Kimagri Corporation Sdn Bhd
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com
Website: www.kimagri.com
Terdapat tiga teknik penanaman cili di Malaysia. Satu ialah teknik konvensional yang menanamnya di atas tanah dan bergantung kepada air hujan sebagai sumber air. Cara kedua ialah teknik fertigasi terbuka dan cara ketiga ialah fertigasi berstruktur pelindung hujan. Modal untuk teknik ketiga memang lebih tinggi tetapi dalam jangka masa panjang, ia mendatangkan pulangan lebih tinggi sehingga 1 – 2 kali ganda berbanding teknik konvensional. Tambahan kadar jangkitan penyakit terhadap tanaman cili juga lebih rendah jika penanaman dilakukan secara fertigasi berstruktur pelindung hujan.
Satu kajian perbandingan dari segi hasil, kos dan pulangan untuk ketiga-tiga kaedah ini pernah dilakukan oleh penyelidik MARDI. Perbandingan dibuat ke atas kaedah konvensional, kaedah fertigasi terbuka dan kaedah fertigasi berstruktur pelindung hujan.
Dalam kaedah konvensional, hasil cili yang boleh diperolehi adalah di sekitar 18,000 kg/musim. Kaedah fertigasi berstruktur pelindung hujan memberi hasil 27,720 kg/musim. Fertigasi terbuka pula mendapat hasil 22,500 kg/musim. Diandaikan cili dijual dengan harga ladang RM5.00/kg, maka jumlah pendapatan masing-masing jalah RM90,000, RM138,600 dan RM112,500/musim.
Dari segi kos pengeluaran pula, masing-masing berkehendakkan RM2.03/kg, RM1.19/kg dan RM1.56/kg atau kos pengeluaran semusim masing-masing pada RM36,600, RM32,946 dan RM35,085. Keadaan ini akhirnya masing-masing menjana pendapatan bersih RM55,400, RM105,654 dan RM77,415.
Statitisk di atas jelas menunjukkan fertigasi berstruktur pelindung hujan paling menjimat kos pengeluaran (RM1.19/kg) berbanding kaedah konvensional pada RM2.03/kg dan kaedah fertigasi terbuka pada RM1.56/kg. Kos pengeluaran per hektar per musim juga paling rendah bagi penanaman secara fertigasi berstruktur pelindung hujan. Justeru itu, pendapatan bersih paling tinggi adalah diperolehi oleh kategori fertigasi berstruktur pelindung hujan. Secara perbandingan, pendapatan bersih bagi fertigasi berstruktur pelindung hujan adalah melebihi satu kali ganda pendapatan bersih yang diperolehi dalam kaedah penanaman konvensional.
Pelaburan pembangunan fertigasi berstruktur pelindung hujan dianggarkan pada RM270,000/ha, iaitu merangkumi 78.7% keseluruhan kos dalam kaedah ini termasuk pembelian benih, baja dan racun. Kaedah konvensional lebih jimat dalam modal pelaburan kerana hanya melibatkan sejumlah RM129,200/ha. Kos buruh untuk kaedah ini lebih tinggi sehingga satu kali ganda kos buruh dalam kaedah fertigasi berstruktur pelindung hujan. Bagi fertigasi terbuka pula, modal diperlukan berada di sekitar RM124,170/ha yang mana RM50,000 untuk pemasangan sistem fertigasi manakala pembelian benih, baja dan racun merangkumi sejumlah RM48,570. kedua-dua perbelanjaan ini merupakan kos utama dalam fertigasi terbuka.
Dari segi pulangan, analisis ekonomi menunjukkan fertigasi berstruktur pelindung hujan akan balik modal dalam masa 3 tahun manakala fertigasi terbuka akan balik modal dalam masa setahun sahaja. Bagi kaedah konvensional, modalnya boleh dapat balik dalam masa dua tahun. Sehubungan itu, setiap ringgit yang dilaburkan ke dalam kaedah fertigasi berstruktur pelindung hujan akan mendapat pulangan RM0.92, bagi fertigasi terbuka dan konvensional pula, masing-masing mendapat RM0.86 dan RM0.59 bagi setiap ringgit yang dilaburkan. Daripada sini, sekali lagi jelas kelihatan pulangan bagi kaedah penanaman fertigasi berstruktur pelindung hujan adalah paling baik di antara ketiga-tiga kaedah ini.
Sumber maklumat :
Yasser Suhaimi Mohd et al., ‘Potential and viability of chilli cultivation using fertigation technology in Malaysia’, International Journal of Innovation and Applied Studies, 2016.