You are currently viewing Pengeluaran Hasil Sawit Optimum Melalui Pengurusan Kanopi Pokok

Pengeluaran Hasil Sawit Optimum Melalui Pengurusan Kanopi Pokok

- - iklan - -

Dalam proses tumbesaran pokok sawit, pengurusan kanopi pokok memainkan peranan penting sekali. Kanopi pokok akan berkembang mengikut peringkat tumbesaran. Melalui kajian, sudah diketahui bahawa kanopi pokok yang besar dan rimbun akan menjana lebih banyak karbohidrat melalui proses fotosintesis untuk kelestarian pokok. Malahan pengeluaran hasil juga akan meningkat jika kanopi pokok berada dalam keadaan optimum.

Kanopi pokok boleh ditakrifkan sebagai susunan pelepah berdaun pada satu – satu pokok. Jika dilihat dari aras tinggi, didapati kanopi pokok sawit bagaikan bentuk payung yang susun teratur. Namun jika dilihat daripada permukaan tanah, kanopi pokok mungkin terlintang ke sini ke sana malah menindih antara satu sama lain. Keadaan ini akan menjejaskan keberkesanan daun menerima pancaran cahaya matahari. Dengan erti kata lain, keadaan ini juga akan menghalang pokok daripada menjana karbohidrat secukupnya untuk keperluan pertumbuhan dan pengeluaran hasil pokok sawit. Oleh yang demikian, pengurusan kanopi adalah aspek penting sekali dalam memperolehi hasil sawit yang tinggi.

Hasil sawit hanya akan menjadi lumayan jika jumlah keluasan daun hijau sawit mencapai tahap optimum. Inilah hasil kajian yang telah dijalankan oleh pelbagai pihak penyelidikan yang menyatakan indeks keluasan daun (L) satu – atu pokok adalah parameter penting untuk menentukan sama ada kanopi pokok berada dalam tahap optimum atau tidak. Formula pengukuran indeks keluasan daun (L) ialah L = keluasan daun (m2) x bilangan pelepah x kepadatan pokok (pokok/ha) kemudian dibahagikan dengan 10,000. Kanopi paling optimum ialah apabila nilai tersebut berada di antara 5 – 7. Inilah cara yang digunakan di bidang penyelidikan sawit. Untuk merealisasikan indeks optimum ini, beberapa amalan berikut perlu dipraktikkan.


1. Mengekalkan Bilangan Pelepah Untuk Menstabilkan Keluasan Daun

Untuk tanaman sawit yang ditanam pada kepadatan 136 – 143 pokok/ha, pembenetukan kanopi pokok akan menjadi sempurna selepas 5 tahun ditanam. Namun begitu, masa tepat tersebut adalah bergantung kepada kesuburan tanah, pembajaan, cuaca dan bahan tanaman yang digunakan. Kepadatan tanaman yang tinggi seperti satu kes yang berlaku di Sumatara Utara yang mana ladang tersebut menanam 160 pokok/ha dan berjaya membentuk kanopi pokok yang sempurna secara lebih awal 10 bulan berbanding kepadatan pokok 128 pokok/ha. Di bawah kepadatan tanaman sederhana, pokok yang ditanami 10 – 12 tahun jika dikekalkan bilangan pelepah 30 – 40 pelepah atau bersamaan 4 – 5 tingkat bermakna keluasan daun boleh distabilkan.

Oleh itu, petua pertama dalam pengurusan kanopi pokok sawit ialah mengekalkan bilangan pelepah yang optimum di atas pokok bagi menerima cahaya matahari secara optimum. Jika bilangan pelepah kurang daripada tahap otimum, ia akan mendatangkan merugikan pada pokok dalam mendapat cahaya matahari untuk penjanaan fotosintesis dan karbohidrat. Sebaliknya jika bilangan pelepah adalah berlebihan, ia akan meningkatkan saingan antara pokok untuk mendapat cahaya matahari. Keadaan ini akan meningkatkan kadar pernafasan pokok selanjutnya meningkatkan pertumbuhan vegetatif pokok khususnya ketinggian pokok dan menjejaskan pengeluaran hasil. Ini kerana apabila pokok bersaing antara satu sama lain untuk mendapat cahaya matahari, ia akan mengiatkan pertumbuhan vegetatifnya, dan pengeluaran hasil akan diabaikan oleh pokok.

 

Walaupun membangunkan kanopi pokok seawal mungkin mampu memberi hasil awalan lebih tinggi, tetapi pertumbuhan pokok pada masa itu juga cergas dan jika tidak diawasi, keadaan ini juga akan memupuk saingan antara pokok untuk mendapat cahaya matahari. Justeru itu, beberapa amalan berbantu tetap perlu diusahakan oleh pengusaha tanaman agar gejala saingan tidak wujud secara berlebihan. Daripada sini, jelas kelihatan pengurusan kanopi pokok menjadi perkara penting agar pokok sentiasa mempunyai bilangan pelepah berdaun yang optimum sepanjang hayat ekonominya melalui beberapa kaedah berikut :

• Menggunakan kepadatan tanaman yang tinggi semasa penanaman supaya dapat memberi hasil awalan sawit yang lebih tinggi. Kemudian itu diikuti oleh penjarangan pokok iaitu menebang pokok berlebihan bagi mengekalkan kepadatan optimum yang dapat mengurangkan saingan yang wujud.

Menggunakan kepadatan rendah, maka itu tidak perlu menjalankan penjarangan pokok apabila pokok matang nanti, tetapi cara ini tidak membawa hasil awalan yang lebih tinggi daripada kebiasaan.

Bagaimanapun, pemilihan kepadatan pokok juga bergantung kepada kesuburan tanah dan bentuk muka bumi serta analisis tanah untuk mendapatkan pilihan yang lebih tepat. Di sisi ini kadar pancaran cahaya matahari juga boleh diambil sebagai salah satu pilihan. Ini kerana kadar pancaran cahaya matahari yang lebih tinggi akan menghasilkan keluasan daun yang juga lebih tinggi.

Di bawah tanggapan ini maka di kawasan yang menerima pancaran cahaya matahari tinggi (umpamanya hari cuaca baik yang lebih banyak) boleh menanam dengan kepadatan tanaman lebih tinggi. Sebaliknya di kawasan yang mempunyai hari mendung yang lebih banyak (umpamanya taburan hujan yang tinggi serta berawan tebal pada kebanyakan masa) maka kepadatan tanaman lebih rendah boleh dipertimbangkan.

Sungguhpun begitu, jika hujan amnya datang pada waktu lewat petang maka kepadatan tanaman yang tinggi masih boleh dipertimbangkan. Seperti satu kes yang berlaku di Mount Ophir, Sumatera Barat yang mendapat taburan hujan tinggi (tetapi kurang berawan), pancaran cahaya matahari yang juga tinggi serta struktur tanah gunung berapi mendalam berjaya memupuk hasil sawit ke aras yang mengkagumkan.

 

Pengurusan kanopi pokok selain perlu mengambil kira kadar pancaran cahaya matahari, ia juga bergantung kepada faktor taburan hujan, kelembapan udara dan kesuburan tanah. Setiap faktor luaran ini membawa sama ada kesan selari atau songsang terhadap keberkesanan pengurusan kanopi pokok yang bersabitan dengan aspek pengeluaran hasil sawit. Misalnya kawasan yang menerima pancaran cahaya matahari yang tinggi mungkin bermakna taburan hujan adalah lebih rendah atau kelembapan udara mungkin tidak mencukupi. Untuk mengatasi masalah ini, pendekatan yang boleh diambil ialah tidak menanam sawit di kawasan yang tidak sesuai manakala di kawasan bersesuaian maka jarak tanaman yang tepat hendaklah dipilih.

Terdapat faktor boleh kawal yang boleh digunakan oleh pengusaha tanaman bersabitan pengurusan kanopi pokok. Memandangkan faktor dalaman ini boleh dikawal dan diselenggara oleh penanam maka ia wujud sebagai kaedah yang boleh digunakan untuk memperkasakan hasil tanaman sawit, seperti berikut :

1. Pemilihan Bahan Tanaman : Bahan tanaman di pasaran mempunyai perbezaan dari segi panjang pelepah, ketinggian malah saiz pokok. Oleh itu penanam boleh memilih jenis bahan tanaman yang bersesuaian dengan keadaan kawasan untuk ditanam. Perbezaan ini juga memberi kepadatan pokok/ha serta kemungkinan hasil yang berbeza.

2. Kepadatan Tanaman : Faktor ini memberi pengaruh paling tinggi dalam pengurusan kanopi pokok. Oleh yang demikian, kepadatan pokok mesti ditimbangkan dengan betul mengikut jenis tanah, kesuburan tanah dan agro – iklim setempat sebelum penanaman dimulakan. Kepadatan 136 – 143 pokok/ha umum digunakan oleh penanam tetapi juga ada penanam menggunakan kepadatan lebih rendah atau lebih tinggi daripada itu. Kepadatan 118 pokok/ha atau kurang mungkin akan menyebabkan kesukaran mendapat hasil yang diidamkan. Kepadatan 160 pokok/ha atau lebih tinggi walaupun mampu memberi hasil awalan lebih tinggi tetapi kesan saingan daun pada tahun – tahun seterusnya akan merumitkan pengurusan ladang.

3. Pangkasan Pelepah : Memangkas pelepah merupakan satu komponen penting dalam pengurusan kanopi pokok sawit. Amnya pelepah hanya perlu dipangkas dalam keadaan menindih, layu atau berpenyakit. Semasa kutipan hasil, pelepah juga dipangkas bagi memudahkan potongan buah tandan. Pengekalan pelepah berfungsi (daun hijau) amat penting untuk meraih hasil lumayan. Kajian di Malaysia Barat mendapati pangkasan pelepah sehingga pelepah di atas pokok kurang daripada 40 batang menyebabkan hasil menurun (diagram 1). Diagram 1 juga menunjukkan 40 pelepah di atas pokok memberi hasil 25 tan/ha tetapi apabila bilangan pelepah menurun ke aras 32 batang, hasil akan menurun ke 22.5 tan/ha selanjutnya ke aras 19 tan/ha apabila bilangan pelepah dikurangkan lagi kepada 24 batang.

Dalam satu kajian lain, tanaman sawit berumur 8 – 12 tahun yang telah ditanam di tanah kurang subur, pangkasan pelepah yang dijalankan setiap 6 minggu sehingga tinggal kurang daripada 32 batang telah menyebabkan hasil menurun dengan ketara (diagram 2). Menurut diagram 2 yang datanya dikumpul oleh R.H.V Corley selama purata 4 tahun serta C.W.S Hartley selama purata 2 tahun sama – sama menunjukkan keputusan sepadan iaitu hasil sawit menurun dari 25 tan/ha ke aras 20 tan/ha apabila bilangan pelepah di atas pokok dipangkas daripada 32 batang kepada 24 batang. Pangkasan selanjutnya sehingga tinggal 16 batang pelepah menurunkan lagi hasil ke tahap 13 tan/ha.

Kesimpulan daripada diagram 1 dan 2 sama – sama menyatakan kepentingan mengekalkan sekurang – kurangnya 32 batang pelepah bagi pokok matang. Pengekalan pelepah optimum ialah 40 batang pelepah untuk pokok berumur 10 tahun selepas ditanam. Ini adalah pengurusan kanopi pokok terbaik untuk meraih hasil optimum. Dengan mengekalkan jumlah pelepah ini bermakna indeks keluasan daun juga berada dalam keadaan paling optimum.


Walaupun ada formula boleh digunakan untuk mengira bilangan pelepah yang perlu dikekalkan pada pokok berdasarkan kepadatan dan umur tanaman, tetapi cara kiraan kelihatan sedikit komplikated dan tentu bukan minat penanam. Justeru itu, petua asas yang boleh digunakan ialah semua daun hijau di atas pokok sawit belum matang hendaklah dikekalkan. Walaupun amalan ini membangkitkan kerumitan pembajaan atau merumput, tetapi ini adalah amalan yang disyorkan. Pangkasan sanitasi (sanitation pruning) boleh dijalankan untuk mengemaskan keadaan tersebut apabila buah tandan mula dikutip nanti. Bagi pokok berumur 8 tahun dan ke bawah, dua pelepah di bawah setiap buah tandan hendaklah dikekalkan manakala bagi pokok berumur 8 tahun ke atas, bolehlah mengekal satu pelepah di bawah setiap buah tandan.

4. Serangan Perosak Dan Penyakit : Menurut W. J. Wood dan rakan – rakan (1973), kehilangan daun muda pada pokok memberi memberi kesan penurunan hasil yang lebih teruk jika dibandingkan dengan kehilangan daun lama. Oleh itu, kawalan perosak dan penyakit yang boleh menyebabkan kehilangan daun hendaklah diutamakan. Penjagaan daun pokok juga salah satu komponen penting dalam pengurusan kanopi pokok.

5. Penyingkiran Buah Tandan Awalan (Disbudding) : Buah tandan yang tumbuh pada pokok semasa berumur 12 – 18 bulan selepas ditanam hendaklah disingkirkan ketika bersaiz 50% supaya membolehkan karbohidrat pokok disalurkan untuk pertumbuhan vegetatif lain seperti penghasilan daun yang lebih banyak, penjanaan batang pokok yang lebih besar serta pengembangan sistem akar yang lebih banyak. Amalan penyingkiran buah tandan awalan juga memberi manfaat dalam pembentukan kanopi pokok dengan lebih baik.

6. Pembajaan : Amalan pembajaan adalah penting untuk memupuk pengeluaran daun baru dan pembentukan kanopi pokok. Untuk mencapai matlamat ini, baja kalium adalah wajib. Di samping itu, nitrogen akan memupuk tumbesaran pokok sawit di peringkat awal serta pengeluaran hasil awalan manakala fosforus berbantu dalam pembentukan batang pokok yang sihat serta saiz pelepah yang normal. Dengan kata lain, pengurusan kanopi juga amat bergantung pada amalan pembajaan. Pembajaan jika dijalankan secara tetap dan mencukupi maka tumbesaran dan kanopi pokok akan berkembang secara optimum.

Satu kajian di tanah gunung berapi di Papua New Guinea menunjukkan pokok sawit pada kepadatan 118 pokok/ha telah memberi hasil lebih tin selepas dibajakan manakala bagi pokok yang ditanam 186 pokok/ha, pembajaan tidak memberi kesan ke atas pengeluaran hasil. Ini kerana saingan telah wujud di antara pokok sehingga baja telah digunakan oleh pokok untuk tujuan tumbesaran dan bukannya penjanaan hasil.

 

Sumber maklumat :

Helmut von Uexkull, Ian E. Henson and Thomas Fairhurst, “Canopy Management To Optimize Yield” in Oil Palm – Management For Large and Sustainable Yields, Thomas Fairhurst and Rolf Hardter, Editors, PPI, PPIC and IPI, 2003.

Hantar blog ini kepada :