You are currently viewing Pendebungaan Silang Meningkatkan Hasil Buah Durian

Pendebungaan Silang Meningkatkan Hasil Buah Durian

  • Post category:Artikel / Durian

Durian adalah sejenis tanaman yang memerlukan pendebungaan silang untuk menghasilkan buah. Walaupun terdapat baka seperti D99 yang mana bunga betinanya dapat disenyawakan dengan debunga daripada baka yang sama, namun ini satu pengecualian. Secara amnya, banyak kajian sudah membuktikan pendebungaan silang yang akan meningkatkan hasil buah durian baik dari segi kuantiti ataupun kualiti.

Oleh yang demikian, banyak kebun durian telah mengamalkan percampuran baka dalam kawasan tanaman yang sama, umpamanya 70% Musang King, 10% D24, 10% Duri Hitam dan 10% baka yang lain supaya debunga dari satu baka dapat didebungakan dengan bunga betina daripada satu baka yang lain. Daripada hasil kajian, didapati stigma bunga betina walaupun boleh didebungakan dengan debunga daripada baka yang sama, tetapi kadar pembentukan buah amat rendah. Umpamanya, baka Chanee hanya mencapai pembentukan buah pada kadar 0-6% sahaja jika pendebungaan diri berlaku. Begitu juga dengan baka Kanyao yang mencapai 7 – 21% kejayaan sahaja jika pendebungaan diri berlaku.

Sebaliknya, pendebungaan silang akan meningkatkan kadar kejayaan tersebut sehingga 30 – 79% untuk baka Chanee dan 87 – 90% untuk baka Kanyao. Inilah sebabnya penanam durian digalakkan supaya menggunakan beberapa campuran baka dalam kawasan tanaman yang sama.

Di senario Malaysia, masih tidak pasti sama ada beberapa baka durian yang bermutu seperti Musang King, Duri Hitam, 101, Tekka dan sebagainya dapat berbuah dengan jayanya melalui pendebungaan diri kerana tiada kajian tersebut yang boleh dirujuk. Namun begitu, tentu lebih selamat mengamalkan sahaja penanaman campuran baka agar tidak menghadapi masalah kekurangan hasil di masa hadapan.

Tambahan, percampuran baka juga tidak merugikan penanam kerana buah durian masing-masing dapat dipasarkan dengan harga yang baik. Sehubungan itu, kualiti buah durian tidak terjejas melalui pendebungaan silang kerana kualiti buah seperti cita rasa isi buah adalah diwarisi daripada induk pokok dan jarang-jarang diwarisi daripada ciri-ciri debunga yang diterima.

Hantar blog ini kepada :