You are currently viewing Kawalan Penyakit Karah Padi

Kawalan Penyakit Karah Padi

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Hextar Fert Sdn. Bhd.
No. 64, Jalan Bayu Laut 4/KS09, Kota Bayuemas, 41200 Klang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336

Website: www.hextar.com

Kadar sara diri beras di Malaysia mencapai 72% pada tahun 2018. Jumlah keluasan padi lebih kurang 700,000 ha pada tahun yang sama menghasilkan 3 juta tan bijirin beras atau lebih kurang 2 juta tan beras putih. Produktiviti hasil padi di Malaysia ialah 4,443kg/ha pada tahun 2018 iaitu 19% lebih tinggi daripada tahun 2017 tetapi kadar sara diri masih sama kerana kenaikan jumlah penduduk Malaysia. Sejumlah 296,000 petani padi bergantung kepada tanaman ini untuk sara hidup (2015).

Tanaman padi menghadapi ancaman serangan serangga dan penyakit yang besar. Serangan seperti penyakit karah, penyakit hawar daun, bena perang dan virus membawa kerugian hasil antara 15 – 50%. Penyakit karah padi buat pertama kali dilaporkan pada tahun 1945 dan membawa kerugian hasil kebangsaan 20% serta kerugian plot sebanyak 70%.

2 jenis penyakit karah padi yang menyerang iaitu karah daun dan karah tangkai. Penyakit ini menyerang semua bahagian padi termasuk daun, tangkai, bijirin malah akar padi. Penyakit karah padi berpunca daripada patogen Pyricularia oryzae. Gejala penyakit ini merangkumi bintik pada daun dan juga kereputan di bahagian leher tangkai dan membawa kerugian hasil secara ketara. Pada tahun 1999, penyakit ini telah menyebabkan kerugian RM66 juta ke atas varieti padi Setanjung. Penyakit karah tangkai mendatangkan kerugian hasil yang lebih tinggi sehingga 50 – 70%. Menurut kajian. oleh Rosnani et al. (2015) penyakit karah menyumbang kepada kerugian hasil 43% berbanding penyakit yang lain.

P. oryzae merebak melalui spora. Sporanya akan menghinggap di bahagian pokok padi dan menyebakan bahagian tersebut diserangi. Populasi spora akan bertambah mengikut masa. Patogen ini juga boleh hidup dalam biojisim tanaman padi selamat dua pusingan penanaman. Suhu udara antara 17°C – 28°C ditambah dengan daun padi basah selama 7 jam 14 jam meruapakan syarat optimum kepada sebaran panyakit ini. Media sebaran patogen ini adalah melalui angin dan juga air justeru itu merupakan sejenis penyakit yang mudah merebak secara meluas.

 

Kaedah Kawalan

3 cara boleh digunakan untuk mengawal penyakit karah padi iaitu penggunaan bahan tanaman rintang penyakit, kawalan dengan racun kimia dan amalan kultur yang baik. Pengurusan pembajaan juga dianggap sebagai salah satu cara untuk mengawal penyakit ini. Bahan tanaman yang rintang terhadap penyakit walaupun merupakan cara kawalan paling ekonomi, tetapi penggunaan racun kulat masih perlu terutama di kawasan yang mempunyai risiko kejadian yang tinggi.

Pada tahun 1979, MR 7 (Sekencang) diperkenalkan secara komersial. Varieti ini adalah varieti paling awal yang mempunyai sedikit sebanyak rintangan terhadap penyakit karah padi. Selepas itu MR 232, MR 253 dan MR 263 turut diperkenalkan ke pasaran dan kesemua varieti ini juga memiliki daya rintangan tertentu ke atas penyakit ini.


Kawalan Dengan Bahan Tanaman Baru

Pada tahun 2001 dan 2003, MR 219 dan MR 220 masing-masing diperkenalkan dan kedua-dua varieti ini didapati rintang terhadap penyakit karah daun yang memberi kesan menjanjikan selama 15-18 musim penanaman. Selepas itu, MR 219 dan MR 220 turut ditanami secara meluas sehingga merangkumi 90% jumlah keluasan padi dalam negara. Namun kejadian karah tangkai ke atas MR 219 pada musim 2008/2009 menyebabkan varieti ini ditarik balik untuk penanaman komersial. Sebagai alternatif, MR 253 dan MR 263 yang diperkenalkan oleh MARDI pada tahun 2010 digalakkan untuk ditanam kerana hasil kedua-dua varieti ini adalah setanding dengan dua varieti sebelumnya. MR 232 juga salah satu varieti yang rintang terhadap penyakit karah padi. Pada tahun 2016, MARDI memperkenalkan satu varieti baru yang dikenali sebagai MARDI Siraj 297 yang memberi rintangan baik terhadap karah daun dan karah tangkai. Inilah sejarah ringkas mengenai perkembangan pembiakbakaan padi bagi menangani penyakit ini.

Kawalan Kimia

Berbanding racun kulat yang mengandungi bahan aktif isoprothiolane dan azoxystrobin, tricyclazole merupakan pilihan lebih baik dalam kawalan penyakit karah padi. Ketiga-tiga bahan ini bersifat sistemik. Semburan mula dijalankan apabila gejala serangan telah kelihatan di bahagian daun padi kemudian disusuli dengan semburan kali kedua dan ketiga pada hari kedua dan ketiga. Untuk mengawal penyakit karah tangkai, semburan racun tersebut hendaklah dilakukan sebelum pembentukan 25% tangkai padi. Serangan yang serius memerlukan semburan kali kedua yang berselang 3-7 hari dengan menggunakan racun kulat lain terutama apabila bahagian serangan yang berwarna kelabu hitam gelap sudah kelihatan di buku ruas tangkai atau kepala. Racun tricyclazole adalah racun yang diperkenalkan lebih kemudian dan menampilkan kesan kawalan lebih baik.

Banyak kajian telah dibuat oleh pelbagai pihak dan mendapati kawalan racun kulat memberi kesan positif. Umpamanya Yashoda et al. (2000) melaporkan rawatan biji benih padi dengan carbendazim (2g/kg) sebelum mengubah padi ke sawah serta 3 kali semburan dengan tricyclazole 0.06% (0.6g/L) setiap kali semasa pencabangan anak benih serta menyembur pada 15-20 hari selepas semburan pertama dan semburan ketiga semasa pembentukan tangkai berkesan mengawal karah padi. Pada masa yang sama, Magar et al. (2015) juga melaporkan semburan tricyclazole (22%) bercampur dengan hexaconazole (3% SC (0.2%) 3 kali berselang seminggu semasa permulaan pengeluaran hasil juga berkesan mengawal penyakit ini. Kombinasi ini mampu mengurangkan kejadian karah padi sehingga 87.08% dan seterusnya meningkatkan hasil padi 56.09% berbanding plot kawalan.

Sehubungan itu, menurut Ghazanfar et al. (2009), penggunaan tetrachlorophthalide (3g/L air) dapat juga mengawal penyakit karah secara ketara. Andi dan Nur Amin (2013) melaporkan flusilazol (0.6 ml/L air)berkesan mengawal karah padi sehingga 56 hari selepas mengubah. Tidak kira apa jenis racun kulat digunakan, yang penting ialah masa aplikasi. Inilah tanggapan Groth (2006) yang mengaplikasikan azoxystrobin secara semburan tunggal (0.11kg a.i/ha) semasa tunas tangkai mula kelihatan juga menunjukkan kesan terhadap kawalan penyakit ini seterusnya memperbaiki hasil pengeluaran bijirin. Namun, semburan semasa pencabangan anak benih (0.11kg/a.i ha) dan pengeluaran tunas tangkai pada kadar 0.11kg/a.i ha memberi kesan lebih baik lagi. Oleh yang demikian, masa aplikasi kelihatan lebih penting dalam menangani penyakit ini sebelum populasinya meningkat ekoran semburan yang lewat.

Tricyclazole merupakan racun kulat yang umum digunakan untuk mengawal penyakit ini secara global, tetapi pergantungan pada hanya satu jenis racun kelihatan bukan pendekatan paling optimum untuk menghapuskan penyakit ini di sawah. Fungsi racun kulat ialah untuk mengurangkan kejadian penyakit sama ada melalui pengurangan populasinya atau melambatkan sebaran penyakit.

 

Amalan Kultur Yang Baik

Oleh kerana patogen ini boleh bersembunyi dalam biji benih, maka penggunaan biji benih berpenyakit akan meningkatkan risiko kejangkitan. Biji benih mengandungi protein yang boleh menjadi sumber makanan kepada patogen, justeru itu pendaman penyakit dalam biji benih kelihatan lebih merbahaya berbanding jangkitan dalam pembesaran anak benih. Selagi satu-satu kawasan sudah dijangkiti penyakit ini, maka patogen akan terpendam dalam tanah serta merebak ke perumah yang ditanami di situ.

P. oryzae juga menjadikan beberapa jenis rumpai sebagai perumahnya seperti rumpai Echinochloa crus-galli yang merupakan rumpai yang lumrah dijumpai di sawah padi. Oleh itu, kawalan rumpai juga salah satu cara kultural yang boleh menurunkan serangan penyakit karah padi.

Didapati juga P. oryzae yang sembunyi dalam biji benih yang ditabur terus boleh membiak lebih banyak spora selepas 2-3 minggu di tanah yang airnya sudah disalir keluar daripada sawah. Ini kerana kebanyakan petani mengamalkan cara tabur terus bagi menjimatkan kos. Air sawah perlu disalir keluar dalam 10 hari pertama tabur terus padi. Keadaan ini menyediakan suasana yang baik untuk pembiakan patogen. Oleh yang demikian, di kawasan yang sudah ada kejadian penyakit ini, maka penyediaan tanah untuk tanam semula hendaklah dijalankan dengan berhati-hati, antara cara lain yang boleh digunakan ialah menanam padi dengan jarak tanaman tertentu bagi mengurangkan jangkitan.

Amalan penanaman beberapa varieti padi secara campuran juga dapat mengurangkan jangkitan penyakit ini. Han et al. (2016) melaporkan kombinasi beberapa varieti komersial di satu-satu kawasan telah menurunkan kadar serangan ke aras lebih rendah daripada 10% berbanding tanaman tunggal dengan kadar serangan 20%. Gallet et al. (2014) mendapati tanaman padi campuran tidak menyediakan suasana hidup yang kondusif bagi patogen khususnya penggunaan varieti padi yang rintang terhadap penyakit ini.

Pengawalan Melalui Pengurusan Nutrien

Beberapa kajian telah menunjukkan bekalan nitrogen (N) berlebihan ke atas tanaman padi padi telah meningkatkan kadar jangkitan penyakit karah padi. Petani padi telah dinasihatkan supaya jangan menabur lebih daripada 120kg/ha N. Long et al. (2000) melaporkan taburan N secara tunggal meningkatkan keterukan kejadian penyakit karah daun berbanding taburan N secara berpecah kepada beberapa pusingan. Maka itu petani padi tempatan dinasihatkan supaya memecahkan taburan N kepada 4 pusingan dengan jumlah tidak melebihi 120kg/ha.

Baja silikon (Si) juga didapati mampu mengurangkan kejadian penyakit yang dibawakan oleh fungi dan bakteria dalam beberapa spesies tanaman. Silikon meningkatkan daya rintangan padi terhadap karah daun, karah tangkai, bintik perang, reput batang dan layu daun (Datnoff et al. 1997). Baja silikon akan menguatkan dinding sel, lantaran itu mencegah kemasukan patogen ke dalam tanaman dan mengurangkan kadar serangan. Lapisan pelindungan yang dihasilkan oleh baja silikon juga melindungi padi daripada pelbagai stres baik secara biotik yang disebabkan oleh benda hidup atau abiotik akibat gangguan benda bukan hidup seperti faktor suasana sekitaran. Pelindungan fizikal inilah yang sering digunakan untuk menerangkan peranan silikon dalam penurunan kejadian karah padi.

Kajian yang dijalankan telah mendapati padi MR 219 menunjukkan kadar kejadian yang rendah secara ketara selepas dirawati dengan gel silika butiran (95% SiO2) atau solusi sodium silicate (12% SiO2). Namun, bentuk silika butiran memberi kesan lebih baik berbanding silika cecair kerana kandungan silikon di bahagian daun serta berat kering pucuk dan akar padi kelihatan lebih tinggi apabila silika butiran digunakan.

Selain itu, agen kawalan biologi dengan kulat Basillus spp. juga didapati boleh mengurangan keterukan jangkitan penyakit karah padi sebanyak 40% (Afroz et al. (2018) iaitu satu prestasi yang setanding dengan penggunaan racun kulat untuk tempoh 2 tahun. Basillus spp. akan meningkatkan aktiviti pengeluaran enzim antioksida seperti superoxide, dismutase, peroxidase, polyphenol oxidase dan phenylalanine ammonia-lyase yang dikenali secara umum sebagai agen yang dapat mengurangkan serangan penyakit ini.

 

Sumber maklumat :

E. Nurul Nahar et al.” Rice Blast Disease in Malaysia: Options for its Control”, J. Trop. Agric. and Fd. Sc. 48(1) (2020).

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


FGV Agri Services Sdn Bhd
Level 9 West, Wisma FGV, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel : +603-2789 0082
Fax : +603-2789 0111
E-mail : fassbmarketing@fgvholdings.com

Sila kongsi kepada kawan :