat Serangan Organisme Mikro
Kulat seperti Marasmius palmivorus dan Corticium (Sclerotium) rolfsii yang menjadikan buah sawit sebagai tempat tumpangan kitaran hidup boleh mengakibatkan buah sawit reput dan busuk. Marasmius adalah kulat mereput yang lazim dan amnya menginap di bahagian atas pangkal pelepah yang sudah dipangkas serta di dalam sisa sedia reput di atas pokok. Kulat ini mempunyai daya serangan yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan kulat Corticium. Serangannya bermula dengan melabuh di permukaan buah sawit, kemudian menusuk masuk ke dalam dan mereputkan buah tersebut. la boleh menyerang buah sawit yang sihat, seterusnya merebak pada keseluruhan jemala pokok.
Kulat Marasmius lebih banyak menyerang buah tandan yang tidak mempunyai pendebungaan yang sempurna. Maka itu, dengan pemupukan kadar pendebungaan yang lebih baik serta membersihkan jemala pokok melalui pembuangan bahan-bahan sisa seperti mayang jantan layu dan sebagainya, ditambah dengan pemotongan buah tandan yang dijangkiti penyakit, dipercayai dapat mengurangkan kadar serangan serta menghapuskan habitat kulat ini.
Penggunaan racun kimia juga boleh mendatangkan kesan kawalan terhadap kulat Marasmius. Buah tandan yang dijangkitinya boleh disemburi dengan racun Antimucin WBR (0 – 12%) atau cycloheximide (Acti-dione) untuk tujuan penghapusan kulat ini.
Rujukan :
1. C.W.S. Hartley, “Diseases and Pests of the oil palm”, The Oil Palm, Longman Group Ltd., 1988
2. P.D. Turner and R.A. Gillbanks, ” Field Diseases and Disorders of Oil Palm”, Oil Palm Cultivation and Management, ISP, 2003.
3. P.D. Turner, “Oil Palm Diseases: Introduction”, Oil Palm Research, Editors, R.H.V. Corley, J.J. Hardon and B.J. Wood, Elsevier Scientific Publishing Co., 1976.
Samudra SMS Sdn Bhd
Tel : 06-556 1086, 012-964 4932
016-663 6198 / 012-3232 055 (Office)
Email : chssb@hotmail.com