Pendahuluan Penyakit antraknos merupakan salah satu punca utama kerosakan buah cili yang merugikan petani. Penyakit ini disebabkan oleh serangan kulat Colletotrichum spp. yang umumnya berlaku semasa musim hujan. Sepanjang masa ini, hanya racun kimia azoxystrobin dan propineb digunakan untuk mengawal penyakit ini, namun penggunaan racun kimia secara berpanjangan juga mencemar alam sekitar serta mewujudkan risiko terhadap kesihatan pengguna. Oleh itu sejenis produk biopestisid berasaskan Trichoderma asperellum telah dibangunkan untuk mengawal penyakit ini. Produk ini memberi kesan kawalan pertumbuhan Colletotrichum 100% di peringkat makmal dan justeru itu telah didaftarkan oleh MARDI di bawah kategori rahsia dagangan bagi penjanaan harta intelek MARDI pada tahun 2019.
Cili adalah salah satu tanaman utama di Malaysia merangkumi jumlah keluasan 2,556 ha pada tahun 2018 dengan jumlah hasil 24,428 tan setahun. Penyakit antraknos atau bintik berpusar serta penyakit mozek virus adalah penyakit utama yang sering menyerang cili. Simptom antraknos ialah bintik berpusar berwarna hitam pada buah cili dan terdapat bintik-bintik nekrotik pada daun. Penggunaan racun kimia walaupun dapat mengawal penyakit ini tetapi ia bukan produk mesra alam. Oleh itu penerokaan produk lebih mesra alam sudah dijalankan dan berjaya menemui biopestisid TrichoSHIELD sebagai pilihan pengganti oleh petani.
Di Malaysia, terdapat 4,366 buah ladang di bawah Malaysian Good Agricultural Practice (myGAP) dan 202 buah ladang yang dipersijilkan Skim Pensijilan Organik Malaysia (my Organic) yang memerlukan produk mesra alam ini. Inilah satu produk boleh digunakan untuk mengawal penyakit antraknos secara berkesan di bawah suasana mesra alam.
Perbandingan Kesan TrichoSHIELD Dan Racun Kimia Azoxystrobin
TrichoSHIELD digunakan pada kadar 5 g/liter air secara semburan foliar ataupun boleh juga diaplikasikan pada batas sebelum anak benih cili ditanam ke situ sebagai kawalan awal penyakit antraknos. Keberkesanan TrichoSHIELD telah diuji secara skala besar di sebuah ladang di Klang, Selangor yang menjalankan penanaman cili Kulai 461 secara fertigasi. Perbandingan ini turut menggunakan racun kimia A yang mengandungi bahan aktif azoxystrobin yang umumnya digunakan dalam rawatan rawatan dan kawalan penyakit antraknos.
Palm King Marketing Sdn Bhd
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd
Website: www.klspalmking.com
Kedua-racun produk ini digunakan secara berasingan di dua plot kajian secara semburan foliar mengikut kadar dicadangkan dalam tempoh penanaman sehingga tamat penanaman. Rekod dicatat setiap minggu. Keputusan mendapati tiada perbezaan signifikan terhadap insiden dan keterukan antraknos pada pokok cili yang dirawat menggunakan TrichoSHIELD dan azoxystrobin. Keputusan ini menyimpulkan bahawa TrichoSHIELD boleh dijadikan sebagai alternatif kepada azoxystrobin untuk kawalan antraknos pada cili. Dalam kajian itu, TrichoSHIELD menunjukkan pengurangan 70.6% jangkitan penyakit antraknos dan pengurangan 72.6% oleh azoxystrobin berbanding plot kawalan yang tidak disemburi dengan produk ini. Keterukan insiden selepas penggunaan kedua-dua produk ini ialah 12.8% oleh TrichoSHIELD dan 10.6% oleh Ozoxystrobin menandakan perbezaan adalah kurang signifikan.
Walau bagaimanapun, aplikasi azoxystrobin memberi hasil cili yang lebih tinggi sedikit iaitu 1,573 g/pokok berbanding penggunaan produk TrichoSHIELD yang memberi hasil cili 1,386 g/pokok. Selain itu Azoxystrobin juga boleh digunakan untuk mengawal penyakit lain seperti kulapuk berdebu yang disebabkan oleh kulat Leveillula taurica pada cili. Inilah antara kelebihan racun kimia berbahan aktif azoxystrobin tetapi kurang mesra alam berbanding TrichoSHIELD.
Nota Trichoderma pada umumnya bersifat mikroparasit iaitu sejenis mikrob parasit yang boleh menghasilkan antibiotik dan toksin antikulat untuk merencatkan pertumbuhan sesuatu patogen. Di situasi ini patogen yang dimaksudkan ialah kulat Colletotrichum spp. yang menyebabkan penyakit antraknos.
Sumber maklumat :
Nur Liyana Iskandar et al., “TrichoSHIELD: Kawalan Biologi Penyakit Antraknos Pada Cili”, Buletin Teknologi MARDI Bil. 18 (2020): 105-110, MARDI.