You are currently viewing Kandungan Klorofil Berkadar Terus Dengan Produktiviti Sawit

Kandungan Klorofil Berkadar Terus Dengan Produktiviti Sawit

Produktiviti tanaman sawit sering dihubungkaitkan dengan beberapa aspek. Di bidang penyelidikan, indeks keluasan daun (leaf area index, LAI) pokok sawit adalah salah satu aspek yang penting. Ini kerana daun adalah media penjanaan karbohidrat melalui proses fotosintesis. Maka itu, pokok yang mempunyai daun yang banyak pada masa yang sama juga mempunyai LAI yang tinggi dan keadaan ini akan meningkatkan kesan fotosintesis. Peningkatan fotosintesis selanjutnya akan memperkasakan penjanaan karbohidrat untuk keperluan tumbesaran, pembungaan dan pembuahan pokok sawit. Oleh itu, daun hijau yang masih berfungsi pada pokok sawit sering dinasihatkan supaya dikekal demi tujuan memberi manfaat dalam proses fotosintesis.

Dalam konteks ini, kandungan klorofil di dalam daun pokok amat penting kerana unsur inilah yang akan menyerap tenaga cahaya matahari untuk tujuan fotosintesis. Dengan kata lain, semakin tinggi kandungan klorofil maka semakin berkesan proses fotosintesis seterusnya akan membawa kebaikan kepada produktiviti pokok termasuk pengeluaran buah tandan yang lebih banyak ataupun yang lebih berat atau besar. Daripada sini, maka kandungan klorofil di dalam daun secara tidak langsung telah dihubungkaitkan dengan produktiviti pokok sawit. Adakah kandungan klorofil ini berbeza di antara baka sawit?

Persoalan ini pernah dikaji melalui analisis ke atas 11 baka sawit tenera x tenera (T x T) melalui kaedah ANOVA iaitu sejenis analisis menggunakan formula dan komputer. Hasil kajian tersebut mendapati semua baka sawit ini walaupun mempunyai perbezaan ketara di antara bilangan dan berat purata buah tandan, tetapi perbezaan dari segi kandungan klorofil sebenarnya tiada perbezaan yang ketara, malah warisan genetik aspek tersebut hanyalah 23.83%. Keadaan ini juga merujuk kepada baka sawit dura, pisifera dan tenera.

Ini bermaksud kandungan klorofil di dalam daun pokok sawit itu hanya 23.83% diwarisi secara genetik manakala 76.1% adalah dipengaruhi oleh faktor lain. Pada hakikat, penemuan ini bukannya sesuatu yang aneh memandangkan warisan gentik bagi komponen lain seperti bilangan dan berat buah tandan, kandungan minyak dan lain-lain yang berkaitan juga setakat di antara 20.15 – 33.33% sahaja, selainnya itu adalah dipengaruhi oleh faktor lain seperti cuaca, tanah, nutrien dan sebagainya.

Analisis tersebut selanjutnya mendapati bahawa kandungan klorofil di dalam daun mempunyai kaitan rapat serta berkadar terus dengan bilangan buah tandan dan juga berat buah tandan. Dengana kata lain, semakin tinggi kandungan klorofil maka semakin tinggi bilangan buah tandan yang akan diperolehi di samping juga akan memperolehi buah yang lebih berat. Berasaskan penemuan ini, maka boleh disimpulkan bahawa dengan meningkatkan kandungan klorofil di dalam daun akan membolehkan produktiviti pokok sawit dipertingkatkan.

Bagi mencapai matlamat ini, maka usaha memperkasakan kandungan klorofil di dalam daun pokok sawit boleh dijadikan sasaran melalui langkah-langkah agronomi yang baik termasuk pembajaan, pemeliharaan kelembapan tanah, peningkatan kesuburan tanah dan sebagainya. Langkah-langkah ini akan membawa kesan sehingga 76.17% dalam peningkatkan kandungan klorofil di dalam daun pokok sawit memandangkan warisan gentik aspek tersebut hanya 23.83% seperti yang disebutkan sebelum ini.

Asas ini kelihatan juga boleh digunakan untuk menerangkan kepentingan pengekalan daun hijau yang masih berfungsi pada pokok sawit kerana semakin banyak daun yang ada, maka kuantiti kandungan klorofil tentunya lebih banyak.

 

Bahan rujukan:

Raja Farhana Raja Mohd. Anuar et al., “Performance of Tenera Population for the Chlorophyll Contents and Yield Component”, PIPOC 2007, MPOB, hal. 701-705.

Hantar blog ini kepada :