You are currently viewing Pokok Tin Tanaman Kuno Diusahakan Di Zaman Moden

Pokok Tin Tanaman Kuno Diusahakan Di Zaman Moden

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Palm King Marketing Sdn Bhd
No 40, Jalan Hasta 1, Kawasan Perusahaan Batu 12, 42500 Telok Panglima Garang, Selangor, Malaysia
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd

Website: www.klspalmking.com

Pokok Tin (Ficus carica, L) berasal dari negara – negara Asia Barat dan juga negara berikulim Mediterranean. Pernah dilaporkan tanaman ini sudah ditanami oleh manusia sejak 10,000 tahun lalu di luar gua mereka. Tanaman ini juga termaktub dalam kitab Al – Quran dan merupakan sejenis tanaman kuno. Buah Tin juga didagangkan di pasaran antarabangsa. la sangat berkhasiat dan mengandungi pelbagai kesan positif terhadap penyakit kronik. Pada tahun 2017, jumlah dagangan buah ini di dunia ialah 1.15 juta tan yang mana 26% daripadanya disumbangkan oleh Turki dan 54% oleh Mesir dan Morocco.

Umumnya pokok Tin akan berbuah selepas 1 – 2 tahun ditanam. Musim pembuahannya ialah 1 – 2 kali setahun. Tempoh pembuahannya berlanjutan di antara 120 – 150 hari. Musim besar bagi setiap pokok matang boleh menghasilkan buah di antara 180 – 360 biji, namun untuk mendapatkan hasil ini, pembajaan dengan baja kompos adalah syarat penting.

Buah Tin yang sudah masak boleh dimakan secara segar dan juga boleh diproses diproses menjadi menjadi pes buah-buahan malah diproses menjadi arak. Oleh kerana buahnya mempunyai fungsi perubatan, maka kegunaannya agak meluas. Buah Tin yang sudah masak tidak tahan disimpan tetapi untuk buah yang sudah dikeringkan di bawah pancaran matahari selama 4 – 5 hari atau dalam mesin pemanas selama 10 – 12 jam, maka buahnya boleh disimpan selama 6 – 8 bulan.

Salah satu sifat yang unik bagi buah Tin ialah ia mesti dipetik sewaktu masak di atas pokok atau membiarnya jatuh sendiri ke tanah apabila masak. Buah jika dipetik semasa mentah tidak akan masak selepas itu. Memandangkan sifatnya yang kurang tahan disimpan, ini satu kelemahan bagi buah Tin untuk dijual di warung buah-buahan. Namnu begitu, ia menyerlahkan potensi yang cerah jika diproses menjadi bahan buatan di sektor hiliran.

Pokok Tin kini boleh ditanam di negara tropika seperti Malaysia. Namun begitu ia masih bergantung kepada pemilihan varieti yang sesuai. Di daerah Batu Pahat, Johor, sebuah kebun pokok Tin telah diusahakan dengan jayanya. Kebun tersebut menanam pokok Tin dalam media bungkusan yang terdiri daripada campuran tanah dan dilengkapi dengan struktur pelindung hujan serta dipasang jaring kalis serangga. Dengan cara ini, serangan serangga dapat diminimumkan. Hayat ekonomi pokok Tin sangat panjang iaitu 30 – 50 tahun selepas ditanam. Malah ada laporan yang mengatakan kewibawaan pokok ini hidup selama 200 tahun.

Memandangkan pokok Tin sejenis tanaman yang mencapai kematangan cepat, berhasil tinggi, dapat ditanam dengan rapat sehingga 2,666 pokok/ha (namun jarak tanaman 3m x 4m yang biasa digunakan untuk memuatkan 833 pokok/ha), permintaan yang tinggi, kadar serangan perosak yang rendah, keperluan agronomi yang sederhana serta boleh dipangkas, tanaman ini justeru dipercayai berpotensi komersial di Malaysia. Buah Tin yang sudah dikeringkan membuka selera orang ramai kerana ia manis, lembik justeru menjadi kegemaran pengguna. la sejenis tumbuhan yang sesuai ditanami di laman rumah (dalam pasu atau media bungkusan) atau diusahakan secara komersial.

Pokok Tin disifatkan sebagai sejenis tanaman yang mudah ditanam. Ia memerlukan pancaran cahaya matahari dan kelembapan udara yang mencukupi. Selain itu ia juga tahan terhadap tanah kurang subur dan musim kering. Selagi tanah untuk ditanami pokok Tin adalah lom dan bersaliran baik serta tidak mudah bertakung air, maka tanah itulah dianggap sesuai untuk tanaman ini. Pembiakan pokok Tin adalah melalui tut, keratan batang atau cantuman baji.

Pembajaan adalah aspek yang penting bagi pokok Tin terutama untuk mendapatkan buah yang besar dan berhasil tinggi. Sistem akar pokok Tin adalah cetek dan terdiri daripada banyak akar sisi dan rerambut yang berada hanya sedalam 15 – 50cm daripada permukaan tanah. Pokoknya juga mengeluarkan sulur di pangkal pokok dan sulur ini dikatakan tidak membentuk anak pokok yang setanding dengan anak pokok baru. Akarnya akan menjalar jauh daripada pangkal pokok. Oleh yang demikian, akar pokok Tin juga dianggap bersifat ‘menyerang’ (invasive) mengikut varieti yang ditanam. Untuk menangani masalah ini, penanaman pokok Tin disarankan dijalankan di kawasan lapang, di pinggir kebun atau berjauhan sedikit daripada rumah atau ditanam dalam pasu. Bukan semua varieti Tin mempunyai akar yang menjalar jauh, ia bergantung kepada saiz varieti Tin sama ada besar atau kecil. Umpamanya varieti Celeste atau Malta mempunyai sistem akar yang sederhana manakala varieti Brown Turkey memperlihatkan akar yang menjalar jauh.

Selain memerlukan baja NPK dengan kadar sederhana, keperluan terhadap kalsium adalah tinggi. Pembajaan biasa dijalankan selepas pangkasan pokok dengan cara menabur dalam bulatan merumput. Pembajaan berlebihan ke atas tanaman ini akan menyebabkan buah gugur tiba – tiba dan keadaan ini akan memerlukan masa yang panjang sehingga 3 – 4 tahun untuk pulih daripada pembajaan berlebihan itu. Untuk menjamin buahnya kekal di atas pokok, penaburan baja kompos pada dos 20 – 40kg di sekitar setiap pokok matang atau 10 – 20kg untuk pokok muda dengan sungkupan biojisim diberikan selalu dianggap sebagai satu kaedah pembajaan yang mamadai. Sebaliknya pembajaan kimia hendaklah diurus baik supaya tidak berlebihan.

Pokok Tin akan menghasilkan sejenis getah semasa pangkasan atau pemetikan buah dijalankan. Oleh itu disarankan supaya pekerja memakai sarung tangan semasa menjalankan tugas tersebut untuk mengelakkan terkena getah dan menyebabkan kesan sensitif kulit.

Keperluan air oleh pokok Tin juga tidak tinggi. Taburan hujan tahunan lebih kurang 750mm sudah cukup untuk menghasilkan pokok yang sihat. Namun jika hujan lebat menimpa atau pengairan berlebihan diberikan semasa pembesaran atau buah sedang masak, kejadian buah pecah akan berlaku. Keadaan ini dianggap sama dengan buah delima yang juga menghadapi kejadian sedemikian.

Pangkasan pokok sudah menjadi amalan penting dalam memperkasakan tanaman buah-buahan di zaman moden ini. Bersama pembajaan ia mampu menghasilkan pembuahan yang diidam – idamkan. Di Jepun, pokok Tin dikawal ketinggian sehingga 2 meter sahaja untuk memudahkan pemetikan buah. Dahan pokok yang kurang daripada 16 inci dari permukaan tanah juga dipangkas. Kutipan hasil dijalankan apabila buah sudah matang dengan kekerapan 3 hari sekali kemudian meningkat kepada setiap hari di musim besar. Umumnya seorang pekerja dapat memetik 100 biji buah dalam masa satu jam.

Buah Tin mengalami pendebungaan melalui sejenis tebuan kecil yang dikenali Blastophga grosorum yang memasuki ke dalam buah Tin melalui lubang di pangkal buah. Tebuan ini adalah agen pendebunga yang amat sempurna kepada pokok Tin kerana lubang tersebut seolah – olah tercipta untuk kemasukan tebuan ini. Pergerakan tebuan betina di dalam buah semasa menetas telur pada masa yang sama juga melekatkan debunga yang dibawa daripada bunga lain.

Pendek kata, pokok Tin merupakan sejenis tanaman baru untuk diusahakan di Malaysia. Walaupun tanaman ini bukan berasal daripada kepulauan Melayu atau Asia Tenggara, ia kelihatan masih berupaya untuk diusahakan di kawasan tropika dengan syarat mengenali dahulu tabiat baka – baka yang dipilih untuk ditanami.

Bahan rujukan :

Jenny Hoo, 2019

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Hextar Fert Sdn. Bhd.
No. 64, Jalan Bayu Laut 4/KS09, Kota Bayuemas, 41200 Klang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336

Website: www.hextar.com

Sila kongsi kepada kawan :