You are currently viewing Memahami Kejadian Buah Durian Mengkal Dan Implikasi Kaedah Pencegahan

Memahami Kejadian Buah Durian Mengkal Dan Implikasi Kaedah Pencegahan

  • Post category:Artikel / Durian

Salah satu gejala yang akan menurunkan nilai buah durian ialah apabila isi buah berada dalam keadaan mengkal, iaitu ada isi yang telah masak dan ada yang tidak masak serta keras dan tidak berbau dalam buah durian yang sama. Dengan kata lain, isi buah durian tidak masak seragam. Mnurut sumber, banyak baka durian menghadapi masalah tersebut termasuk juga Muang King (D197), Montthong (D159), D24 dan lain-lain lagi.

Menurut laporan Sapii dan Nanthachai (1994), buah durian yang lebih besar serta berisi lebih tebal lebih mudah menghadapi masalah buah mengkal berbanding buah yang lebih kecil serta dengan isi buah yang lebih nipis. Di Thailand, durian Monthong yang dipetik lebih awal (iaitu 106 hari selepas bunga mengorak) cenderung berhadapan dengan masalah ini jika berbanding dengan buah dipetik seminggu kemudian. Selain itu, jika 3 minggu sebelum buah durian dipetik, buah durian yang mengalami lindungan daripada pancaran cahaya matahari (misalnya hari mendung, berhujan ataupun banyak awan), kejadian buah mengkal juga cenderung berlaku. Dari sini jelas kelihatan bahawa dua faktor ini merupakan punca yang boleh mengakibatkan buah mengkal.

Pada hakikat, kebanyakan kebanyakan buah-buahan malah sayur-sayuran adalah tertakluk kepada corak kemasakan sama ada dari bahagian pangkal ke hujung ataupun dari hujung ke arah pangkal buah. Ini gejala yang normal. Umpamanya, buah nanas mula masak di bahagian pangkal kemudian menyusul ke bahagian hujung buah. Maka itu, jika pemetikan buah lebih awal daripada tempoh sepatutnya, masalah buah mengkal akan terjadi.

 

Namun begitu, gejala buah mengkal juga boleh berlaku akibat faktor suasana sekitaran. Misalnya, cuaca yang sangat panas atau kekurangan nutrien kalium boleh menyebabkan buah tomato menjadi mengkal. Buah mangga yang disimpan dalam suhu sejuk melebihi had juga akan menampilkan gejala serupa. Kajian ke atas buah durian Monthong mendapati kandungan kanji dalam setiap isi durian di dalam buah yang sama adalah berbeza dan tidak seragam. Keadaan ini dianggap sebagai salah satu punca yang berkaitan dengan gejala buah mengkal.

 

Selain itu, pokok durian selepas kutipan hasil buah, hari berhujan seturutnya secara am akan memupuk pertumbuhan satu atau dua pucuk baru. Musim pembesaran buah sekiranya jatuh di musim kering dan hujan yang datang tiba-tiba akan juga merangsang pertumbuhan pucuk-pucuk baru yang turut akan bersaing dengan buah untuk mendapatkan bekalan makanan. Keadaan ini akan mempengaruhi proses pembesaran buah termasuk melanjutkan masa kemasakan buah. Begitu juga dengan kesan lindungan pancaran cahaya matahari yang akan mengurangkan keberkesanan fotosintesis dan kemudian mengganggu pembesaran buah. Buah durian yang dipetik lebih awal ataupun gugur lebih awal mempunyai satu ciri yang sama iaitu kegagalan menghasilkan etelen secukupnya untuk memupuk buah masak.

Contoh-contoh ini diberikan bertujuan mengemukakan faktor-faktor yang berpotensi mengakibatkan gejala buah mengkal. Dari sini kelihatan wujudnya dua faktor tambahan yang berkaitan dengan gejala buah mengkal, iaitu pertumbuhan pucuk-pucuk baru pada masa yang tidak sesuai, serta buah dipetik (Thailand) lebih awal atau gugur lebih awal (Malaysia). Dengan mengira masuk dua faktor penyebab disebutkan sebelum ini iaitu saiz buah serta kesan daripada lindungan pancaran cahaya matahari, maka kesemuanya terdapat 4 faktor yang dianggap adalah punca yang mengakibatkan gejala buah durian mengkal.

Daripada 4 faktor ini, 2 faktor telah dikaji lebih lanjut oleh para penyelidik. Kedua-dua faktor ini ialah pertumbuhan pucuk-pucuk baru serta kesan pelindungan pancaran cahaya matahari.

 

Kesan Pertumbuhan Pucuk-Pucuk Baru Terhadap Kualiti Buah

Kajian ke atas pokok durian Monthong yang berumur 15 tahun menunjukkan bahawa 72 hari selepas pembungaan, pucuk-pucuk baru yang tumbuh akan menjadi pucuk matang dalam masa 114 hari. Jika buah durian dipetik di peringkat 100 hari, isi buahnya didapati mengandungi jirim kering (dry matter) serta bahan-bahan boleh larut yang lebih rendah dan selanjutnya mempengaruhi tekstur isi buah. Kelembutan isi buah juga didapati kurang seragam. Inilah kesan daripada pertumbuhan pucuk-pucuk baru yang tidak tepat pada masanya sehingga sanggup mengganggu kualiti buah termasuk gejala buah mengkal.


Kesan Pelindungan Pancaran Cahaya Matahari Terhadap Kualiti Buah

Kajian ke atas pokok durian Monthong berumur 10 tahun menunjukkan bahawa di peringkat 99-106 hari (selama 7 hari) selepas pembungaan, 50 % pelindungan pancaran cahaya matahari yang dicipta dengan menggunakan jaring hitam telah menyebabkan kandungan jirim kering dalam buah durian berkurangan sebanyak 3% dan kadar keseragaman dari segi kelembutan isi buah juga menurun di samping turut membawa gangguan ke atas bahan boleh larut dan tekstur isi buah. Selepas jaring hitam ditanggal untuk memulihkan penerimaan pancaran cahaya matahari yang normal, kesan gangguan tersebut telah berkurangan terutama dari segi pemulihan tekstur isi buah. Keadaan ini menyatakan bahawa penerimaan cahaya matahari yang tidak mencukupi dapat memberi kesan negatif terhadap kualiti buah termasuk kejadian buah mengkal.

Perbincangan

Didapati bahawa kandungan jirim kering dan bahan-bahan boleh larut dalam buah durian adalah paling tinggi di hujung buah dan paling kurang di dalam isi buah tepi di bahagian pangkal buah. Ini menyatakan pembentukan isi buah durian adalah bermula bermula dari hujung buah kemudian menyusul ke arah pangkal buah. Di samping itu, keadaan ini juga menyatakan penukaran kanji kepada glukos buah adalah proses yang memacu buah durian menjadi masak. Proses ini juga mengikut corak yang serupa dengan kemasakan isi buah. Namun begitu, tekstur isi buah seperti kelembutan dan kekerasan isi sebenarnya tidak mengikut corak ini.

Di peringkat awal pembentukan buah durian iaitu 20 25 hari selepas pembungaan, pengeluaran pucuk-pucuk baru akan meningkatkan kadar keguguran putik buah serta juga mungkin akan meningkatkan kadar buah yang tidak bersaiz normal. 35 hari selepas pembungaan, isi buah akan mula terbentuk di dalam buah. Pembentukan isi buah ini akan bertambah cepat sehingga 84 hari selepas pembungaan, kemudiannya baru berstabil.


120 hari selepas pembungaan, buah akan masak dan gugur. Dalam tempoh masa berbulan-bulan ini, kanji akan menukar ke glukos buah dan bersama dengan peningkatan kandungan lemak, isi buah akan mula masak. Di peringkat masa ini, pertumbuhan pucuk-pucuk baru akan menggangu tahap kemasakan isi buah menyebabkan gejala buah mengkal akan berlaku.Oleh yang demikian, boleh dikatakan bahawa ganggaun daripada pertumbuhan pucuk-pucuk semasa pembentukan isi buah mempunyai hubungan rapat dengan gejala buah mengkal.

Kesan pelindungan pancaran cahaya matahari juga mewujudkan kesan negatif yang serupa. Apa yang dimaksudkan di sini ialah cuaca yang kurang baik khususnya cuaca mendung atau berhujan atau banyak awan di langit selama satu minggu akan memberi kesan negatif terhadap kualiti buah di peringkat buah hampir masak. Kejadian buah mengkal akan meningkat jika keadaan cuaca seumpama ini wujud dalam tempoh masa tersebut.

Pucuk-pucuk baru sering tumbuh selepas berhujan dan jika keadaan ini bertembung dengan musim buah hampir masak, maka kadar buah mengkal akan meningkat. Oleh yang demikian, di peringkat buah hampir masak, pangkasan pucuk-pucuk baru yang tumbuh akan dapat mengurangkan kejadian buah mengkal. Selain itu, faktor-faktor lain seperti gangguan perosak dan penyakit, kekeringan tanah, banjir, angin kuat dan pengeluaran hasil tinggi juga memainkan peranan tertentu dalam menurunkan kualiti buah termasuk gejala buah mengkal.

Akhir kata, kejadian buah durian mengkal adalah kesan yang berpunca daripada ketidakseimbangan fisiologi pokok. Bureau of Plant Industry & Dabao National Crop Research and Development Center di negara Filipina pernah mengkaji kejadian buah mengkal dan didapati bahawa dengan menggunakan bahan sungkupan untuk menyungkup permukaan tanah di bawah pokok durian memberi kesan positif dalam menurunkan kejadian buah mengkal. Fungsi sungkupan tersebut ialah mengurangkan jumlah air yang meresap ke dalam tanah demi mengurangkan kadar air yang diambil oleh sistem akar pokok. Mereka mendapati bahawa airberlebihan terhadap pokok durian di peringkat buah hampir masak merupakan faktor yang menyebabkan buah mengkal ataupun gejala isi buah basah (wet core) dan tidak beraroma.

Taburan hujan yang melebihi 200mm (1mm bersamaan keluasan tanah 1 meter persegi di bawah kanopi pokok) akan menyebabkan buah yang hampir masak di atas pokok menjadi mengkal atau mewujudkan gejala isi buah basah. Keadaan ini juga disebabkan oleh pengambilan air hujan oleh sistem akar di peringkat buah hampir masak ini yang turut merangsang pertumbuhan pucuk-pucuk baru dan selanjutnya mengakibatkan saingan nutrien di antara buah dan pucuk-pucuk baru. Hasil kajian ini kelihatan secocok dengan faktor-faktor penyebab buah mengkal yang diterangkan sebelum ini.

 

Sumber maklumat :

1. Jingtair Siriphanich et al., “The Effect of Shading and Leaf Flushing on the Ripening Pattern of Durian”, J. Japan Sci. Hort. 80(3):365-371, 2011.
2. Durian Info : Uneven Fruit Ripening, Wet Core and Tip Burn in Durian, Internet.