Pengurusan tanaman sawit sebelum matang amat penting. Tempoh matang tanaman ini boleh diawalkan 2.5 bulan jika pengurusan munasabah diberikan. Malahan, pengeluaran hasil untuk kutipan dua tahun pertama juga meningkat secara ketara dalam keadaan ini. Hal ini sudah terbukti dalam 2 eksperimen di Indonesia serta satu eksperimen di Costa Rica. Faktor utama yang menghasilkan keputusan positif ini berpunca daripada perolehan nutrien oleh tanaman sawit tersebut.
Pada dasarnya, penanam sawit amnya akan memupuk tanamannya supaya lebih cepat matang. Hanya selepas matang tanaman sawit baru boleh berbunga dan berhasil. Untuk mencapai matlamat ini, kelestarian tumbesaran pokok hendaklah dijaga. Pokok subur di peringkat belum matang akan memberi hasil lebih lumayan selepas mencapai kematangan. Kalau tidak, pokok lemah bukan sahaja kurang berhasil, malahan risiko jangkitan penyakit juga meningkat.
Di peringkat umur 2 1/2 hingga 3 tahun selepas tanam, hasil awalan akan terbentuk di atas pokok. Hasilnya sama ada banyak atau kurang bergantunglah kepada amalan agronomi sebelum itu. Justeru selepas menanam, pembajaan hendaklah dijalankan mengikut jadual. Tidak berbaloi menjimat baja di peringkat ini walaupun hasilnya belum kelihatan.
Malaysia dan Indonesia sama-sama merupakan pengeluar minyak sawit utama di dunia. Mereka membekal lebih 80% minyak sawit sedunia. Dalam keadaan semasa ini, atas faktor kekurangan tanah bertanam serta kesedaran isu alam sekitar, penanam kini telah menjurus ke arah meningkatkan hasil sawit dalam keluasan yang sama dan bukannya membesarkan keluasan tanaman. Namun, 40% penanam di kedua-dua negara ini terdiri daripada sektor pekebun kecil dengan hasilan minyak setakat 3 – 4 tan/ha. Prestasi ini didapati rendah daripada paras normal kerana amalan agronomi sektor ini kebiasaan lebih rendah daripada sektor estet.
Tambahan sektor pekebun kecil lebih mirip menggunakan baja sebatian berbanding baja tunggal kerana amalan ini lebih menjimat pusingan membaja serta tanaman boleh mendapat bekalan nutrien lebih seimbang. Menurut satu sumber tahun 2012, kos baja merangkumi 20% jumlah kos pengeluaran minyak sawit. Kos ini tentu meningkat lagi di masa kini berikutan harga baja melambung tinggi dalam setahun dua lalu. Justeru itu, pembajaan baja sebatian perlu berhati-hati supaya pembaziran tidak berlaku. Dengan kata lain, pembajaan perlu dijalankan mengikut dos yang lebih tepat. Memandangkan pembajaan sangat penting untuk tanaman sawit belum matang, maka dos yang harus diguna pakai itu menjadi perhatian ramai penanam.
Siallagan dan rakan-rakan (2014) (2014) pernah melaporkan, tanaman sawit selepas ditanam, di peringkat tahun pertamanya, bekalan tinja lembu pada kadar 40.7kg dan baja NPK 1.9kg/pokok/tahun merangsang tumbesaran pokok ke aras optimum. Hal ini terbukti daripada data tersebut mengenai ukur lilit batang pokok, ketinggian pokok dan kandungan nitrogen serta fosforus dalam daun masing-masing berada di aras optimum. Ini keperluan bekalan baja untuk pokok di ladang yang berumur satu tahun selepas ditanam, bagaimana pula dengan pembajaan tahun kedua? Berikut diturunkan satu hasil eksperimen berkenaan yang dijalankan di Jawa, Indonesia.
Eksperimen ini dikendalikan di Jawa Barat antara bulan Mac 2014 – Mac 2015. Jenis baja digunakan ialah baja organik (tinja haiwan) dan baja sebatian, dan dibekalkan kepada pokok di peringkat umur 14 dan 20 bulan. Data mengenai ketinggian pokok, ukur lilit batang pokok dan keluasan daun ke-9 dikumpul setiap dua bulan selepas rawatan. Kandungan klorofil dalam daun dan kadar fotosintesis juga diukur dalam eksperimen ini.
Hasil Eksperimen
Bekalan baja organik tidak memberi kesan ke atas ketinggian pokok. Sudradjat dan rakan-rakan (2014) sebelum ini pernah melaporkan pandangan yang sama iaitu bekalan 30kg baja organik juga tidak mendatangkan kesan terhadap tumbesaran tanaman sawit. Dipercayai baja ini hanya menunjukkan kesannya dalam jangka masa lebih panjang.
Sebaliknya, bekalan baja sebatian berjaya meningkatkan ketinggian pokok ke aras optimum. Keputusan ini dipercayai berpunca daripada kandungan kalium yang ada di dalam baja sebatian itu. Magen (2018) melaporkan jika tanah kekurangan kalium sepanjang tempoh penanaman, kesuburan tanah serta keberhasilan sawit akan terjejas.
Selain itu juga, ukur lilit batang tanaman juga meningkat ekoran bekalan baja sebatian dan bukannya berpunca daripada bekalan baja organik. Keluasan daun ke-9 menunjukkan jika bekalan baja sebatian diberikan secara berlebihan, keluasan tersebut akan menurun. Keluasan daun pokok belum matang mudah dipengaruhi kandungan N. Oleh kerana baja sebatian mengandungi N yang lebih banyak justeru memberi kesan lebih positif dalam pemupukan keluasan daun. Di peringkat 24 bulan eksperimen itu, kandungan klorofil dalam daun di kumpulan yang menerima rawatan baja sebatian lebih tinggi secara ketara berbanding kumpulan yang menerima baja organik.
Rumusan
Tuntasnya, baja organik tidak berdaya meningkat ketinggian pokok, ukur lilit batang pokok, keluasan daun, kandungan NPK dan klorofil dalam daun. Sebaliknya baja sebatian mampu meningkatkan semua aspek tersebut dengan lebih baik. Justeru itu, dicadangkan dos aplikasi baja sebatian diberikan pada 3.52kg/pokok pada tahun kedua selepas ditanam di ladang. Dos baja organik pula tidak dapat ditentukan dalam eksperimen ini kerana keputusannya kurang jelas. Keadaan ini mungkin memberi implikasi baja organik tidak perlu diberikan kepada pokok berumur 2 tahun kerana prestasi tumbesaran kelihatan sudah cukup baik melalui aplikasi baja sebatian sahaja.
Bahan rujukan :
Adinda N.H. Manurung et al., ‘Optimizing rate of organic and NPK fertilizers on second year immature oil palm’ Asian Journal of Applied Sciences’, vol. 03,.June 2015.
Palm King Marketing Sdn Bhd
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd