Palm King Marketing Sdn Bhd
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd
Website: www.klspalmking.com
Pembajaan merupakan amalan penting bagi melestarikan pokok durian dalam pengeluaran hasil. Dahulu, hanya baja butiran secara aplikasi tanah dianggap sudah mencukupi untuk memenuhi keperluan pokok lalu menunggu pokok mengeluarkan hasil. Namun, amalan pembajaan untuk tanaman ini pada masa kini mungkin perlu ditambah baik kerana banyak kajian yang menggunakan baja foliar bersama baja butiran mendatangkan hasil lebih lumayan. Keadaan ini bangkit bukan kerana corak pengambilan nutrien oleh pokok durian sudah berubah, sebaliknya disebabkan oleh penanaman semasa ini yang mementingkan pengeluaran hasil. Dengan kata lain, untuk mendapat hasil buah yang lebih menggalakkan, maka amalan pembajaan melalui semburan baja foliar muncul sebagai suplimen yang mampu memperkasakan pokok ke arah tersebut.
Satu kajian pernah dijalankan di Filipina ke atas baka durian tempatan menunjukkan aplikasi baja butiran 14/14/14 pada kadar 5 kg/pokok beserta semburan baja foliar 20/5/30 berjaya meningkatkan hasil buah secara signifikan, iaitu memperolehi 158 buah/pokok berbanding pokok yang ditaburi baja butiran 14/14/14 sahaja hanya menghasilkan 41 buah /pokok. Peningkatan hasil ini adalah melebihi 3 kali ganda dan menyatakan ia sebagai satu amalan berbaloi untuk dijalankan.
Tambahan, berat purata buah per pokok tiada perbezaan ketara di antara kedua-dua plot ini. Keadaan ini adalah satu petanda yang baik kerana peningkatan buah tidak diikuti oleh penurunan berat buah. Keputusan ini memberi isyarat bahawa setakat menabur baja butiran 14/14/14 kepada setiap pokok mungkin tidak cukup untuk menampung keperluan pokok, menjadikan apabila baja foliar disembur, hasilnya lalu meningkat.
Baja butiran 14/14/14 diaplikasi di bawah pokok sebelum musim pembungaan, manakala baja foliar 20/5/30 diaplikasi terhadap daun dan batang pokok semasa pengeluaran tunas bunga sehingga peringkat pembentukan buah iaitu 10 -15 hari selepas pembentukan putik buah.
Semburan baja foliar juga memanfaatkan peningkatan kualiti buah seperti dapat dilihat di plot yang mengamalkan pembajaan butiran 14/14/14 beserta baja foliar 4/0/48 kerana buah di plot ini masing-masing mencapai TSS (total soluble solids) dan kuantiti isi buah boleh makan pada 20 36 Brix dan 22.22%. Jika baja foliar 20/5/30 digunakan, TSS mencatatkan 17.02 Brix dan kuantiti isi boleh dimakan pula 18.16% iaitu rendah sedikit berbanding baja foliar 4/0/48.
Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350
Website: www.behnmeyer.com
Sehubungan itu, plot yang hanya ditaburi dengan baja butiran 14/14/14 mengalami keguguran buah sehingga 82.32% pada 10 – 15 hari selepas pembentukan putik buah berbanding plot yang turut disemburi baja foliar 20-5/30 dengan kadar keguguran putik buah pada 41.31% sahaja.
Kajian di atas hanya menggunakan NPK butiran (14/14/14) dan NPK foliar 20/5/30 atau 4/0/48. Kedua-dua baja foliar ini mengandungi unsur kalium yang tinggi selaras dengan keperluan pokok semasa pembuahan. Pengambilan baja foliar NPK melalui semburan ke atas daun serta batang pokok dipercayai lebih cepat diambil oleh tanaman berbanding baja butiran yang diaplikasi ke atas tanah. Hasil yang meningkat dengan ketara dalam plot yang mengamalkan kombinasi kedua-dua kaedah pembajaan ini menyatakan situasi ini.
Keadaan ini juga menggambarkan kepentingan N semasa pengeluaran buah kerana kandungannya juga agak tinggi berbanding P yang secara relatif hanya diperlukan pada kadar sedikit dalam proses pembuahan durian. Bagi mempertingkatkan hasil buah selanjutnya, baja foliar yang mengandungi nutrien lain seperti boron, kalsium dan magnesium dipercayai akan membantu khasnya bagi mengurangkan kadar keguguran buah. Keadaan ini bermaksud buah yang boleh dikutip di peringkat matang akan bertambah.
Bahan rujukan :
Loquias, V. L et al., Supplemental foliar fertilizer for durian (1997), Department of Agriculture, Bureau of Plant Industry, Davao City, Philippines.