All Cosmos Industries Sdn. Bhd.
Tel : +607-2523788
Fax : +607-2512588
E-mail : sales_marketing@allcosmos.com
Website: www.allcosmos.com
Pekebun di zaman moden ini sudah mengetahui pembiakan tampang akan menghasilkan kualiti bahan tanaman yang lebih tinggi serta berbuah lebih cepat. Saiz pokok juga lebih katek dan kecil berbanding pokok dari biji benih yang membentuk pokok berkualiti lebih rendah, tumbuh lebih tinggi malahan hasil mungkin juga lebih rendah. Bagi rambutan, pembiakan secara cantuman mata tunas adalah disyorkan supaya pokok mula berbuah pada 3 – 4 tahun selepas ditanam berbanding dengan pokok dari biji yang mengambil 5 – 6 tahun atau lebih untuk berbuah.
Jarak tanaman untuk rambutan juga telah berbeza kerana cara pembiakan lebih moden telah diterapkan. Dahulu, jarak tanaman 8m dalam baris dan 10m antara baris digunakan dalam sistem tanaman segi empat atau segi empat tepat.
Sistem ini memuat 100 – 150 pokok/ha. Namun jarak ini agak membazir ruang khususnya di peringkat pokok belum matang. Dengan bahan tanaman cantuman digunakan, kini jarak tanaman pada 5m dalam baris dan 8m antara baris telah diguna pakai. Jarak ini boleh memuatkan 250 pokok/ha dan dianggap lebih ekonomi untuk diterapkan.
Lubang tanaman untuk menanam rambutan biasanya digali mengikut ukuran 60cm x 60cm x 60cm. Jika kawasan tanaman ini terdiri daripada tanah subur, maka lubang tanaman dicampuri dengan sekitar 10kg baja organik sudah memadai. Sebaliknya jika lubang tanaman adalah dari tanah liat, maka tanah liat dari lubang tersebut hendaklah digantikan dengan tanah permukaan beserta bahan organik kemudian digaul dengan 200g baja fosforus dan anggaran 500g batu kapur. Lubang itu kemudian dibiarkan begitu untuk seminggu lalu baharu menanam anak benih. Awal musim hujan digalakkan untuk dipilih sebagai permulaan menanam agar anak pokok tidak menghadapi tekanan kekurangan bekalan air yang akan mengakibatkan kematian anak pokok.
Pembajaan pokok rambutan boleh dipecahkan kepada 4 peringkat dengan menggunakan rumusan baja yang berbeza. Di peringkat awal pertumbuhan, rumusan baja sebatian 15/15/5 digunakan. Di peringkat mula berbuah iaitu pada tahun ketiga, rumusan 12/12/17 pula digunakan. Semasa lepas tuai, baja 15/15/15 digunakan kembali kemudian ditukar kepada 12/12/17 di peringkat umur 3 bulan dan 5 bulan lepas tuai. Semasa pokok mula mengeluarkan putik buah, MOP (sumber kalium) digunakan pula. Rekomen- dasi pembajaan yang lebih perinci bolehlah merujuk kepada jadual 1.
Pengairan adalah penting untuk ketiga-tiga peringkat belum matang, matang dan lepas tuai. Pokok matang memerlukan 16 liter air/pokok/hari. Untuk menggalak pembungaan, kemarau jangka pendek diperlukan. Di peringkat pembesaran buah, air sangat penting supaya buah tidak gugur serta dapat membesar dengan optimum. Kekurangan air juga akan menyebabkan kualiti buah menurun, umpamanya saiz buah yang kecil. Semasa lepas tuai, pertumbuhan vegetatif pokok juga memerlukan air secukupnya supaya pucuk dan daun baru boleh kembang serta berserentak bagi menjamin pengeluaran hasil akan datang. Begitu juga di peringkat belum matang, bekalan air akan membantu pembesaran pokok.
Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336
Website: www.hextar.com
Pemangkasan pokok dilakukan untuk memenuhi beberapa tujuan. Tujuan pertama ialah mengawal ketinggian pokok supaya penyelenggaraan kemudian menjadi mudah. Tujuan kedua ialah demi memperolehi pokok yang berhasil lebih tinggi. Dahan-dahan berlebihan serta tumbuh menegak dipangkas bagi meningkatkan kadar kemasukan cahaya matahari serta memperbaiki pengudaraan udara. Apabila keadaan ini tercapai, kadar jangkitan penyakit akan menurun.
Sistem pangkasan pokok yang disyorkan ialah sistem terbuka tengah. Melalui cara ini, 3 atau 4 dahan sisi yang sihat, seimbang dan kuat yang dari batang utama dikekalkan, dahan lain dipangkas. Dengan cara ini, bentuk pokok akan menjadi rendang serta mengembang secara mendatar.
Pemangkasan boleh dijalankan serentak dengan kutipan hasil. Semasa mengutip hasil, ranting dipotong di bahagian bawah tangkai buah. Kaedah ini sudah dikenal pasti oleh MARDI sebagai kaedah paling optimum untuk memupuk pembuahan yang baik di musim berikutnya. Kaedah ini juga dianggap sebagai pangkasan sedikit jika dibandingkan dengan pangkasan ranting di bahagian dua atau tiga ruas di bawah tangkai buah. Pangkasan ini sudah berlebihan dan akan menyebabkan hasil seterusnya terjejas malahan tidak berbuah langsung. Dengan kata lain, pangkasan rambutan adalah dijalankan bersama kutipan buah. Selepas buah dikutip, ranting layu, berpenyakit serta tidak berfungsi di atas pokok semuanya dipangkas untuk menggalak pertumbuhan ranting baru diikuti oleh pembungaan dan pembuahan nanti.
Bahan rujukan :
Zabedah Mahmood, Rambutan & Pulasan, DBP, 2016.
Palm King Marketing Sdn Bhd
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd