You are currently viewing MR 220 Varieti Padi Berhasil Tinggi

MR 220 Varieti Padi Berhasil Tinggi

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Applied Agricultural Resources Sdn. Bhd.
No. 11, Jalan Teknologi 3/6, Taman Sains Selangor 1, Kota Damansara, 47810, Petaling Jaya, Selangor, Malaysia
Tel : 03-61517924/25/26/27/28
Fax : 03-61517081
E-mail: sales@aarsb.com.my

Website: www.aarsb.com.my

Padi varieti MR 220 adalah baka padi kacukan antara varieti MR 151 dan varieti MR 137 yang dijalankan pada Musim Luar tahun 1991. Penilaian hasil kemudian dijalankan melalui Percubaan Hasil Awal pada Musim Luar 1996 hingga ke Musim Utama 1996/97 di Stesen MARDI Seberang Perai. Sehingga Musim Luar 2001, percubaan telah dijalankan di 16 lokasi dengan prestasi hasil dinilai dalam 34 Percubaan Penyesuaian Baka. Kombinasi ujian-ujian penghasilan mendapati hasil purata MR 220 pada 5,935 kg/ha adalah 15.4% lebih tinggi daripada padi varieti MR 84 pada hasil purata 5,142 kg/ha.

Pada masa yang sama, Hasil purata MR 220 adalah 6,805 kg/ha berbanding dengan 6,736 kg/ha berbanding padi varieti MR 219, iaitu peningkatan hasil setakat 1.02%. Ujian di Jelai, MADA menunjukkan hasil tertinggi pada 8,105 kg/ha di musim luar 2001, iaitu satu prestasi yang menggalakkan. Anggaran potensi pengeluaran hasil MR 220 adalah 9.64 tan/ha. Senario ini secara langsung memampangkan potensinya sebagai varieti padi yang mampu meningkatkan pendapatan petani sekiranya amalan baik dipraktikkan.

Sebagai ‘adik’ kepada varieti MR 219 atau seketurunan, MR 220 mempunyai banyak persamaan dengan MR 219 khususnya dari segi tempoh kematangan, ketinggian pokok, bentuk bijirin, kandungan amilos, rintangan terhadap penyakit dan perosak, pengilangan dan kualiti nasi yang dihasilkan. Oleh itu, amalan pengurusan bagi kedua-dua varieiti ini seperti kadar benih, pembajaan dan pengurusan air adalah lebih kurang sama.

Namun begitu, biji varieti MR 220 adalah lebih besar dan berat daripada MR 219. Pengisian bijinya juga lebih cekap daripada MR 219, justeru hasilnya adalah lebih stabil di sekitaran yang kurang baik seperti kekurangan air semasa kematangan padi dan pembajaan yang kurang tepat pada masa. Selain itu, rintangan terhadap hawar daun bakteria pada MR 220 adalah lebih tinggi daripada MR 219 tetapi lebih rentan pada serangan bena perang. Walaupun kesesuaian MR 220 adalah lebih baik untuk kawasan MADA dan KETARA manakala MR 219 adalah lebih sesuai untuk kawasan Projek Barat Laut Selangor dan Seberang Perak, MR 220 tetap menjadi alternatif yang baik dibandingkan dengan varieti MR 219 kerana potensi hasil yang setanding malah lebih baik daripadanya.

Umur Matang MR 220

MR 220 mempunyai masa matang yang sama dengan MR 219, iaitu antara 105 – 113 hari bergantung pada musim dan sistem tanaman yang diamalkan. Namun begitu, umur matangnya adalah lebih awal sebanyak 10 hari jika dibandingkan dengan MR 84.

Rintangan MR 220 Terhadap Serangan Perosak dan Penyakit

MR 220 mempunyai rintangan yang sangat baik terhadap penyakit karah dan hawar daun bakteria. Bagi penyakit merah virus dan hawar seludang, rintangannya adalah sederhana.

Rasa Nasi MR 220

Padi MR 220 akan menghasilkan nasi yang lembut seperti MR 219 kerana kandungan amilos (%) adalah antara 20% – 22% sahaja jika dibandingkan dengan MR 84 yang mana nasinya lebih keras kerana kandungan amilos setinggi 28%. Kandungan amilos yang rendah menandakan kadar serapan air yang rendah semasa masakan serta akan menghasilkan tekstur nasi yang lebih lembut.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Yi Nong (M) Sdn. Bhd.
No 102, Jalan Kampung Raja, 39010 Cameron Highlands, Pahang, Malaysia.
Tel: +605-4981333
Fax: +605-4983199
Email: yinong.sdn.bhd@hotmail.com

Pembajaan MR 220

MR 220 memberi tindakbalas yang baik kepada pembajaan. Ini bermakna pembajaan akan mendatangkan kesan yang ketara ke atas penghasilannya. Oleh itu, pembajaan nitrogen harus dijalankan pada 4 peringkat, iaitu pada peringkat tiga helai daun, ruas mula memanjang, bunting kecil dan tangkai terbit. Setakat bergantung pada baja subsidi (260 kg baja campuran dan 100 kg urea sehektar) masih tidak mencukupi untuk memupuk hasil yang baik, lantaran itu baja tambahan dalam bentuk baja sebatian (12:12:17+TE atau 13:13:21+TE) pada kadar 500 – 700 kg/ha harus diberikan.

Pada 15 hari selepas tabur (HST), baja campuran pada kadar 140 kg/ha digunakan untuk memupuk pengakaran dan tumbesaran awal sebagai langkah pembajaan pertama. Seterusnya, pembajaan kedua dijalankan pada peringkat 30 – 35 HST dengan menggunakan 100 kg/ha baja campuran dan 100 kg/ha urea.

Pembajaan ketiga adalah dengan menggunakan baja sebatian pada peringkat 50 55 HST iaitu semasa pembentukan tunas tangkai pada kadar 60% daripada jumlah baja sebatian bagi menyuburkan pokok dan memupuk pembentukan tangkai dengan baik. Baja sebatian yang baki (40%) itu ditaburkan di peringkat terbit tangkai pada 70 – 75 HST dalam pembajaan keempat ini untuk meningkatkan pengisian biji dan mengurangkan padi hampa. Sekiranya terdapat gejala kekurangan nutrien pada pokok maka baja foliar semburan khususnya nitrogen boleh digunakan tetapi biar sesuai dengan peringkat yang diperlukan bagi mengelakkan pembaziran.

Pengurusan Amalan

Bagi mendapat kadar pertumbuhan yang baik, maka benih berkualiti dengan kadar percambahan melebihi 85% digunakan. Sebelum itu, benih tersebut direndam dalam air jernih selama 36 jam dan disejat selama 24 jam di tempat teduh dengan ditutupi guni basah. Jika menggunakan penggalak cambah, maka benih direndam 24 jam dan disejat 12 jam sudah memadai, Taburan benih di sawah adalah menurut kadar 500 biji/m2 secara rata.

Pengurusan air dalam penanaman MR 220 adalah sama dengan MR 219. Bagi memupuk pengisian biji, air dikeluarkan dari sawah hanya selepas tanaman berumur 90 hari. Pastikan hasil dituai pada masa yang cukup masak supaya kerugian hasil dapat
diminimumkan.

Kesimpulan, padi varieti MR 220 akan memberi hasil yang baik selagi amalan pertanian baik diamalkan. Dalam keadah tabur terus, aspek penyediaan tanah amat penting bagi mengelakkan ancaman padi angin kelak yang mampu merosotkan prestasi hasil padi. Begitu juga dengan aspek kawalan penyakit dan perosak yang mana kebersihan kawasan tanaman sekiranya diamalkan dengan baik akan dapat merendahkan kadar serangan perosak dan jangkitan penyakit. Padi varieti MR 220 telah diistiharkan oleh Menteri Besar Negeri Perak pada 10 Oktober 2003 di Pusat Pengeluaran Benih Padi FELCRA Berhad, Seberang Perak.

Sumber maklumat :

Alias Ismail dan rakan-rakan, Pembiakbakaan dan Prestasi Varieti Padi MR 220, Laporan MARDI No. 203 (2005)

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


FGV Agri Services Sdn Bhd
Level 9 West, Wisma FGV, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel : +603-2789 1000
Fax : +603-2789 0111
E-mail : fassbmarketing@fgvholdings.com