You are currently viewing Kebergantungan Pokok Cantuman Durian Terhadap Pembajaan Dan Pengairan Dari Penanam

Kebergantungan Pokok Cantuman Durian Terhadap Pembajaan Dan Pengairan Dari Penanam

  • Post category:Blog

Pokok durian yang ditanami dengan biji benih mempunyai akar tunjang. Daripada akar tunjang ini, akar sekunder akan tumbuh. Rerambut akar turut tumbuh pada akar sekunder ini. Morfologi sistem akar ini akan membolehkan pokok menjalar ke dalam tanah untuk mendapatkan nutrien dan air. Malahan rerambut akar yang ada akan mencekapkan lagi penyerapan sumber-sumber tersebut. Oleh yang demikian, pokok seumpama ini sering tumbuh dengan tinggi serta berkanopi besar dalam hutan. Kelihatan kelestarian pokok hutan ini tidak memerlukan bekalan baja oleh mana-mana pihak.

Keadaan ini sudah menjadi sejarah kerana tanaman ini kini sudah dikultur secara komersial oleh penanam. Pokok yang besar serta lebih lambat mencapai kematangan sudah ketinggalan zaman. Sebaliknya bahan tanaman cantuman lebih digemari oleh penanam ekoran lebih katek serta matang lebih awal.

Malangnya pokok cantuman tidak mempunyai akar tunjang. Akar sekundernya tumbuh daripada pangkal pokok di bawah tanah serta tidak memiliki rerambut akar. Apakah implikasinya?

Pokok cantuman dalam keadaan sebegini khasnya ketiadaan akar tunjang, maka pengambilan nutrien dan air secara relatifnya adalah lebuh lemah berbanding pokok dari biji benih. Oleh sebab ketiadaan juga rerambut akar, keadaan ini turut mempengaruhi kecekapan pengambilan nutrien dan air daripada tanah. Tentu juga pokok cantuman lebih rentan terhadap ancaman angin kencang kerana daya pegangan tanah yang lebih lemah.

Perkara ini juga ini juga memberi implikasi pokok cantuman durian lebih bergantung kepada amalan pembajaan dan pengairan daripada penanam berbanding pokok dari biji benih yang amnya mampu mendapatkan nutrien dan air dengan sendiri ekoran adanya akar tunjang dan rerambut akar.

Inilah perbezaan besar di antara kedua-dua jenis bahan tanaman ini. Kesan positif pembajaan dan pengairan boleh terasa dengan ketara terhadap pokok cantuman dan ia turut memberi implikasi pokok seumpama ini tidak akan mencapai tumbesaran dan pengeluaran hasil yang baik jika amalan tersebut tidak atau kurang dilaksanakan.

 

Bahan rujukan :

Dr. Songpol Somsri, Durian in Thailand – A Success Story, APAARI, 2018.

Sila kongsi kepada kawan :