Didapati masa berkembang untuk bunga (mayang) jantan dan betina adalah berbeza walaupun kedua-duanya tumbuh di atas pokok yang sama. Oleh itu, proses pendebungaan sawit dipercayai berlaku apabila debunga dibawa daripada pokok lain oleh kumbang pendebung untuk disyenyawakan dengan bunga betina di pokok yang lain. Kumbang ini amat tertarik oleh bau yang dihasilkan oleh bunga jantan. Mereka bergantung kepada bunga jantan untuk melengkapi kitaran hidup masing-masing, iaitu menetap serta membiak di situ. Oleh kerana bau bunga betina juga hampir serupa dengan bau bunga jantan, hinggapan kumbang pendebunga ke atas “bunga yang salah❞ sebaliknya telah melengkapkan proses pendebungaan. “Kesilapan” ini membawa manfaat kepada pengusaha tanaman sawit.
Pada hakikat, Malaysia amnya tidak menghadapi masalah pendebungaan di bidang penanaman sawit. Kemunculan bunga jantan yang banyak di ladang juga bukan satu kerugian kerana kita perlu diingatkan bahawa bunga jantan membekal debunga kepada bunga betina untuk pengeluaran hasil buah. Tanpa bunga jantan maka pasti tiada buah dihasilkan.
Aroma dari bunga jantan akan berkekalan selama 2 – 5 hari manakala bunga betina hanya 36 – 48 jam. Dalam tempoh masa ini, kumbang pendebunga sangat sibuk menjalankan aktiviti masing-masing dan seterusnya melengkapkan proses pendebungaan. Memandangkan aspek pendebungaan tidak mendatangkan sebarang masalah terhadap tanaman sawit, maka kemunculan bunga jantan yang banyak juga bukan batu penghalang kepada pengurangan hasil buah di ladang. Sebaliknya faktor lain seperti kadar pertumbuhan daun, nisbah jantina dan keguguran bunga betina harus dipertangungjawabkan. Keadaan ini akan dihuraikan seperti berikut.
Kadar Pertumbuhan Daun
Hubungan kedua-dua aspek ini sangat rapat kerana pengeluaran setiap daun (pelepah) pokok sawit akan turut menghasilkan satu tandan bunga sama ada bunga betina, jantan ataupun dwijantina. Pertumbuhan daun bermula dari peringkat tunas daun sehingga mula berkembang, masa yang diambilnya ialah 20 24 bulan, kemudian daun berkembang sehingga menjadi tua dan reput mengambil masa dua tahun lagi. Dengan kata lain, satu pelepah sawit mengambil sejumlah 4 tahun untuk cambah, mekar sehingga ke peringkat tua. Pokok sawit akan menghasilkan lebih kurang 40 pelepah selepas ditanam 2 – 3 tahun. Bagi pokok matang berumur melebihi 4 – 6 tahun, jumlah pelepah akan stabil pada 18 24 pelepah. Keadaan ini membawa kepada kesimpulan bahawa pokok muda secara optimum boleh menghasilkan 40 buah tandan manakala pokok matang berbuah antara 18 – 24 tandan. Maka untuk mencapai alam optimum ini, pengeluaran daun hendaklah dilancarkan. Di sisi ini, penaburan nitrogen (N) akan memainkan peranan penting kerana unsur ini berfungsi meningkatkan pertumbuhan vegetatif. Oleh kerana pengeluaran daun adalah satu proses berterusan sepanjang hayat sawit, justeru aplikasi nitrogen perlu diberatkan dengan kadar aplikasi bersesuaian dengan peringkat umur pokok.
Nisbah Jantina
Nisbah jantina boleh ditakrif sebagai nisbah bunga betina berbanding jumlah bunga jantan dan betina. Ini bermakna bunga betina yang banyak akan meningkatkan nisbah jantina dan selanjutnya meningkatkan pengeluaran hasil buah. Apa caranya untuk merangsang bunga betina yang banyak? Ini satu persoalan yang agak berat, namun secara umumnya kedapatan pancaran cahaya matahari yang cukup melalui kepadatan tanaman yang sesuai, bekalan air dan nutrien yang cukup adalah prasyarat yang penting. Pembentukan setandan buah sawit mengambil masa lebih 3 tahun, proses ini akan berlanjutan secara berterusan tanpa mengira harga minyak sawit tinggi atau rendah. Hanya dengan adanya kesemua sumber ini barulah bungan betina boleh terbentuk dan menjadi buah.
Keguguran Bunga Betina
Apabila kelestarian bunga betina dapat diutamakan, kadar keguguran bunga akan menjadi kurang. Bunga betina amnya akan gugur bagi menangani beban pokok yang terlalu tinggi. Melalui keguguran bunga betina, sumber pertumbuhan pokok boleh dijimatkan bagi mengekalkan kehidupan pokok. Keguguran bunga betina kebanyakan masa berlaku di peringkat belum kembang, justeru itu kejadian ini amnya tidak tidak dapat dilihat secara luaran. Kebiasaan, apabila tiada sebarang bunga betina muncul di atas pelepah baru, ini bermakna bunga tersebut sudah gugur. Pengurusan ladang dijalankan dengan baik serta mengekalkan amalan agronomi secara berterusan adalah langkah yang akan menjamin kelestarian pertumbuhan bunga betina serta meminimumkan kejadian keguguran bunga betina. Apabila kesemua aspek ini dapat direalisasikan, hasil buah sawit di atas pokok tentu mengghairahkan.
Sumber maklumat :
Thomas Fairhurst and Rolf Hardter (Editors), Oil Palm:Management For Large and Sustainable Yields, PPI & PPIC,2003,pp.18-21.
Palm King Marketing Sdn Bhd
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd