You are currently viewing Kaedah Tradisional Mengawal Serangan Penyakit Ganoderma Sawit

Kaedah Tradisional Mengawal Serangan Penyakit Ganoderma Sawit

Penyakit Ganoderma atau juga dikenali sebagai Penyakit Reput Pangkal Batang (Basal Stem Rot Disease) umumnya menyerang sistem akar pokok sawit kemudian merebak ke bahagian pangkal batang pokok. Tisu pangkal batang diserangi akan reput sehingga membentuk lubang. Keadaan ini akan merencatkan penyaluran nutrien dan air ke semua bahagian pokok serta mengurangkan daya pegangan pokok pada tanah. Pelepah pokok akan terkulai kerana tidak mendapat nutrien dan air mencukupi. Hasil buah akan merosot selanjutnya. Angin kencang akan merebahkan pokok pada bila-bila masa sahaja.

Menururt Gurmit (1991), sebanyak 85% pokok sawit berumur 25 tahun di kawasan serangan akan dijangkiti oleh penyakit ini. Oleh yang demikian, penyakit Ganoderma secara umum juga diibaratkan sebagai penyakit ‘cancer’ atau barah mengimplikasikan kadar sembuhan daripada penyakit agak rendah.

 

Senario ini pada hakikat sedang ditangani dengan serius oleh pihak MPOB dengan pembangunan pelbagai teknologi rawatan. Begitu juga pihak perladangan dan pekebun kecil juga menerapkan kaedah yang dianggap sebagai berkesan untuk mengawal serangan tersebut ataupun mencegah daripada jangkitan. Teknik tersebut termasuk pembersihan ladang serangan serta menimbun tanah di pangkal batang pokok sawit. Memandangkan kaedah ini tidak melibatkan penggunaan bahan kimia serta telah lama dimalkan oleh sektor penanaman sawit, maka ia boleh dianggap sebagai kaedah tradisional.

Jika dilihat secara kasar, kaedah ini barangkali semacam kaedah ‘old school’ iaitu berbau kuno terutama di latar banyak teknik rawatan moden sudah dibangunkan oleh MPOB. Walaupun begitu, bagi mereka yang pernah menerapkan kaedah ini, dipercayai mereka mempunyai keyakinan terhadap kesan positifnya. Demi memahami lebih lanjut keberkesanan kaedah ini secara saintifik, ada baiknya kita imbas kembali satu kajian berkenaan yang telah dijalankan pada tahun 80-an.

Kaedah Kajian

Kajian ini bermula pada Mei 1989 di sebuah ladang sawit seluas 129 hektar di Negeri Perak. Pokok sawit di situ berumur 21 tahun yang mana 60% pokok telah diserangi penyakit Ganoderma. Demi mendapat hasil kajian yang tepat, hanya pokok menghidapi tahap penyakit yang sama dipilih dan semua pokok terpilih itu mempunyai satu lubang di pangkal batang pokok akibat kereputan tisu. Bagaimanapun, semua pokok sakit yang dipilih itu masih menunjukkan kanopi menghijau walaupun nampaknya kecil sedikit daripada pokok normal. Lubang di semua pangkal batang pokok itu dibersihkan dengan cangkul dan pahat.

Butir lanjut megenai lubang di pangkal batang pokok ialah saiznya tidak melebihi 50% saiz pangkal batang pokok serta berjarak 25 – 60cm dari permukaan tanah. Lubang yang sudah dibersihkan itu tidak disapu dengan sebarang bahan rawatan dan sisa pembersihan dikumpul dan dibakar. Selepas itu, semua pokok terpilih dalam kajian itu dibahagikan kepada 15 pokok/kumpulan dan 7 cara rawatan digunakan dalam kajian tersebut seperti berikut :

T1 – Pangkal batang pokok sakit yang sudah dibersihkan itu ditimbun dengan tanah permukaan diperolehi dari bawah susunan pelepah berdekatan dengan pokok dengan menggunakan traktor.

T2 – Kaedah yang sama dengan T1, cuma mencampurkan 2kg CIRP ke dalam tanah timbunan di pangkal batang pokok.

T3 – Kaedah yang sama dengan T1, tetapi menimbun 30kg kek dekanter di atas tanah timbunan di pangkal batang pokok.

T4 – Tanah timbunan di pangkal batang pokok dicampurkan 2kg abu buah tandan kosong sawit.

T5 – Selepas menimbun tanah di pangkal batang pokok, 75 buah tandan kosong sawit diletakkan di atasnya.

T6 – Sebelum menimbun tanah di pangkal batang pokok, lubang yang telah dibersihkan itu disemburi dengan cecair penggalak akar (IBA 2000, 250g/l liter air/pokok).

T7 – Tidak menimbun tanah di pangkal batang pokok, sebaliknya ditimbun pula dengan 150 buah tandan kosong sawit yang sama saiz dengan timbunan tanah di samping menambah 0.75kg CIRP dan 0.25kg Urea ke dalam buah tandan kosong itu.


Hasil Kajian

Satu tahun selepas rawatan, pokok di plot T1 menghasilkan jumlah akar paling banyak (128/pokok) dan kebanyakan tertumpu pada jarak 10 – 15cm dari lubang di pangkal batang pokok berbanding plot 7 yang menggunakan buah tandan kosong sebagai pengganti tanah timbunan yang memberi kesan pertumbuhan akar paling rendah. Dalam semua plot, selagi lubang di pangkal batang pokok itu berjarak melebihi 50cm dari permukaan tanah, jumlah akar baru diperolehi adalah sedikit.

Kesan positif penimbunan tanah di pangkal batang pokok juga jelas kelihatan melalui penambahan bilangan pelepah mencatatkan 30 batang berbanding 26 batang bagi pokok di plot tidak ditimbunkan tanah pada 28 bulan selepas rawatan. Begitu juga dengan keluasan daun mencatatkan 4.11 berbanding 3.60 antara kedua-dua plot berbeza kaedah itu.

42 bulan selepas penimbunan tanah, di antara 40 pokok sakit itu, 4 pohon pokok sudah tumbang iaitu 10% berbanding 12 pohon pokok atau 30% daripada pokok sakit yang tidak ditimbun tanah. Keadaan ini menyatakan kaedah menimbun tanah di pangkal batang pokok telah mengurangkan bilangan pokok yang tumbang di samping kandungan fosforus dan kalium dalam daun juga lebih tinggi. Bagaimanapun, kandungan magnesium dan kalsium adalah lebih tinggi sedikit dalam daun pokok sakit yang tidak ditimbun tanah.

 

Daripada aspek pengeluaran hasil buah sawit dan minyak, didapati pokok sakit di plot yang ditimbun tanah mempunyai buah tandan sawit lebih banyak sebanyak 28% dan purata berat buah tandan meningkat 14% selanjutnya meningkatkan hasil sawit sebanyak 46%. Namun begitu, peningkatan hasilan minyak hanya 1% sahaja dan keadaan ini selaras dengan laporan Sarjit (1992) yang mengatakan kandungan minyak bagi pokok sawit yang dijangkiti penyakit Ganoderma selalunya kurang tinggi.


Kesimpulan

Daripada hasil kajian dibentangkan di atas, boleh disimpulkan bahawa lubang di bahagian pangkal batang pokok sakit akibat serangan penyakit Ganoderma sesudah dibersihkan dan ditimbun tanah, ia akan memupuk pertumbuhan akar baru. Kadar pertumbuhan daun juga meningkat. Begitu juga bilangan buah tandan dan berat purata buah tandan masing-masing turut meningkat 28% dan 14%.

Bagaimanapun, jika saiz lubang itu melebihi 50% saiz pangkal batang pokok serta jarak lubang itu melebihi 30cm dari permukaan tanah, kesan pengakaran baru tidaklah besar justeru kaedah timbunan tanah hendaklah diabaikan dalam keadaan ini kerana tidak ekonomi berbuat demikian.

Selain itu, kajian ke atas pokok sawit sakit berumur 21 tahun ini telah menunjukkan kesanggupan kaedah ini mengurangkan pokok tumbang sebanyak 20% dalam tempoh masa 5 tahun serta memperolehi hasil sawit tambahan sebanyak 30kg/pokok/tahun. Maka itu, kaedah menimbun tanah di pangkal batang pokok sakit adalah kaedah yang boleh digunakan tetapi kos pembersihan lubang jangkitan tidak harus terlalu tinggi.

Oleh yang demikian, maka dicadangkan bahawa di kawasan serangan penyakit, pokok sawit di situ hendaklah diperiksa setiap 6 12 bulan. Rawatan lebih awal termasuk pembersihan lubang jangkitan yang tentunya lebih kecil serta saiz penimbunan tanah yang sama-sama lebih kecil adalah lebih jimat. Di samping itu, kadar pengakaran juga lebih cepat dan cekap jika rawatan dijalankan lebih awal kerana tahap penyakit yang lebih ringan. Begitu juga, rawatan pokok sakit secara lebih awal umpamanya pokok berumur 10 – 15 tahun akan dapat melanjutkan hayat ekonomi pokok. Kerja menimbun tanah pada pokok sakit hendaklah dijalankan semasa cuaca baik kerana hari berhujan akan melambatkan kerja dan meningkatkan kos rawatan.


Nota: Gambar foto dalam artikel ini untuk tujuan penjelasan sahaja dan bukannya gambar foto kajian berkenaan.

 

Sumber maklumat :

1. Lim, KH; Chuah, JH and Ho, CY, “Effects of Soil Heaping on Ganoderma Infected Oil Palms”, Proceedings of the 1993 PORI International Palm Oil Congress, PORIM, Pg 477-485.
2. Gurmit, S (1991). Ganoderma-The scourge of oil palms in the coastal areas. The Planter, Vol. 67 (786): 421-444.
3. Sarjit, S (1992). Effect of Ganoderma basal stem rot on oil content of fresh fruit bunches (unpublished data).

 

Hantar blog ini kepada :