Simple Farm Sdn Bhd
E-mail : mrbanana@simple-farm.com
Website: www.mrbanana.com.my
Umumnya dusun di Malaysia tidak terasing dengan pokok rambutan yang ditanami secara selingan bersama pokok buah-buahan lain. Rambutan adalah buah-buahan jati Malaysia. Ia kemudian disebar ke rantau Asia Tenggara lain termasuk Thailand dan Indonesia. Thailand menjadi pengeluar terbesar di dunia dengan keluasan 60,000 ha dan mengeluarkan 430,000 tan (1997) diikuti oleh Indonesia pada keluasan 43,000 ha dan 273,425 tan. Tempat ketiga barulah Malaysia yang menanam 22,000 ha dan mengeluarkan 145,200 tan bernilai RM87,12 juta.
Malaysia mengeksport rambutan (90% adalah rambutan segar) ke Singapura dengan nilai USD3.9 juta. Sementara itu, rambutan juga diimportnya dari Thailand dengan jumlah 759 tan iaitu merangkumi 21% import dunia. Di sini jelas kelihatan buah-buahan ini mempunyai permintaan tinggi di pasaran tempatan sehingga ia perlu diimport. Salah satu petanda baik telah ditunjukkan oleh satu kajian di Kong Kong menyatakan rakyat berketurunan Cina sangat menggemari buah-buahan ini justeru ia sangat berpotensi di pasaran China dan Hong Kong.
Rambutan ialah buah-buahan tropika, ia hanya boleh ditanami di bahagian selatan negera China seperti Yunan dan Hainan. Suhu udara yang optimum untuk pertumbuhannya ialah 32°C (siang hari) dan 28°C (malam). Suhu lebih rendah daripada 20°C akan menjejaskan tumbesaran dan membantutkan perkembangan pucuk. Malahan kajian pertumbuhan rambutan di sekitaran terkawal selanjutnya menunjukkan pertumbuhan tampangnya akan terhenti pada suhu rendah 22°C (siang) dan 14°C (malam).
Namun begitu, penanaman rambutan kini sudah merosot sehingga kepada keluasan 15,316 ha dengan jumlah pengeluaran 50,642 tan (2021). Kejadian ini berlaku akibat harga pasaran yang kurang menggalakkan sebelum itu serta cara penanaman yang kurang mengikuti amalan pertanian baik menyebabkan hasilnya tidak menentu. Lama-kelamaan, tanaman ini sudah digantikan dengan tanaman lain khususnya durian yang mendapat kedudukan harga yang lebih baik.
Pada masa kini, keluasan berskala tanaman rambutan hanya tertumpu pada 3 buah negeri iaitu Sabah (daerah Tuaran – 1660 ha), Kelantan (daerah Tumpat – 1,322 ha) dan Sarawak (daerah Pusa – 1,220 ha). Baki-bakinya bertaburan di dusun perkamungan serta pekarangan di sekitar kediaman kampung yang mememangnya menjadi satu kebiasaan pokok ini ditanami kerana bentuk pokoknya rimbun justeru memberi kesan naungan yang baik. Buahnya boleh dinikmati oleh anak yang pulang ke kampung semasa musim buah-buahan yang sering berserentak dengan buah durian.
Buahnya mengandungi protein (0.46g), karbohidrat (16.02g), lemak (0.30g), serabut (0.24g) dan vitamin C 70mg. Vitamin C terkandung di dalam buah rambutan lebih tinggi daripada epal (6mg) dan pisang (15mg).
Penanaman rambutan hendaklah memilih kawasan yang bersesuaian untuk pertumbuhannya yang baik. Umpamanya, selain suhu yang sesuai, nilai pH di antara 5.5 – 6.5, tanah lom liat berpasir yang subur serta kaya dengan bahan organik sangat penting. Keadaan ini menyatakan ia sesuai diusahakan di kebanyakan jenis tanah mineral melainkan kawasan yang berpotensi menakung air. Tanah berpasir dan tanah gambut tidak sesuai untuk tanaman ini. Lereng bukit yang curam juga hendaklah dielakkan melainkan sudah disediakan dengan sistem pengairan. Kematian yang tinggi biasanya berlaku di kawasan kekurangan air yang menyebabkan anak benih sering mati.
Pokok jantan memang wujud di antara pokok-pokok rambutan yang sedia ada di dusun. Pokok ini hanya mengeluarkan bunga jantan. Oleh kerana tiada organ betina di dalam bunga ini, kesemua bunga jantan akan kering dan gugur tanpa pembentukan sebarang buah. Oleh yang demikian, sekiranya mendapati mendapati mana-mana pokok hanya berbunga dan tidak berbuah langsung sepanjang masa, kemungkinan besar itu adalah pokok jantan yang tiada nilai komersial.
Pada hakikat, pokok rambutan memunyai 3 jenis bunga, iaitu jenis pertama bunga hermafrodit yang berfungsi sebagai bunga betina serta mengandungi stigma dan ovari yang normal. Cepu debunga berada di hujung bunganya. Bunga jenis kedua ialah bunga hermafrodit yang berfungsi sebagai bunga jantan. Bunga ini mempunyai stamen dan cepu debunga tetapi ovarinya sangat kecil dan tidak berfungsi. Justru itu, bunga jenis kedua ini selalu akan gugur dan tidak membentuk buah. Bunga jenis ketiga ialah bunga jantan yang hanya wujud pada pokok jantan sahaja. Daripada sini, jelas kelihatan hanya bunga hermafrodit yang berfungsi sebagai bunga betina yang akan membentuk buah. Musim rambutan di Malaysia wujud pada bulan Jun dan Disember. Walau bagaimanapun, sebatang pokok rambutan hanya akan berbuah sekali setahun.
Kelebihan penanaman rambutan ialah pokoknya mempunyai bunga yang akan berkembang pada waktu pagi serta mengeluarkan bau yang harum. Kesesuaian masa mengembang serta keharumannya dengan mudah sahaja menarik kedatangan serangga khasnya lebah, lalat dan semut untuk menjalankan pendebungaan. Tambahan, masa berbunganya agak panjang sehingga 14 hari justeru membolehkan pendebungaan berlaku pada masa lebih panjang dan membentuk buah yang lebih bayak. Apabila pendebungaan sudah berjaya, buah akan matang untuk dikutip dalam masa 110 – 120 hari.
Sumber maklumat :
Zabedah Mahmood et al., Rambutan & Pulasan, DBP, 2016.
Simple Farm Sdn Bhd
E-mail : mrbanana@simple-farm.com