You are currently viewing Kaedah Mengawal Penyakit Stem Canker Pokok Durian

Kaedah Mengawal Penyakit Stem Canker Pokok Durian

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


FGV Agri Services Sdn Bhd
Level 9 West, Wisma FGV, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel : +603-2789 0082
Fax : +603-2789 0111
E-mail : fassbmarketing@fgvholdings.com

Tanaman durian di Asia Tenggara menghadapi ancaman penyakit Stem Canker sejak dulu lagi. Di Indonesia, kerugian hasil durian malah meningkat sehingga 20 – 25% akibat serangan penyakit ini. Di Australia, penyakit ini pernah menyerang sehingga 54% tanaman durian di kawasan tertentu. Begitu juga di Negeri Pulau Pinang yang mana pada satu ketika lalu, sebanyak 30% tanaman durian diseranginya. Pada hakikat, penyakit ini merupakan ancaman utama kepada tanaman durian di Malaysia dan Indonesia manakala negara-negara lain seperti Thailand, Filipina, Vietnam dan Brunei juga menghadapi masalah serangan penyakit Stem Canker.

Penyakit Stem Canker berpunca daripada serangan kulat Phytophthora palmivora. Menurut sumber, spesies kulat ini juga menyerang tanaman lain seperti kelapa, lada hitam, papaya dan sebagainya. Bagi pokok durian yang terkena penyakit ini, bermula daripada akar kemudian batang pokok, daun malahan buah durian akan turut terjerumus ke alam penyakit tersebut. Pokok sakit sekiranya tidak dirawat akhirnya akan mati. Tambahan pula, penyakit lain akan berikutan serangan penyakit Stem Canker selanjutmya merumitkan kerja rawatan. Keadaan sedemikian menyatakan langkah pencegahan amat penting supaya kelestarian tanaman durian di ladang tidak terjejas.

Penyakit Stem Canker kelihatan hanya berlaku di ladang durian komersial sedangkan durian hutan tidak pernah ada laporan jangkitan. Keadaan ini memberi implikasi bahawa banyak baka tanaman durian komersial kini rentan terhadap serangan penyakit ini. Tan (1973) pernah menjalankan satu kajian ke atas 13 baka durian dalam negara dan mendapati kesemuanya mudah menghidapi penyakit ini. Implikasi selanjutnya ialah banyak spesies durian hutan mempunyai daya rintangan yang baik terhadap serangan kulat P. palmivora seperti D. dulcis, D. carinata, D. oxleyanus, D. I owianus, D. mansoni dan D. testudinarium.

MARDI (Mohd. Shamsudin et. al., 2000) pernah menjalankan kajian ke atas penggunaan durian hutan spesies D. Lowianus sebgai pokok penanti kepada baka durian D24, D96, D99 dan D114 untuk menilai kecenderungan jangkitan penyakit penyakit Stem Canker serta mutu isi durian komersial selepas dicantumkan dengan durian hutan. Hasil kajian itu mendapati bahawa selepas 17 tahun ditanam, hanya 3 pohon pokok atau 7.5% sahaja daripada sejumlah 30 pokok cantuman itu diserangi penyakit Stem Canker berbanding kadar kematian pokok sehingga 50% bagi pokok cantuman yang menggunakan baka durian biasa sebagai pokok penanti. Lagipun, isi durian tidak dipengaruhi oleh penggunaan spesies durian hutan sebagai pokok penanti.

   

Oleh itu, D. lowianus adalah digalakkan untuk digunakan sebagai pokok penanti dalam pengeluaran bahan tanaman durian untuk penanaman komersial. Bahan tanaman ini malah boleh ditanam di kawasan yang berisiko tinggi terhadap serangan penyakit ini. Dengan kata lain, pemilihan baka yang mempunyai daya rintangan tinggi adalah langkah penting untuk mengawal penyakit Stem Canker.

Gejala Penyakit Stem Canker

Pokok durian yang diserangi penyakit Stem Canker tidak sukar dikesan. Dahan dan ranting pokok itu akan menunjukkan gejala layu dan daun baru kelihatan lebih kecil serta mula menguning. Keseluruhan pokok juga kelihatan ‘letih’ bagaikan kekurangan air. Dalam keadaan ini, daun-daun pokok tiak begitu menghijau lagi dan tumbesaran pokok terbantut. Selain itu, tisu akar di bahagian pangkal batang pokok juga menukar ke warna coklat gelap dan bertekstur lembut.

Jika daun pokok diseranginya, maka daun tersebut akan mempunyai tompokan kehitaman yang reput. Tompoakn itu akan bertambah besar dalam masa 3 – 5 hari. Belakang daun itu akan dihinggapi spora berwarna putih. Jikalau batang pokok diserangi, bahagian serangan itu akan berwarna coklat kehitaman dan merembeskan cecair berwarna coklat kemerahan. Bahagian akar yang diserangi penyakit ini akan reput dan berwana kehitaman serta berbau busuk khususnya pada akar muda yang telah diserangi.

Apabila sistem akar dan batang pokok terkena penyakit ini, ia akan mengganggu penyaluran nutrien dan air ke bahagian daun selanjutnya menyebabkan daun kekuningan, dahan dan ranting menjadi layu. Dalam keadaan serangan yang serius, kanopi pokok akan tumbang dan pokok akan mati.

Kaedah Pencegahan 1

Kulat P. palmivora mempunyai spektrum perumah yang luas serta dengan sifat beragam ditambah pula dengan cuaca panas lembap sekali gus mencetuskan kadar serangan yang tinggi. Ia juga boleh direbak melalui sebaran angin justeru merupakan sejenis kulat yang tidak mudah dikawal. Namun begitu, dengan mengelakkan penanaman durian di kawasan berisiko tinggi atau menggunakan bahan tanaman yang mempunyai daya rintangan terhadap penyakit ini adalah antara langkah pencegahan yang berkesan.

Kaedah Pencegahan 2

Selain itu, mengurangkan keadaan takungan air di bawah pokok durian juga didapati berkesan kerana pembiakan kulat P. palmivora bertambah giat di bawah sekitaran yang basah. Bagi kawasan rata, pembinaan sistem saliran air yang baik boleh mengelakkan keadaan air bertakung semasa hujan. Di kawasan rendah seperti bekas tanah padi, lokasi penanmaan pokok durian hendaklah ditinggikan dengan timbunan tanah supaya mengelakkan air bertakung. Amalan menimbunkan tanah di pangkal batang pokok juga berkesan untuk meminimmkan takungan air di bahagian pokok yang paling mudah diserangi oleh kulat tersebut.

Kaedah Pencegahan 3

Semasa pembajaan, baja hendaklah ditabur rata di bawah pokok merupakan amalan cadangan untuk tujuan pencegahan penyakit. Penggunaan baja tunggal berasaskan nitrogen dinasihatkan supaya diminimumkan, sebaliknya meningkatkan penggunaan baja kompos atau tahi ayam yang sudah difermentasikan dapat meneutralkan kemasaman tanah, meningkatkan aktiviti mikrob tanah selanjutnya mendatangkan manfaat.

Dengan memperbaiki keadaan habitat mikrob tanah, mikrob bermanfaat ini akan bertindak sebagai agen kawalan terhadap pembiakan kulat P. palmivora. Dengan kata lain, baja organik membawa faedah dalam pencegahan penyakit Stem Canker pada tanaman durian di samping meningkatkan daya rintangan tersebut. Selain itu, daripada sumber, produk yang mengandungi mikrob bermanfaat seperti Gliocladium sp dan P. fluorescen dapat mengawal serangan kulat P. palmivora.

Demi mengelakkan jangkitan penyakit pada buah durian, maka buah tidak harus dibiarkan menyentuhi permukaan tanah sebagaimana buah durian pada sesetengah baka durian katek. Penggunaan jaring ataupun mengikat tangkai durian supaya tidak jatuh ke atas lantai jugalah langkah kawalan yang disarankan. Bahagian pokok yang dijangkiti penyakit ini hendaklah dibersihkan kemudian dirawat dengan bahan pelindung manakala buah durian yang terkena penyakit ini hendaklah dikumpul dan ditanam ke dalam tanah.

 

Sumber maklumat :

1. Santodo, P. J, “Phytophthora palmivora Mengancam Kebun Durian”, Balai Penelitian Tanaman Buah Tropika, Sumatera Barat, 2011.
2. Siti Zainab Ramawas and Zainal Abidin Mohamad, “Durian (Durio zibethinus)”, Breeding Horticultural Crops @ MARDI, 2008.
3. Mohd. Samsudin, O., et al., “Use of wild durian, Durio lowianus as rootstock”, Prosiding Seminar Durian, MARDI, 2000.

 

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


All Cosmos Industries Sdn. Bhd.
PLO 650, Jalan Keluli 7, Pasir Gudang Industrial Estate, 81700 Pasir Gudang, Johor, Malaysia.
Tel : +607-2523788
Fax : +607-2512588
E-mail : sales_marketing@allcosmos.com

Website: www.allcosmos.com

Sila kongsi kepada kawan :