Pasaran durian di peringkat domestik dan global semakin rancak. Senario ini memacu ramai penanam menjurus ke arah penanaman buah-buahan ini. Sehubungan itu, penyelidikan mengenai durian juga semakin hangat dengan harapan mencungkil potensinya agar suatu hari nanti dapat menghasilkan baka lebih unggul dari segi kualiti.
Pada hakikat, penyelidikan ini sebenarnya sudah berlangsung melalui kacukan di antara durian biasa (Durio zibethinus) dan durian Lai (Durio kutenjensis). Durian biasa adalah spesies durian paling popular. Pendaftaran lebih 226 baka durian oleh Jabatan Pertanian di Malaysia kesemua adalah baka dari spesies durio zibethinus.
Ada sejenis spesies lain yang dikenali sebagai durio kutejensis Hassk. Becc. yang kini turut mendapat perhatian berat daripada para pengkaji kerana buahnya berpotensi untuk dikomersialkan. Baka durio ini juga dikenali durian Lai oleh orang tempatan termasuk mereka yang berada di kepulauan Borneo dan juga Indonesia. Durian Lai jugalah satu spesies durio yang sudah lama ditanami oleh penduduk di Indonesia.
Di Indonesia, durian Lai sudah menyebar luas ke merata-rata tempat melalui kacukan semual jadi sama ada antara sama baka atau lain baka seperti kacukan dengan durian biasa (durio zibethinus) dan menghasilkan banyak varieti. Perbezaan varieti ini dapat dilihat dari segi warna isi buah malah corak pokok yang berlainan daripada pokok asal, namun baka seperti ini tetap tergolong sebagai durian Lai. Di antara baka-baka ini ialah durian Lai subang merah dan durian Lai subang oren. Baka-baka ini masih dikenali sebagai durian Lai ekoran pokonya masih mengekal ciri-ciri tertentu durian Lai. Bagaimanapun, oleh kerana kemunculan baka-baka ini berlaku secara semula jadi, maka tiada bukti sebenar yang menunjukkan dari manakah datangnya punca debunga sehingga menghasilkan baka baru seperti subang merah dan subang oren.
Di bidang ini, satu kajian lebih rapi pernah dijalankan oleh pihak Indonesia. Kajian tersebut menjalankan kacukan antara durian biasa (durio zibethinus) dan durian Lai (durio kutejensis). Dengan kata lain, dua spesies durian utama di dunia telah dikacukkan untuk melihat indentiti progeni atau baka keturunan mereka. Sama-sama penting ialah meninjau dan menilai kualiti buah yang dihasilkan oleh progeni tersebut.
Di Kalimantan khasnya Kalimantan Timur, durian Lai telah lama ditanami. Justeru itu kajian tersebut dikendalikan di daerah itu bagi memudahkan pengumpulan maklumat dari penanam, peninjauan pokok (termasuk pokok induk), karekter buah, cita rasa buah dan sebagainya antara Januari Jun 2019. Harus diingatkan bahawa kajian ini bukan mengumpul data dari permulaan penanaman durian Lai tetapi berdasarkan pemahaman secara lisan daripada penanam atau keturunannya serta peninjauan pokok berkenaan dengan mata sendiri.
Dalam kajian tersebut, durian Lai yang terhasil daripada kacukan antara durian Lai asal (durio kutejensis) dengan durian biasa (durio zibethinus) dikaji dari segi karekter buah, daun, corak pokok dan sebagainya. Kacukan kedua-dua spesies ini telah berlaku secara semula jadi dan lama dan pokoknya pun sudah berbuah. Dalam kajian tersebut, 6 baka durian Lai x durian zibethinus telah dikenal pasti akan mutu isi buahnya yang agak tinggi. Keenam-enam baka ini dilabelkan sebagai durian Lai 1 – durian Lai 6. Setiap baka ini dikaji secara terperinci. Kesemua baka ini mempunyai perbezaan antara satu sama lain, umpamanya bentuk buah, warna buah, aroma isi, saiz daun dan warna serta struktur kanopi pokok. Perbezaan ini wujud mungkin disebabkan oleh banyak varieti yang ada dalam durian Lai asal dan durio zibethinus, apabila varieti ini mengacuk antara satu satu sama lain tentu menghasilkan corak pokok, buah malah saiz daun yang berlainan. Tampilan gambar foto dalam kajian tersebut menunjukkan isi buahnya agak bermutu. Baka-baka durian Lai No 1 – No. 6 dihurai secara ringkas di bawah.
Durian Lai No. 1
Buah beraroma sederhana dan masak di atas pokok, buah yang matang tetap tidak gugur dari pokok.
Durian Lai No. 2
Buah beraroma sederhana dan manis. Biji benih kecil, buah masak di atas pokok dan gugur setelah matang.
Durian Lai No. 3
Buah beraroma kuat dan manis. Biji benih bersaiz sederhana, masak di atas pokok dan gugur apabila sudah matang.
Durian Lai No. 4
Buah beraroma kuat, isi buah lembik dan kering, biji benih bersaiz sederhana, gugur setelah matang tetapi tidak rekah.
Durian Lai No. 5
Buah beraroma kuat dan manis, buah masak di atas pokok dan gugur selepas matang.
Durian Lai No. 6
Buah beraroma sederhana, isi tebal dan manis serta biji benihnya bersaiz sederhana.
Kesemua 6 baka pokok durian Lai X durio zibethinus itu tumbuh pada ketinggian 10 meter melainkan satu baka sahaja pada ketinggian 9 meter.
Sumber maklumat :
1.Odit Ferry Kurniadinata et al., “Six potential superior durian plants resulted by cross breeding of D. zibethinus and D. kutejensis from East Kalimantan, Indonesia : Initial Identification”, Journal of Tropical Horticulture, vol. 2, no. 2, oct 2019.
2.Lindsay Gasik, Year of the Durian.
Palm King Marketing Sdn Bhd
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd