You are currently viewing Permasalahan Menanam Durian Dengan Kaedah Menimbun Tanah Di Pangkal Pokok

Permasalahan Menanam Durian Dengan Kaedah Menimbun Tanah Di Pangkal Pokok

  • Post category:Blog

Beberapa Kaedah penanaman durian telah diamalkan oleh penanam di Malaysia. Kaedah yang digunakan adalah bergantung kepada jenis tanah, topografi tanah malah keadaan cuaca setempat. Satu kaedah penanaman yang agak popular diterapkan oleh mereka termasuklah menimbun tanah bagaikan sebuah bukit mini di pangkal anak pokok. Saiz timbunan tanah itu mungkin berjejari 1 meter dari pangkal pokok. Ada pihak membesarkan saiz tersebut dan ada pula mengecilkan saiz itu bergantung kepada kehendak masing-masing.

Satu lawatan kami ke kebun durian pada bulan lalu serta pendengaran kes mengenai pengalaman menanam dengan kaedah ini mendapati pertimbangan selanjutnya perlu dibuat ke atas pengamalannya ekoran anak pokok tidak membesar seperti biasa. Umpamanya, penanaman dengan kaedah ini hanya mendapat saiz pokok lebih kecil secara ketara, atau dengan lebih tepat, anak pokok berumur 2 tahun hanya menampil saiz pokok bagaikan setahun sahaja. Perkara ini menimbulkan kemusykilan. Apakah yang terjadi kepada kaedah penanaman ini ?

Menurut pandangan mereka yang terlibat dengan pengamalan cara ini, tanah timbunan mudah kering adalah antara faktornya. Keadaan cuaca di Malaysia sering panas ekoran pancaran matahari terik dan menyebabkan timbunan tanah itu juga sering dalam keadaan kering. Keadaan ini memberi pengaruh negatif terhadap sistem akar anak pokok.

Seperti sedia maklum, sistem akar anak pokok belum berkembang dengan sempurna, kebanyakan akar masih berada dalam tanah timbunan itu. Justeru itu cuaca yang panas dengan senang sahaja mengakibatkan akar pokok menghadapi kekurangan air. Keadaan ini dipercayai adalah faktor penyebab kepada tumbesarannya yang kecil malah terbantut rasanya.

Kini banyak penanam telah memasang kelengkapan air di tepi anak pokok durian. Namun mengikut maklum balas daripada mereka, tumbesaran anak pokok tetap kurang menggalakkan. Perkara ini menambah rasa musykil di kalangan kami kerana dengan adanya sistem pengairan biar itu sisten renjisan atau titisan, kenapa tumbesaran anak pokok masih kurang memuaskan?

Renungan selanjutnya mengenal hal ini didapati bentuk timbunan tanah itu yang melandai ke tepi telah mempercepatkan kehilangan air kerana air cepat mengalir turun ke sekitaran sebelum sempat diambil oleh sistem akar. Tambahan, tanah timbunan itu kebiasaan padat dan keras justeru menghalang air meresap masuk ke dalam tanah dengan optimum.

Keadaan ini memberi satu isyarat penting iaitu air sangat penting kepada anak pokok atau pokok muda di peringkat tumbesaran vegetatif. Akar pokok wajib mendapat air secukupnya untuk berkembang dan membesar dengan optimum. Jika masalah air wujud, ia akan menjejaskan tumbesaran. Isyarat kedua ialah anak pokok hendaklah ditanam ke dalam permukaan tanah dan bukan sekadar ditimbun dengan tanah di atas permukaan tanah. Jika ditanam dalam timbunan tanah, pengembangan akar akan terbatas dalam lingkungan timbunan tanah itu, keadaan ini membawa potensi penjejasan tumbesaran malahan dalam suasana cuaca yang buruk, kadar hidup anak pokok mungkin juga terjejas, iaitu kematian anak pokok mungkin lebih tinggi kadarnya.

Hanya apabila sistem akar diberi peluang mengembang di bawah permukaan tanah, pokoknya baru dapat memperluaskan potensi tumbesaran yakni dengan erti kata lain, sistem akar justeru itu dapat mengembang sesuka hati bergantung kepada kedapatan nutrien dan air yang cukup. Inilah pemahaman yang dapat dikongsikan kepada penanam.

Pada hakikat, kaedah menanam durian dengan timbunan tanah harus dikaitkan dengan penanganan masalah jangkitan penyakit kanker batang yang disebabkan oleh kulat P. palmivora. Di Thailand, kaedah ini lumrah digunakan sebagai salah satu penyelesaian terhadap jangkitan penyakit tersebut. Kulat P. palmivora amnya menyerang pangkal pokok durian yang berada dalam suasana sering basah. Justeru itu, dengan menimbun tanah di bahagian pangkal pokok, keadaan basah-basah selalu dapat diminimumkan.

Kaedah menimbun tanah untuk menanam durian walaupun menampil beberapa kelemahan, tetapi ia masih dapat diamalkan dengan mengingatkan dua perkara. Yang pertama, tanah timbunan tersebut harus untuk tujuan menjaga pangkal pokok supaya selalu kering. Inilah dipercayai adalah fungsi utama kaedah ini. Peringatan kedua ialah timbunan tanah itu hendaklah dibentuk pada saiz kecil sahaja iaitu setakat cukup untuk mengeringkan pangkal pokok. Dalam anggaran, ketinggian tanah timbunan pada 1/2 kaki dirasakan sudah memadai. Peringatan ketiga ialah sesudah timbunan tanah itu dibuat, tanah di sekeliling pangkal pokok itu harus merata dan bukannya melandai, hal ini akan meningkatkan pemeliharaan kelembapan air untuk pengambilan akar secara lebih optimum.

Dalam perkara ini, pengalaman daripada seorang penanam durian yang mengamalkan kaedah timbunan tanah telah membuktikan kesan positif selepas mengubahsuaikan cara ini kerana selepas pengubahsuaian, anak pokoknya mengalami tumbesaran yang ketara. Sebelumnya beliau mengikut kaedah menimbun tanah secara landai tetapi akhirnya tumbesaran pokok sudah terbantut.

Bagaimanapun, ini hanya pengalaman dan pandangan peribadi kami dan untuk tujuan rujukan am semata-mata. Dipercayai ada pihak juga telah berjaya menanam durian dengan kaedah ini melalui amalan agronomi yang lebih tepat, bersesuaian dengan keadaan agro-iklim dan suasana penanaman setempat.

Sila kongsi kepada kawan :