Kimagri Corporation Sdn Bhd
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com
Website: www.kimagri.com
Pada tahun 80-an, Malaysia mempunyai keluasan tanaman kelapa yang luas sehingga 400,000 hektar serta penanam kelapa seramai 150,000 orang. Berikutan penurunan harga kelapa ke tahap RM0.15 sebiji, keluasan terus merosot saban tahun sehingga kini tinggal 80,000 hektar dengan jumlah penanam lebih kurang 70,000 orang. Pada masa dahulu, kutipan hasil kelapa 4,000 biji sehektar setahun hanya memberi pendapatan RM600/tahun menyebabkan ramai penanam dikategorikan sebagai golongan orang miskin. Selepas itu kerajaan menggalak penanam mengintegrasikan kelapa dengan koko. Namun koko juga mengalami harga tidak menentu serta kadar serangan serangga perosak yang agak tinggi mengakibatkan ramai penanam akhirnya menjurus ke tanaman kelapa sawit yang memberi pendapatan lebih lumayan pada ketika itu. Keadaan ini membentuk senario seterusnya yang hampir melenyapkan industri tersebut.
Tahun-tahun kebelakangan ini menampakkan праккап industri kelapa bangkit semula berikutan harga kelapa melambung naik 4 – 5 kali ganda. Selain itu ia juga disebabkan oleh galakan penanaman baka kelapa baru khususnya kelapa Matag F1 yang menjamin kutipan hasil yang jauh lebih tinggi daripada baka lama iaitu Malayan Tall yang tumbuh tinggi. Keadaan positif ini juga hasil daripada langkah kerajaan menggalak peminuman air kelapa segar. Kelapa tua kini sudah berharga RM1.00 sebiji berbanding masa dahulu RM.30 – RM0.40 sebiji. Lagipun, kelapa juga boleh dibuat santan iaitu sejenis bahan yang penting kepada suri rumah tangga serta memperolehi permintaan yang besar. Kesemua faktor ini seterusnya memacu penanaman kelapa dan peningkatan ini menyebabkan bekalan bahan tanaman Matag F1 tidak cukup untuk menampung permintaan yang tinggi ini sehingga penanam terpaksa beralih ke bahan tanaman yang berhasil rendah seperti Matag F2. Ini satu senario yang tidak sihat kerana penanam akan menghadapi hasil yang rendah apabila pokok matang nanti.
Kini kelapa sudah diikategorikan oleh kerajaan sebagai industri penanaman yang mampu meningkatkan pendapatan penanam dalam negara. Berikutan pengiktirafan ini, kerajaan telah menyuntik RM50 juta ke bidang tersebut untuk menggalak lebih ramai pekebun menceburi bidang ini.
Berdasarkan satu bancian yang pernah dilakukan oleh institusi pertanian dalam negara, masa kini melebihi 70% tanaman kelapa di Malaysia berumur melebihi 50 tahun dengan ketinggian pokok melebihi 60 – 70 kaki. Seramai 48.7% pekebun kelapa tidak menjalankan kawalan perosak di kebun. Oleh yang demikian, langkah pertama yang perlu dibuat segera ialah menanam semula kesemua pokok yang sudah tua ini dan digantikan dengan baka katek yang berhasil tinggi umpamanya Matag F1. Namun begitu, seramai 87.5% daripada jumlah penanam meluahkan kerumitan untuk mendapatkan baka kelapa tempatan yang unggul ini.
Kelapa pandan juga sejenis varieti kelapa yang boleh ditanam. Bekalan tanaman ini di pasaran dipercayai mungkin cukup berbanding Matag F1. Penanam juga boleh memilih kelapa Tacunan Green Dwarf yang kini anak benihnya boleh diperolehi daripada tapak semaian tempatan yang mempunyai kata mulut baik. Prestasi Tacunan adalah setanding dengan Matag F1, ia merupakan baka kelapa yang dianggap paling baik di Filipina dan telah dikomersialkan di negara tersebut sejak tahun 1980.
Pokok kelapa tua yang hasilnya rendah serta tinggi pokoknya menyebabkan 65.4% penanam berasa khuatir terhadap masa hadapan mereka. Penanam akan sukar mendapat pemetik buah sekiranya hasil pokok adalah rendah dan keadaan ini juga akan meningkatkan kos operasi ladang. Seramai 73.4% sudah berdepan dengan masalah ini. Untuk menjaga kelestarian hidup pekebun kelapa ini, Jabatan Pertanian Malaysia telah mengagihkan baja kepada mereka. Baja dari Jabatan ini merangkumi 87.5% dan yang baki disalurkan oleh institusi pertanian lain seperti PPK dan LPP. Jabtan Pertanian Malaysia juga menyediakan khidmat nasihat kepada mereka. Seramai 68.0% penanam mengakuri kewujudan perkhidmatan ini.
Berkenaan harga ladang kelapa yang puratanya RM1.00 sebiji amnya dikutip terus oleh pemborong yang datang ke ladang. Jika pemborong ditugaskan memetik kelapa dengan tenaga buruh sendiri maka harga ladang adalah RM0.20 RM0.30 lebih murah. Serabut kelapa juga boleh dijual tetapi hanya berharga RM30 – RM40/tan yang biasanya dibeli oleh pengilang coco peat.
Memandangkan 80.1% tanaman kelapa di Malaysia berumur melebihi 25 tahun, maka langkah mempercepatkan tanam semula dengan baka katek dan berhasil tinggi adalah pendekatan yang dinanti-nantikan. Umur penanam kelapa di Malaysia melebihi 51 tahun adalah sebanyak 67.3%, maka usaha menggalak generasi muda untuk menceburi bidang ini juga penting.
Pengeluaran kelapa dijangka meningkat dari 530 juta biji pada tahun 2010 kepada 1.2 bilion biji pada tahun 2020. Untuk mencapai sasaran ini, kadar pertumbuhan 8.7% setahun serta peningkatan produktiviti dari 4.8 tan/hektar/tahun kepada 15.1 tan/hektar/tahun diperlukan. Oleh yang demikian, kerajaan sudah merancang untuk menanam semula 16,000 hektar dengan Matag F1 serta 2,000 hektar kelapa pandan. Sebanyak 31,000 hektar pokok kelapa matang sedia ada yang masih produktif akan dipulihara melalui amalan agronomi termasuk pembajaan, pembinaan infrastruktur seperti sistem pengairan serta kawalan serangga perosak untuk meningkatkan hasil. Dengan itu dijangka industri kelapa negara akan terus cerah di masa hadapan.
Bahan rujukan :
1.Memperkukuhkan Industri Sayur-Sayuran dan Buah-buahan Serta memulihkan Industri Kelapa,DOA.
2.Mohd. Rashid Rabu et al., Potensi Pembangunan Industri Kelapa Negara Dari Perspektif Rantaian Nilai.
Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350