Menurut sumber rasmi, pada tahun 2021, keluasan tanaman nangka di Semenanjung Malaysia mencatatkan 4,675 ha iaitu lebih kurang sama dengan keluasan tanaman mangga. Ia didahului oleh durian (76,972 ha), pisang (26,213 ha), rambutan (15,316 ha), nanas (14,072 ha), tembikai (9,248 ha), cempedak (6,378 ha), duku/duku langsat (5,421 ha) dan dokong (4,853 ha). Jelas kelihatan keluasannya menduduki tempat kesembilan dengan jumlah pengeluaran 35,802 tan pada tahun yang sama (2021). Tiga negeri utama yang menanam nangka mengikut susunan ialah Pahang (Termeloh), Johor (Batu Pahat) dan Negeri Sembilan (Seremban). Inilah senario tanaman ini yang tercatat dalam Booklet Statistik Tanaman 2021 oleh Jabatan Pertanian Malaysia.
Melihat pada buah-buahan pengeluaran Malaysia ini, didapati semua adalah berpotensi untuk dieksport. Malahan, ada di antaranya sudah dieksport. Nangka wujud sebagai buah-buahan terbaru yang akan dimport oleh negara China selepas menandatangani perjanjian pada 1 April 2023 dengan Malaysia. Sementara kerancakan eksport durian ke negara itu masih beriak-riak dalam hati kalangan pengusaha tanaman dan pemain industri, kini tiba pula berita baik mengenai kelulusan pengesportan nangka segar yang nyata akan mencipta landskap baru kepada pengusaha tanaman ini.
Seperti juga dengan eksport durian, mengorak langkah pertama selalunya sukar kerana belum mahir dengan segala proses eksport termasuk proses pemeliharaan kualiti buah. Sama seperti durian, kedua-dua buah-buahan ini mesti mencapai tahap kemasakan optimum baru boleh dituai atau dibiar gugur dari pokok (durian). Buah nangka jika dipetik terlalu awal akan menjejaskan kualiti isinya. Justeru itu, pemetikan di waktu buah hampir masak akan memerlukan kelengkapan penyejukan untuk memelihara mutunya, yakni dengan kata lain, setiap proses dari ladang ke kilang prosesan hendaklah dilakukan dengan berhati-hati dan berturut-turut. Berlainan daripada durian, buah nangka tidak boleh disejuk beku, hanya boleh disejukkan bagi memelihara kualiti isi buah. Dari sini, jelas kelihatan pemain industri ini mungkin berdepan dengan kekurangan kepakaran atau kemahiran untuk menguruskan aspek ini. Jabatan Pertanian dipercayai perlu menghantar pasukan teknikal ke kilang prosesan untuk memberi khidmat nasihat terhadapnya.
Selain masalah teknikal, sama ada kelengkapan penyejukan dalam rantaian bekalan sudah tersedia ada atau tidak juga satu isu yang perlu ditangani. Ini kerana tanpa kemudahan yang lengkap, kadar kerosakan buah nangka akan meningkat dalam perjalanan dan mendatangkan kerugian kepada pihak pengusaha tanaman dan pengeksport.
Sejauh ini, nangka hanya dieksport ke Singapura dan Kesatuan Eropah. Berikutan perang Rusia-Ukraine, pasaran ke Eropah menghadapi cabaran yang tinggi. Kini negara China masuk gelanggang akan mampu menyerap bahagian bekalan sedia ada dalam negara dan keadaan ini akan memperbaiki imbangan pengusaha tanaman supaya mengelak daripada kerugian ekoran lambakan hasil.

Simple Farm Sdn Bhd
E-mail : mrbanana@simple-farm.com
Website: www.mrbanana.com.my
Dijangka proses pengeksportan akan dimahiri oleh semua pihak mengikut masa. Tambahan, titik penjualan di China juga perlu dibangunkan. Kesemua ini memerlukan masa. Memandangkan hal sedemikian, pembukaan pasaran China untuk menerima nangka Malaysia mungkin tidak dapat dinikmati kesannya dalam jangka masa pendek.
Untuk menjadikan buah nangka lebih popular dalam hati pengguna, strategi pemasaran juga perlu diusahakan. Kegunaan yang banyak ke atas buah nangka termasuk bijinya hendaklah diterokai lebih meluas supaya pengguna tahu akan manfaat membelanjakan buah ini. Aspek ini memainkan peranan penting kerana pasaran tidak akan menjadi besar sekiranya pengguna tidak dilatih di sisi ini. Jika melihat tabiat dan kegemaran pengguna China terhadap buah-buahan segar, didapati buah nangka tidak ada dalam senarai pilihan tersebut.
Menurut sumber, 9 jenis buah-buahan segar utama yang diimport oleh China mengikut susunan ialah durian, ceri, pisang, manggis, buah anggur, buah naga, longan, buah kiwi dan buah oren yang merangkumi 78% keseluruhan buah-buahan import negara China. Tiada tanda menunjukkan nangka adalah buah-bauah kegemaran. Dalam keadaan sedemikian, masa adalah diperlukan untuk membimbing dan mendidik supaya kegemaran mereka terhadap buah ini akan meningkat mengikut lanjutan masa.
Dalam pada itu, dari segi kualiti isi, nangka Malaysia kononnya lebih bermutu jika dibandingkan dengan pengeluar lain seperti Thailand dan Vietnam. Cuaca dan tanah yang sesuai dan optimum untuk tanaman ini membolehkan tanaman nangka tumbuh lebih subur serta menghasilkan mutu isi yang mempesonakan. Ini adalah satu kelebihan yang perlu kita pegang kuat, iaitu serupa durian Musang King serta beberapa varieti lain yang mana kualitinya tidak dapat ditandingi oleh pengeluaran mana-mana tempat.