Teknologi fertigasi sudah semakin popular di arena penanaman khususnya sayur-sayuran, buah-buahan, bunga-bungaan dan herba. Teknologi ini juga dibahagikan kepada yang berasaskan tanah dan tanpa tanah. Kebiasaan fertigasi tanpa tanah mengenakan kos pembangunan yang lebih tinggi daripada yang bermediakan tanah walaupun dengan cara tanpa tanah serangan penyakit daripada tanah dapat diminimumkan. Bagi penanam yang menghadapi batasan kos, maka fertigasi berasaskan tanah boleh dipilih. Fertigasi ini juga mendatangkan kesan lebih baik jika dibandingkan penanaman konvensional iaitu cara menanam tanpa menggunakan sistem fertigasi. Menurut sumber, hasil timun sepokok di bawah fertigasi berasaskan tanah disasarkan pada 4 – 6kg manakala kaedah konvensional hanya 1.2kg per pokok. Daripada sini jelas kelihatan perbezaannya adalah ketara. Di bawah ini disampaikan teknologi fertigasi berasaskan tanah dalam penanaman timun.
Hasil tuaian pertama bagi timun adalah sekitar 3 minggu selepas mengubah anak benih ke batas. Kutipan hasil boleh dilakukan selama 4 – 6 minggu daripada tempoh kutipan hasil pertama. Sebagai permulaan, kutipan hasil dijalankan pada setiap 3 hari. Semasa di puncak hasil, kutipan dijalankan pada setiap hari. Untuk mendapat pulangan optimum, setiap pokok timun di bawah fertigasi berasaskan tanah hendaklah mencapai 4-6kg sepanjang proses kutipan hasil. Kutipan hasil umumnya dijalankan oleh kontrak buruh pada kadar RM0.20/kg.
Selepas tuaian tamat, pokok timun dibiarkan kering di jaring sokongan dengan memotong bahagian pangkal pokok. Batang serta daun kemudian dicabut dan dibuang. Ladang dibersihkan serta dikosongkan selama 2 minggu sebelum aktiviti penyemaian biji benih dilakukan semula. Ini bertujuan menghapuskan penyakit yang ada.
Penanaman timun kebiasaan dijalankan dengan membina batas berukuran 0.5 m lebar dan 20 – 30 cm tinggi. Jarak di antara batas seperti disyorkan ialah 60 cm. Begitu juga jarak tanaman adalah 60 cm disusun secara sebaris bagi memudahkan pengurusan tanaman. Dua minggu sebelum mengubah anak benih ke batas, pengapuran dijalankan. Jika tanah adalah gambut, maka 3 – 7.5 tan/ha kadar pengapuran diberikan, tanah bris 13 tan/ha dan 3 – 5 tan/ha bagi tanah mineral. Tinja ayam yang sudah diproses wajib ditaburkan sebagai baja asas dengan kadar 1 tan/ha bagi tanah gambut, 10 tan/ha bagi tanah bris dan 5 tan/ha bagi tanah mineral. Baja asas ini boleh diberikan seminggu sebelum penanaman dimulakan.
Sistem fertigasi berasaskan tanah memerlukan satu set peralatan yang lengkap seperti tangki air baja 600 gelen, pam air berkuasa 2.5 hp, penapis, injap dan paip poli serta pita penitis yang berfungsi menghantar larutan nutrien ke setiap tanaman. Pita penitis diletakkan di atas batas dengan setiap lubang menghadapi setiap pokok bagi penyaliran nutrien. Batas kemudian disungkupi dengan plastik UV bagi mengelak rumpai tumbuh pada batas. Pita penitis ini juga berfungsi untuk menyampaikan air kepada setiap pokok. Sistem fertigasi ini mesti siap dipasang sebelum anak benih diubah ke batas. Sistem ini juga boleh diautomatikkan dengan memasang pengukur masa.
Struktur penyokong tanaman dengan menggunakan kayu pancang, dawai dan jaring nylon kemudian dibina pada ketinggian 6 – 8 kaki bagi membolehkan tanaman timun memanjat. Cara ini kelihatan lebih murah berbanding struktur para yang menggunakan tali rafia. Melalui struktur penyokong ini berat tanaman khususnya semasa pembuahan dapat ditampung daripada tumbang dan mematahkan pucuk tanaman yang mendatangkan kerugian hasil.
Varieti timun 747 atau Symphony, 288 dan Armony boleh dipilih sebagai bahan tanaman. Kesemua varieti ini tahap penyakit dan memberi hasil yang tinggi jika amalan kultur adalah baik. Sebagai permulaan, biji benih perlu disemai di dalam dulang dengan menggunakan peat moss sebagai media tanaman. Biji benih akan bercambah dalam masa 2 – 3 hari dan kemudian dialihkan ke dalam rumah semaian. Apabila anak benih berumur 7 – 10 hari, ia bolehlah dipindah tanam ke ladang. Demi mengelakkan kejutan pindah tanam khususnya terkena cahaya matahari yang terik, disyorkan kerja pindah tanam dijalankan pada waktu petang jam 5 dan ke atas. Teknik menanam biji benih terus ke batas tidaklah disyorkan kerana peratusan cambah mungkin rendah akibat cuaca tidak menentu dan juga serangan perosak
serangga.
Larutan nutrien disediakan mengikut kaedah standard. Tanaman timun memerlukan kepekatan tertentu dalam beberapa peringkat tumbesaran. Kepekatan ini boleh dipantau menggunakan meter konduktiviti elektrik (EC) Penentuan EC mesti dilakukan setiap kali bancuhan dibuat atau apabila pertukaran EC diperlukan sekurang-kurangnya sekali seminggu. Tahap kepekatan yang diperlukan oleh kebanyakan tanaman di peringkat tumbesaran ialah EC 1.5 – 4.0. Bagi tanaman timun, EC yang disyorkan ialah 1.8 – 2.4.
Selepas selesai dipindahkan ke batas, anak benih disiram dengan air tanpa baja. Selepas 24 jam, anak benih diberikan larutan baja dengan kepekatan 1.8 sehingga berumur 3 minggu. Selepas 3 minggu, kepekatan dinaikkan menjadi 2.0 – 2.6 qS sehingga tamat penanaman. Baja foliar yang mengandungi kalium yang tinggi boleh disembur pada tanaman timun bagi menggalakkan aruhan bunga dan meningkatkan hasil. Keperluan air untuk tanaman timun di peringkat awal ialah 0.6 – 1 liter/hari/pokok sehingga tempoh 3 minggu pertama. Di peringkat pembuahan, keperluan air meningkat kepada 1.5 – 3 liter/hari/pokok.
Ulat ratus dan ulat pengorek buah adalah antara perosak serangga utama. Penyakit pula adalah kulat kulapuk downi yang boleh menjejaskan hasil timun sehingga 50%. Oleh itu penanam hendaklah was-was terhadap sebarang gejala serangan serta mengambil langkah rawatan segera supaya tempoh pembuahan dan kutipan hasil dapat dilestarikan.
Hasil tanaman timun yang diusahakan dengan fertigasi tanpa tanah pula menggunakan polibeg sebagai media tanaman. Dengan kata lain, sistem akar tanaman tidak menyentuhi tanah justeru boleh meminimumkan jangkitan penyakit tanah. Media untuk tanamaan dalam polibeg ialah 100% coco peat atau habuk sabut kelapa. Anggaran hasil yang diperlukan untuk sistem fertigasi tanpa tanah ialah 4 – 8kg/pokok supaya penanam boleh mendapat pulangan modal dalam masa yang singkat. Dari segi pengeluaran hasil, fertigasi berasaskan tanah dan yang tidak berasaskan tanah kelihatan tidak jauh berbeza tetapi dari segi praktiknya fertigasi tidak bertanah mungkin kurang risiko dari segi jangkitan penyakit berbanding fertigasi berasaskan tanah.
Sumber maklumat :
1. Yaseer Suhaimi Mohd, “Penanaman Timun Secara Fertigasi Berasaskan Tanah”, Buletin Teknologi MARDI Bil. 18 (2020): 99-104.
2. Yaseer Suhaimi Mohd, “Penanaman Timun Secara Fertigasi”, Buletin Teknologi MARDI Bil. 18 (2020) : 91-97.
Kimagri Corporation Sdn Bhd
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com