You are currently viewing Senario Cendawan Kukur Masa Kini

Senario Cendawan Kukur Masa Kini


Fertitrade (M) Sdn Bhd
M-3-3, Blok M, Encorp Strand Garden Office, No. 12, Jalan PJU 5/1, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.
Tel: 03-7666 8899 Fax: 03-7666 8891
E-mail : enq@fertitrade.com.my
Website: www.agromate.com.my/Fertitrade-M-Sdn-Bhd/

Lonjakan permintaan domestik terhadap cendawan telah menyebabkan pelbagai jenis cendawan membanjiri pasaran kini. Peningkatan kesedaran awam mengenai khasiat cendawan turut membantu dalam mempromosikan cendawan. Cendawan yang lazim didapati di pasar besar dan kadangkala turut terdapat di pasar basah adalah cendawan tiram kelabu, cendawan tiram putih, cendawan tiram raja, cendawan telinga kera, cendawan butang, cendawan jarum emas, cendawan bunga kobis, cendawan shitake dan sebagainya.

Kebanjiran cendawan di pasaran telah menyebabkan penggemar merevolusikan penghasilan produk makanan berasaskan cendawan. Pelbagai jenis produk makanan diperkenalkan di antaranya pegedel cendawan, serunding cendawan, burger cendawan dan sebagainya. Tidak kurang juga pada pengamal vegetarian menjadikan cendawan sebagai bahan asas untuk masakan menggantikan protein. Cendawan turut dijadikan sebagai kudapan (snack) dengan pelbagai jenis perisa pedas, masam, BBQ dan bawang putih tanpa menjejaskan khasiatnya.

Namun begitu, apabila ditanya mengenai cendawan kukur banyak persoalan yang timbul. Terutamanya apabila bertanya di kalangan remaja kini, ramai yang tidak mengenali cendawan kukur bahkan tidak pernah mendengar, mahupun melihat bagaimana rupa cendawan tersebut. Sedemikian menjadi satu kerugian kepada masyarakat umumnya kerana cendawan kukur merupakan identiti biodiversiti cendawan liar yang terdapat di Malaysia selain cendawan busut dan cendawan susu harimau. Cendawan kukur tidak dapat dinafikan mempunyai pelbagai khasiat dan zat serta kebaikan dari segi kesihatan terutamanya membantu dalam meningkatkan sistem imunisasi.

Justeru itu, melihat kepada potensi cendawan kukur menimbulkan kewajaran untuk mengkomersilkan cendawan kukur supaya lebih dikenali dan diminati penggemar cendawan. Umumnya mengetahui bahawa cendawan kukur sukar diperolehi dan hanya boleh didapati semasa musim tengkujuh. Cendawan kukur didapati tumbuh melata-lata di atas batang kayu getah mereput. Kesukaran untuk memperolehi serta liar menyukarkan untuk dikomersilkan.

Rupanya yang memutih dan tidak berbatang hanya kelopaknya berkembang di sekitar celah- celah bahagian berongga batang kayu getah tersebut. Ada kala, masyarakat Melayu menggelarkannya sebagai cendawan sisir atau cendawan kerang. Masyarakat Melayu amat mengenali cendawan kukur kerana sering digunakan dalam masakan terutamanya masak lemak cili api atau kacang buncis goreng.

Cendawan kukur boleh diperolehi di pasar tani, pasar pagi atau pasar malam dalam keadaan cendawan segar ataupun yang telah dikeringkan. Kebiasaannya, ia disukat dan dijual mengikut sukatan setin penuh tin susu kosong. Anggaran harga cendawan kukur kering dalam lingkungan RM 3 hingga RM 5 setin penuh bergantung kepada pasaran. Faktor persekitaran merupakan faktor utama yang mempengaruhi kadar pertumbuhan cendawan kukur. Kelembapan yang tinggi serta suhu yang rendah menggalakkan pertumbuhan cendawan tersebut. Ketidaktentuan keadaan cuaca kini, menyumbangkan kepada faktor kekurangan bekalan cendawan kukur di pasaran.

Menurut penyelidikan yang dilakukan oleh Longvah dan Deosthale (1998), menyatakan bahawa cendawan kukur mempunyai kandungan protein yang tinggi (16%) serta kandungan lemak yang rendah (2%) (Jadual 1). Di samping itu, peratusan asid lemak tak tepu (unsaturated) tinggi berbanding dengan asid lemak tepu (saturated) (Jadual 2).

Dari segi nilai perubatannya, cendawan kukur dipercayai dapat membantu dalam meningkatkan sistem imunisasi secara sistematik. Ini adalah kerana cendawan kukur menghasilkan sejenis polisakarida yang dikenali sebagai ‘Schizophyllan’. Polisakarida, ‘Schizophyllan’ tersebut turut dipercayai membantu dalam perawatan antitumor (Zhang et al., 2007), antibakteria (Podjana et al., 2006) dan antivirus (Maushmi et al., 2008). Pelbagai ujian klinikal telah dilakukan ke atas bahan polisakarida tersebut untuk mengetahui keberkesanannya (Chung-lun et al., 2010).


FGV Fertiliser Sdn Bhd
Lot 115, Johor Port Authority Area, 81700 Pasir Gudang, Johor, Malaysia.
Tel : +607-251 2801/2802/2803
Fax : +607-251 1810
E-mail : fertmarketing@fgvholdings.com
Website: www.fgvfertiliser.com.my


Cendawan kukur boleh dikultur dan ditumbuhkan secara terkawal sama ada dengan menggunakan batang kayu getah atau beg media pertumbuhan cendawan. Penggunaan batang kayu getah memperlihatkan pertumbuhan yang baik berbanding penggunaan beg media. Pertumbuhan cendawan kukur tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Sekadar memastikan tiada serangan serangga dan ulat serta pengairan yang cukup pada batang kayu getah. Kelebihan pengkulturan sedemikian memastikan cendawan kukur sentiasa boleh didapati dalam kuantiti yang banyak tanpa menunggu ketibaan musimnya. Tiada teknologi tinggi yang perlu diaplikasikan untuk pertumbuhannya. Hanya benih cendawan kukur yang berkualiti dan rumah pertumbuhannya yang diperlukan.

Secara teknikal, pertumbuhan cendawan kukur tidaklah begitu sukar. Namun begitu, pelbagai faktor perlu diberi perhatian dalam mengkomersilkan cendawan kukur. Cendawan kukur bukanlah seperti cendawan susu harimau (Lignosus rhinoceros) yang mempunyai nilai perubatan yang diakui oleh masyarakat Cina mahupun cendawan busut (Termitonyces sp) yang terkenal dengan cita rasa yang menarik dan sedap. Cendawan kukur adalah cendawan yang hanya dinikmati oleh golongan yang tahu cara memasaknya terutamanya masyarakat Melayu. Amat jarang sekali promosi cendawan kukur dilakukan. Hanya melalui kenalan dan tradisi cendawan kukur diketahui oleh segelintir masyarakat.

Justeru itu, mengkomersilkan cendawan kukur memerlukan tujuan dan sasaran yang spesifik supaya ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengusaha cendawan. Penanaman cendawan kukur secara kecil-kecilan merupakan satu inisiatif yang wajar dilaksanakan dalam membantu pengusaha cendawan meningkatkan pendapatan serta mempelbagaikan hasilan cendawan. Mempromosikan kebaikan cendawan kukur tentang khasiatnya melalui pembangunan dan penyelidikan, sedikit sebanyak dapat membantu memperkenalkan serta mempromosikannya.

Mengkomersilkan cendawan kukur memerlukan usaha yang kolektif dan tindakan yang bersepadu daripada pelbagai agensi yang terlibat. Memperkenalkan cendawan kukur kepada masyarakat tempatan umumnya bukanlah suatu yang mudah. Ini adalah kerana cendawan tiram kelabu sendiri mengambil masa hampir dua dekad untuk dikenali dan digemari ramai. Justeru itu, hanya kesungguhan dan kesabaran menjamin cendawan kukur dikenali setanding dengan cendawan lain. Paling tidak pun biarlah cendawan kukur dikenali sebagai salah satu warisan biodiversiti cendawan liar tempatan.

 

Rujukan :

1. Chung-lun, L., Sherwin, C and Shiu-nan, C. (2010). Purification and characterization of a novel fibrinolytic protease from Schizophyllum commune. Journal of Food and Drug Dnalysis 18 (2):69-76.
2. Dang, L. A. R dan Khairul, A. K. (2009). Tanaman cendawan menggunakan bahan buangan pertanian. Agromedia. 30:46-47.
3. Khairul, A. K. (2010). Khasiat cendawan kukur. Agromedia. 32 : 42 – 43.
4. Khairul, A. K dan Tan, C. S (2011). Memperkasakan industri cendawan tempatan. Agromedia. 36: 38 – 39.
5. Longvah, T. dan Deosthale, Y. G. (1998). Compositional and nutritional studies on edible wild mushroom from northeast India. Food Chemistry. 63 (3): 331-334.
6. Maushmi, K., Shrikant, A. S. and Rekha, S. S. (2008). Production of schizophyllan using Schizophyllum commune NRCM. Bioresource Technology 99 (5) : 1036 – 1043.
7. Podjana, C., Sureelak, R., Stan, J. L., Anthony, P., Fordham-S. Pierre, J. Rizkallah, Mark, C., Wilkinson, C and Reynolds, D. (2006). Purification and characterization of an N-acetyl-D- galactosamine-specific lectin from the edible mushroom Schizophyllum commune. Biochimica et Biophysica Acta (BBA) – General Subjects 1760 (3): 326 – 332.
8. Senatore, F., Dini, A and Marion, A. (1988). Chemical constituents of some Basidiomycetes. Journal of Science Food Agriculture. 45: 337-345.
9. Zhang, M., Cui, S. W., Cheung, P. C. K and Wang Q. (2007). Antitumor polysaccharides from mushrooms: a review on their isolation process, structural characteristics and antitumor activity. Trends in Food Science & Technology 18 (1): 4 – 19.


All Cosmos Industries Sdn. Bhd.
PLO 650, Jalan Keluli 7, Pasir Gudang Industrial Estate, 81700 Pasir Gudang, Johor, Malaysia.
Tel : +607-2523788
Fax : +607-2512588
E-mail : sales_marketing@allcosmos.com
Website: www.allcosmos.com