Pada 28 Oktober 2024 lalu, FGV telah melancarkan satu program “Pengenalan & Prestasi Penanaman Nanas MD2 Kultur Tisu (Anamanis) bertempat di FGVPM Tawai 03, Gerik, Perak. Jelasnya ini adalah program berkenaan nanas MD2 kultur tisu yang telah lama disebut-sebutkan di pasaran tetapi belum menjadi kenyataan. Berikutan pengenalan yang dianjurkan oleh FGV ini, ia menandakan satu pencapaian baru dan penuh bermakna khususnya terhadap pengusaha nanas di Malaysia.
Seperti sedia maklum, salah satu cabaran utama dalam sektor penanaman nanas MD2 dalam negara ialah kekurangan bekalan bahan tanaman di pasaran. Secara tradisi, sulur dari pokok nanas MD2 digunakan sebagai bahan tanaman. Memandangkan permintaan terhadap sulur semakin besar berikutan aspirasi menanam nanas MD2 semakin rancak, pengeluaran sulur yang sedia ada tidak mampu lagi menampung permintaan yang meningkat ini. Pengembangan tanaman nanas MD2 dalam negara hanya akan menjadi kenyataan jika bekalan bahan tanamannya dapat ditingkatkan ke paras optimum. Terdapat dua cara untuk memperolehi bahan tanaman ini, iaitu melalui perolehan sulur ataupun menklon anak benih nanas MD2 secara kultur tisu.
Di antara kelebihannya bahan tanaman kultur tisu ialah boleh dihasilkan dalam kuantiti yang banyak dalam tempoh masa tertentu, dan sekaligus akan menyelesaikan masalah bekalannya di pasaran. Kejayaan yang telah diperolehi oleh FGV ini dijangka akan memperkasakan industri penanaman nanas MD2 dalam negara. Penanaman berskala komersial telah pun dijalankan oleh FGV. Berikut adalah catatan mengenai pembiakbakaan nanas MD2 kultur tisu oleh FGV serta penciriannya.
Penyelidikan kultur tisu tumbuhan di FGV bermula pada tahun 1983, dengan fokus utama pada penghasilan benih klon kelapa sawit, atau lebih dikenali sebagai ramet. Sejak tahun 2010, FGV telah mencapai kejayaan besar dengan penghasilan ramet kelapa sawit sebanyak 1 juta setahun. Inovasi ini adalah hasil daripada penambahbaikan berterusan dalam kajian teknologi kultur tisu tumbuhan, yang kini juga telah diperluaskan kepada penghasilan benih tanaman lain, termasuk nanas Anamanis MD2.
Kaedah Pemilihan dan Penghasilan
FGV memulakan pembangunan kaedah kultur tisu nanas pada pertengahan tahun 2019. Dalam proses ini, pemilihan pokok induk nanas MD2 dilakukan dengan teliti, berdasarkan beberapa parameter yang telah ditetapkan. Pokok induk yang dipilih mempunyai hasil yang tinggi, terhindar daripada serangan perosak dan penyakit, serta mematuhi ciri-ciri yang ditetapkan dalam Panduan Pengesahan Anak Benih Klon Varieti Nanas oleh Jabatan Pertanian 2014.
Proses kultur tisu untuk penghasilan ramet dimulakan dengan pengambilan sel daun dari apeks pucuk, samada dari jambul, sulur angin, dan sulur tanah. Ramet Anamanis MD2 yang dihasilkan daripada makmal kemudian dihantar untuk disemai dalam tray semaian selama kira-kira enam bulan. Sebelum anak benih ini dihantar ke ladang, satu proses penakaian dilakukan untuk memastikan hanya anak benih yang memenuhi ciri-ciri nanas MD2 dikekalkan.
Ciri-ciri dan Keistimewaan Nanas Anamanis MD2
Kajian penanaman di lapangan menunjukkan bahawa nanas Anamanis MD2 mempunyai ciri buah dan genetik yang sama dengan nanas MD2 yang ditanam dari benih sulur. Ini telah dibuktikan melalui pemprofilan DNA menggunakan penanda SSR khusus untuk nanas MD2, dengan platform yang disediakan oleh FGV. Hasil tuaian menunjukkan bahawa buah nanas Anamanis MD2 lebih baik berbanding nanas MD2 yang ditanam dari sulur, terutamanya dari segi berat dan kemanisan buah.
Selain itu, pokok nanas Anamanis MD2 menunjukkan ketahanan terhadap kawasan kering, di mana daun pokok tetap hijau semasa proses penuaian. Satu lagi keistimewaan adalah bahawa pokok ini mengeluarkan anak benih sulur lebih awal, membolehkan petani untuk menuai sulur bersekali dengan penuaian buah. Keistimewaan ini memberikan peluang kepada petani untuk memperoleh pendapatan yang lebih tinggi semasa penuaian, melalui penjualan hasil buah dan sulur.
Kesimpulan
Inovasi dalam kultur tisu yang dijalankan oleh FGV bukan sahaja meningkatkan kualiti benih, tetapi juga menawarkan pelbagai manfaat kepada pengusaha. Dengan penghasilan nanas Anamanis MD2 yang berkualiti tinggi, diharapkan dapat meningkatkan pendapatan pengusaha nanas MD2 dan seterusnya menyokong industri pertanian negara. FGV terus komited untuk meneroka teknologi pertanian yang lebih maju demi meningkatkan hasil dan keberkesanan dalam sektor pertanian.