Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336
Website: www.hextar.com
Penghasilan mayang di atas pokok kelapa sawit berkaitan dengan sifat genetik yang ditunjukan melalui kitaran pembungaan jantina yang berbeza di antara pokok. Malahan setiap pokok sawit mempunyai kitaran pembungaan jantan dan betina yang berbeza dan ia disyorkan dalam jadual 1.
Pokok sawit yang menghasilkan bilangan bunga jantan yang banyak secara berpanjangan menyatakan sesuatu gangguan telah berlaku semasa tempoh penentuan jantina khususnya cuaca, serangan perosak seperti ulat bungkus, pangkasan pelepah berlebihan ataupun kekurangan nutrien yang berlaku 20 bulan sebelum bunga mengorak atau 25 bulan sebelum tandan masak. Keadaan ini seterusnya menyatakan bahawa kesan alam sekitar atau pembajaan hanya menunjukkan kesannya pada 18 – 24 bulan kemudian.
Pokok sawit bersifat monoesius iaitu mayang jantan dan betina dihasilkan pada pokok yang sama. Pada kebiasaan hanya satu mayang mengorak pada setiap pokok. Di peringkat awal sekali, bunga sawit mengandungi kedua-dua organ jantina yang mana pada masa penentuan jantina, ada yang akan menjadi mayang betina dan ada yang membentuk pula mayang jantan. Faktor alam sekitar dan amalan agronomi wujud sebagai faktor yang mempengaruhi bunga menjadi betina atau jantan.
Pembentukan mayang adalah selaras dengan pertumbuhan setiap pelepah pokok. Dengan kata lain, di bahagian atas setiap pelepah baru seharusnya ada satu mayang baru yang tumbuh bersama. Jika mayang jantan ataupun betina tidak kelihatan di situ, keadaan ini menyatakan mayang tersebut sudah gugur sebelum ia mengorak. Keguguran ini amnya tidak dapat dilihat secara luaran kerana mayang tersebut sangat kecil. Keguguran ini biasanya berlaku dalam tempoh 4 – 6 bulan sebelum mayang mengorak. Walaupun mayang jantan juga boleh gugur, namun yang lebih banyak menggugur ialah mayang betina.
Pengguguran mayang betina adalah suatu kerugian kepada pengusaha tanaman kerana buah tandan dikutip nanti akan berkurangan. Oleh itu, pokok yang tidak cenderung mengeluarkan mayang betina khususnya menandakan kemunculan masalah tertentu pada 10 – 25 bulan sebelummya. Ini kerana keguguran mayang merupakan salah satu cara pokok mengatasi masalah kekurangan makanan supaya menjimat sumber makanan dalam pokok, lebih-lebih lagi pokok sawit lebih mengutamakan keperluan pertumbuhan vegetatif daripada aspek reproduksi pokok.
Oleh yang demikian, pembekalan sumber makanan dan air yang mencukupi kepada pokok melalui pembajaan, pemeliharaan kelembapan tanah dan juga mengotimumkan proses fotosintesis melalui pengekalan jumlah pelepah yang mencukupi dan mengurangkan kesan naungan daun malahan mengelak daripada pangkasan pelepah berlebihan adalah amalan yang perlu diberi perhatian agar pengeluaran mayang pokok tidak terganggu selanjutnya memberi hasil sawit sewajarnya.
Bahan rujukan :
Mohd Haniff Harun dan Mohd Roslan Md Noor, “Fisiologi Sawit”, Perusahaan Sawit Di Malaysia-Satu Panduan, MPOB, 2009, edisi ke-3, hal. 45-47.
Kimagri Corporation Sdn Bhd
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com