Kimagri Corporation Sdn Bhd
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com
Website: www.kimagri.com
Tempunik/Monkey Jack (Artocarpus rigidus Blume)
Di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), wujud sejenis pokok hutan yang menghasilkan buah berbentuk bulat dan dipenuhi duri-duri keras. Buahnya bergaris pusat 10 – 20 cm, tangkainya berukuran 1.5 cm panjang dan berbulu. Pokok hutan ini boleh dijumpai di India dan Malaysia. Di Malaysia, pokok ini tumbuh di hutan Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor.
Di hutan, Tempunik tumbuh dengan subur serta mencapai ketinggian 10-30 m. Batangnya adalah tegak dan setiap bahagian pokok mengeluarkan getah pekat. Kulit batang bersifat kasar dan berwarna perang kekelabu-kelabuan.
Pokok Tempunik berbunga dan berbuah dua kali setahun iaitu antara bulan Mei hingga Jun dan Ogos hingga September. Pokoknya mengeluarkan bunga jantan dan betina secara berasingan tetapi pada pokok yang sama. Bunganya berwarna kuning.
Ketika muda, buah pokok Tempunik berwarna hijau kemudian menukar ke warna kuning kejingga-jinggaan apabila masak. Buahnya berasa sedap dan manis tetapi meninggalkan getah di dalam mulut. Isi buah hanya beberapa ulas sahaja dan tidak padat seperti buah cempedak atau nangka.
Batang pokok Tempunik tahan lama dan sesuai digunakan dalam pembuatan keranda, rasuk, alang, perahu dan perabot. Buahnya boleh dimakan segar dan digemari oleh haiwan. Kulit pokok dan getahnya konon mempunyai fungsi dalam perubatan tradisional.
Asam Pahung/Setambun Jantan (Baccaurea lanceolata (Miq.) Mull. Arg.
Asam Pahung ialah sejenis tumbuhan yang berasal dari Indo-China dan kebiasaan terdapat di Thailand, Malaysia, Indonesia dan Filipina. Pokok ini banyak ditemui di Pahang.
Di Sabah dan Sarawak pula, pokok ini selain tumbuh di hutan, ia juga ditanami di kampung-kamung malah buahnya dijual di pasar tani semasa musimnya.
Pokok Asam Pahung berbuah sepanjang tahun, menyatakan ia sejenis tumbuhan tidak bermusim. Namun, pembuahan lebih kerap berlaku semasa musim kemarau. Pokoknya bersaiz kecil dengan ketinggian antara 10 – 15 m dan seakan-akan sama pokok rambai. Bentuk batang lurus, berbuku-buku dan berwarna kelabu asap.
Bunga betina dan bunga jantan tumbuh di atas pokok berasingan. Bunga jantan kecil tersusun dalam tandan yang berukuran 10 cm. Bunga ini tumbuh pada hujung ranting atau dahan manakala bunga betina yang berwarna putih, kuning hingga kemerah-merahan tersusun pada tandan sepanjang 30 cm. Bunga betina tumbuh pada buku-buku di pangkal dan pertengahan batang pokok.
Buah Asam Pahung berwarna hijau kebiru-biruan ketika muda dan bertukar menjadi kuning langsat apabila masak. Buahnya tumbuh tersusun dalam tandan di batang pokok. Setiap buah mengandungi 3 ulas dengan isi yang agak tebal membalut bijinya. Rasa buahnya masam-masam manis atau masam. Buah yang masak selalu digunakan untuk membuat sambal, sebagai ramuan dalam masakan seperti sambal tumis, kari atau sebagai penyedap rasa dalam masakan. Di zaman dahulu, buah Asam Pahung sangat digemari oleh penduduk desa.
Jentik Bukit/Rambai Hutan (Baccaurea kunstleri King ex Gage)
Pokok Jentik Bukit atau Rambai Hutan adalah sejenis tumbuhan yang terdapat di Malaysia, Thailand dan Indonesia. Kini ia banyak ditanami di Thailand dan Filipina. Di Semenanjung, Pokok ini boleh dijumpai di hutan Pahang, Terengganu, kelantan dan Selangor. Pokok ini hidup di hutan berdataran rendah.
Pokok berbuah ini bermusim sekali dalam setahun dan merupakan pokok bersaiz agak besar dengan ketinggian sehingga 20 m. Batang pokok berwarna keperang-perangan, bengkang-bengkok serta mempunyai banyak cabang dan berakar banir.
Bunga betina dan jantan tumbuh pada pokok berasingan. Bunga jantan dihasilkan oleh pokok jantan pada kadar yang banyak. Bunga betina pula dihasilkan oleh pokok betina yang juga pada kadar yang banyak. Buahnya terbentuk secara berjuntai berhampiran dahan atau cabang pokok. Semasa muda, muda, buah berwarna hijau kekuning-kuningan kemudian bertukar ke warna coklat keperang-perangan setelah masak. Buah masak akan terkopek dan mendedahkan biji berwarna jingga yang membawa rasa masam-masam manis. Buahnya boleh dimakan segar dan kayunya sesuai untuk dibuat bahan pembinaan.
Rambai Tiung (Baccaurea ramiflora Lour.)
Pokok berbuah ini biasa didapati di hutan Thailand, Malaysia dan Indonesia. Jika di Malaysia, Rambai Tiung didapati bertaburan di Pahang, Kedah dan beberapa negeri lain. Pokoknya mengeluarkan bunga dan buah secara bermusim iaitu pengeluaran bunga antara bulan Feb hingga Mac dan berbuah pada bulan Julai hingga September. Kemuncak pembuahan berlaku 3 – 5 tahun sekali.
Ketinggian pokok Rambai Tiung biasanya sehingga 12 m sahaja. Batang pokok berbuku-buku serta berjalur-jalur panjang. Kulit batang biasanya mengelupas dan pecah-pecah. Bunga jantan dan betina tumbuh pada pokok berasingan. Bunga betina umumnya lebih besar serta tumbuh bersesak-sesak pada tangkai yang berjuntai-juntai sehingga 30 cm. Bunganya tumbuh daripada buku-buku pangkal dan pertengahan batang pokok.
Buah Rambai Tiung bersaiz kecil berukuran 8 mm dan berbentuk bujur seperti bujur telur, berwaran merah hingga seakan-akan ungu. Buah mengandungi dua hingga empat biji yang diselaputi isi berwarna merah muda. Buahnya boleh dimakan segar dan dibuat minuman anggur/wain. Kulit kayu dan akar digunakan sebagai bahan perubatan dan bahan pewarna oren dan merah.
Putat Laut (Barringtonia asiatica (L.) Kurz)
Pokok ini berasal dari India, Sri Lanka, Pulau Andaman, Thailand, Kemboja, Vietnam dan Malaysia. Ia juga telah diperkenalkan di Hawaii, pulau-pulau di Caribbean dan Saint Helena. Putat Laut merupakan sejenis pokok yang berbunga dan berbuah sepanjang tahun.
Ketinggian pokok ini boleh mencapai sehingga 20 m serta banyak bercabang-cabang. Kulit pokok berwarna merah muda keabu-abuan, halus sehingga kasar dan tebal pada pokok yang tua.
Bunga Putat Laut bersaiz besar, kira-kira 15 cm lebar, ketara atau mudah dilihat kerana stamen yang berwarna putih dan warna merah jambu di bahagian hujungnya yang menarik serta kelopak (petal) agak panjang (7 cm). Bunga kembang pada waktu malam dan menarik perhatian rama-rama besar dan kelawar.
Buahnya besar dan berwarna hijau tua, 7 – 11 cm lebar, bersegi, berkulit tebal dan berserat.
Buah mengandungi biji berukuran 4 – 5 cm. Buahnya mudah terapung-apung di atas air justeru dapat disebar melalui arus atau ombak laut. Pucuk Putat Laut yang muda dijadikan ulam manakala buah yang segar atau bijinya ditumbuk lumat dan digunakan untuk menuba ikan. Pokok ini sesuai ditanami sebagai tumbuhan hiasan serta pokok naungan dan penghalang angin. Buah, daun dan biji boleh digunakan dalam perubatan tradisional.
Sumber maklumat :
N Zawiah & H Othaman, 99 Spesies Buah di FRIM, FRIM, 2012.
Palm King Marketing Sdn Bhd
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd