Kimagri Corporation Sdn Bhd
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com
Website: www.kimagri.com
Buah mangga sangat popular di Malaysia. Di negara lain, buah ini dikenali sebagai ‘raja buah-buahan’ menyatakan sambutan baik dari kalangan petani dan pengguna terhadapnya. Beberapa varieti mangga telah ditanam di Malaysia termasuk Siam Panjang, Nam Dorkmai, Laris, Golek, Nang Klarngwun, Maha 65, Sala, Chokanan dan Harumanis. Tempoh mula berbuah bagi mangga adalah berbeza-beza iaitu biasanya di antara 2 – 4 tahun bergantung kepada varieti. Chokanan wujud sebagai varieti yang berbuah sangat awal. 6 bulan selepas ditanam, pokoknya sudah mula berbuah dan ketika berumur 2 tahun, jumlah buah sepokok sudah mencapai 60 – 80 biji.
Mangga Sala biasanya ditanam di negeri-negeri di Malaysia Utara termasuk Perlis, Kedah dan Perak. Menurut sumber, buah ini adalah baka tempatan dan kualitinya tidak sebaik klon mangga lain tetapi buahnya besar (450 – 600g), berbuah lebih awal serta berhasil tinggi sehingga melebihi 100 biji sepokok. Ketika masak, buah juga tidak begitu manis. Penjagaan bagi mangga ini juga tidak rumit malah hanya perlu dilakukan secara minimum sudah memadai. Jumlah keluasan bagi varieti mangga ini di Malaysia dianggarkan 1,000 hektar.
Ciri-ciri yang ada pada jenis mangga ini menjadikan langkah pemupukan supaya berbuah di luar musim sangat diperlukan supaya mengelak daripada musim pembuahan dengan dengan klon lain dan menurunkan harga pasarannya. Kebiasaan, hasil mangga Sala agak rendah di sekitar purata 9 tan/ha sahaja kerana amalan teknik kultur kurang memuaskan. Ia juga berbuah sekali dalam setahun bersama klon lain menjadikan kurang berdaya saing dengan mangga-mangga lain. Umpamanya, harganya menurun sehingga RM0.50/kg berbanding Chokanan pada RM2.50/kg dan Harumanis pada RM3.50/kg (harga tahun 2010). Justeru itu, perangsangan mangga Sala untuk berbuah di luar musim dijangka bermanfaat untuk meningkatkan harga pasarannya sementara klon lain tiada bekalan di pasaran.
Teknologi ini dibangunkan oleh MARDI. Melalui teknologi ini, buah Sala dapat dihasilkan dua kali setahun iaitu satu kali lebih awal dan satu kali lebih lewat daripada musim biasa. Dengan cara ini, pengeluaran hasilnya dapat mengelak daripada musim biasa bagi kesemua klon lain. Teknik ini mestilah diikuti dengan rapat dan mengikut turutan. Ia bermula sebaik sahaja tamat kutipan hasil dengan membuat cantasan pada setiap pokok seperti di jadual 1.
Beberapa aktiviti tersebut di jadual 1 adalah penting dan dihuraikan seperti berikut :
Pemangkasan : Ranting yang mengeluarkan tangkai buah perlu dicantas selepas buah dipetik. Pencantasan dibuat pada buku ruas kira-kira dua ruas dari tangkai buah (gambarajah 1). beberapa ranting akan tumbuh semula di tempat cantasan tetapi tetapi hanya tiga ranting disimpan untuk pembuahan pada musim akan datang. Biasanya tangkai akan keluar dari tempat yang sama. Pencantasan dilakukan di tempat yang sama berulang kali selepas buah dipetik setiap musim. Cara begini secara tidak langsung dapat mengawal saiz pokok.
Sekiranya hasil buah sepokok hendak ditingkatkan, ranting boleh dicantas hampir ke tangkai buah. Beberapa ranting baru akan tumbuh pada setiap hujung ranting yang dicantas. Walau bagaimanapun, hanya tiga daripada ranting-ranting tersebut disimpan untuk pembuahan. Dengan ini bilangan ranting untuk pembuahan akan bertambah. Walau bagaimanapun, jika pencantasan seperti ini diulang setiap kali selepas berbuah, pokok akan menjadi semakin besar dan rendang. Keadaan ini akan menyukarkan kerja pengurusan pokok.
Pembajaan : Selepas cantasan, baja untuk tumbesaran pucuk diperlukan dan diikuti dengan baja untuk pembentukan dan pembesaran buah. Keperluan baja mestilah berpandu mengikut analisis tanah, daun dan piawaian nutrien. Baja yang mencukupi dan seimbang diberikan kepada setiap pokok mengikut amalan standard.
Pengairan : Pengairan boleh mempengaruhi pembungaan, kualiti dan hasil buah. Pengairan hendaklah diberikan apabila 70% putik mulai terbentuk. Pengairan yang cukup boleh meningkatkan hasil 20 – 30%. Namun, jika pengairan berlebihan diberikan, kematangan buah akan dilewatkan dan buah akan rekah.
Aruhan Pembungaan :Â Bertujuan untuk merangsang pengeluaran bunga yang lebat dan seragam. Menggunakan regulator/pengawal atur tumbesaran yang sesuai iaitu Paclobutrazol. Bahan ini digunakan secara siraman di sekeliling pangkal pokok 2 – 3 bulan sebelum jangkaan musim berbunga, iaitu selepas 1 – 2 kali berpucuk bermula selepas cantasan dilakukan. Kadar yang diberikan adalah mengikut umur pokok. Hanya sekali aruhan diperlukan untuk pengeluaran dua kali setahun (aruhan perlu dilakukan untuk pengeluaran buah pada luar musim sahaja) dan kesannya masih mencukupi untuk pengeluaran bunga pada musim berikutnya. Selepas aruhan, diikuti dengan semburan baja foliar pada peringkat sebelum berbunga, semasa berputik dan pengembangan buah.
Kawalan Perosak dan Penyakit : Lalat buah adalah perosak utama terhadap buah mangga. Bunga akan gugur akibat serangan kutu trip. Penyakit reput buah akibat serangan kulat antraknos. Putik buah berparut dan bunga gugur akibat serangan kutu trip. Inilah beberapa aspek mengenai serangan ke atas buah mangga yang perlu diawasi. Racun serangga dan racun kulat perlu digunakan mengikut masa dan berorientasi sasaran sebagai langkah kawalan.
Pungutan Hasil : Buah mangga Sala boleh dipetik selepas 12 minggu atau lebih awal untuk tujuan dimakan muda atau dibuat jeruk.
Catatan : Bagi kawasan lain di Malaysia, pengubahsuaian jadual perlu dibuat supaya sesuai dengan cuaca setempat. Pastikan cuaca setempat sesuai untuk pokok mangga Sala berbuah dan membenarkan bagi pengeluaran dua kali setahun sebelum membuat pengubahsuaian jadual amalan kultur tersebut.
Bahan rujukan :
1. Manual Teknologi Merancang Pengeluaran Buah Mangga Sala Pada Luar Musim, MARDI, 2010.
2. Tengku Ab. Malik Tengku Maamun et al., (Penyunting), Panduan Penanaman Mangga, MARDI, 1996.
Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350