Pada 27 Nov 2024 lalu, Timbalan Menteri dari Kementerian Perladangan Dan Komoditi Malaysia YB Dato’ Chan Foong Hin telah membuat lawatan kerja ke nurseri TK Tani Enterprise Sdn Bhd yang terletak di Asahan, Melaka. Ini kali pertama YB Menjejak kaki ke nurseri sawit sejak menjawat jawatan Timbalan Menteri di Kementerian itu satu tahun lalu.
Mata YB terbeliak melihat aturan yang rapi di tapak semaian TK Tani Enterprise Sdn Bhd itu. Segalanya mengikut penuh prosedur kultur anak benih sawit berkualiti tinggi yang ditetapkan oleh MPOB. YB diperkenalkan dari peringkat pre-nursery ke peringkat main nursery oleh pemunya nurseri TK Tani Enterprise Sdn Bhd merangkap Timbalan Presiden MOPNA Enik Tan Kim Tun. Turut hadir ialah Pesiden MOPNA Tuan Haji Mohd Damanhuri Bin Mohd Jamli, Setiausaha MOPNA Tuan Haji Nor Zahari Bin Zakaria serta pasukan agronomi dari FGV Agri Services Sdn Bhd dan wakil-wakil berkenaan dari sektor sawit.
Dalam proses pengenalan itu, dapat dilihat YB sangat berminat untuk memahami segala susun atur di nurseri sawit tersebut. Taklimat pre-nursery ke peringkat main nursery kepada YB disampaikan oleh Encik Tan, juga sekali gus mengukir gambaran benar kepada penanam sawit bahawa proses pembesaran anak benih sawit di nurseri memang dijalankan tanpa sebarang kompromi dari segi kualiti.
Umpamanya, waktu biji benih sawit dari pengeluar berlesen disemai ke petak tray perlu didahului dengan penaburan 5g baja rembesan terkawal. Biji benih akan bercambah dan apabila mencapai umur 3 bulan, ia akan dipindah tanam ke polibeg besar sehingga anak-anak benih mencapai peringkat umur yang sesuai untuk dihantar ke tangan pelanggannya. Merumput, membaja dan kawalan penyakit & perosak adalah amalan wajib untuk mendidik anak-anak benih dalam proses pembesaran tersebut.
Sebagai wakil dari MOPNA, Encik Tan dan Tuan Haji Damanhuri turut menyampaikan masalah yang dihadapi oleh MOPNA, antaranya ialah masalah tenaga buruh yang masih tidak mencukupi untuk ahli-ahli MOPNA. Mereka berharap Kementerian dapat mempertimbangkan supaya memenuhi kuota tenaga buruh yang dimohon oleh MOPNA supaya diagihkan kepada ahli-ahli MOPNA. YB telah menyuarakan Kementeriannya akan membantu MOPNA dalam perkara ini.
Program ini diakhiri dengan jamuan ringan serta sesi gambar bersama.