Applied Agricultural Resources Sdn. Bhd.
Tel : 03-61517924/25/26/27/28
Fax : 03-61517081
E-mail: sales@aarsb.com.my
Website: www.aarsb.com.my
Apabila anak pokok sawit dipindah tanam ke ladang, gejala kejutan pindah tanam (transplanting shock) sering berlaku. Kadar kejutan yang dialami boleh sekadar minimum iaitu tidak kelihatan kesan kejutan yang ketara, sehingga kejutan serius yang menyebabkan kerosakan daun dan pelepah malah kematian anak benih di ladang. Pada hakikat, kadar kejutan yang akan dihadapi itu adalah bergantung pada teknik kulturan di tapak semaian, cara pengangkutan anak benih ke ladang untuk dipindah tanam serta kepantasan anak pokok itu dibangunkan di ladang.
Dalam aspek ini, keadaan tanah amat penting kerana kelembapan tanah yang tidak mencukupi akan menyebabkan kematian anak pokok tersebut. Anak pokok akan menghadapi kejutan pindah tanam yang kritikal sekiranya sistem akarnya terdedah serta tiada gumpulan tanah melindungi sistem akar semasa pindah tanam dijalankan. Secara purata, anak pokok berumur 12 – 14 bulan dikira dari peringkat biji benih cambah adalah sesuai untuk dipindah tanam ke ladang. Anak pokok yang lebih besar amnya lebih mudah mengalami kejutan pindah tanam tetapi juga lebih mampu menanggungi kejutan tersebut berbanding anak pokok kecil.
Kesan negatif daripada anak pokok yang mengalami kejutan pindah tanam termasuklah pengeluaran hasil awalan yang lebih rendah. Jika kadar kejutan tersebut adalah serius, anak pokok berkemunginan akan menghadapi kadar serangan perosak dan penyakit yang lebih tinggi kerana daya rintangan yang lebih lemah ekoran kadar tumbesaran berada di bawah paras berpatutan. Gejala kejutan anak pokok amnya dapat dilihat selepas beberapa hari dipindah tanam tetapi gejala tersebut juga boleh berlanjutan selama 2 bulan jika kelembapan tanah masih tidak dipulihbaikkan.
Simptom Kejutan Anak Pokok Sawit
Kejutan yang sederhana amnya dapat dikesan melalui daun muda pokok yang penuh berkembang itu mula layu sehingga menukar ke warna perang kekuningan pada masa lebih kurang hari ke-5 selepas pindah tanam. Pada masa ini, sekiranya tiada daun muda lain yang menukar ke warna yang sama itu, ini menandakan kejutan tersebut berada di tahap itu sahaja tanpa menjadi lebih serius. Daun-daun berkenaan akan menukar ke warna merah keperangan selepas itu dan kemudian merapuh dan berserpih serta jatuh ke atas tanah ekoran tiupan angin dan sebagainya. Tumbesaran anak pokok tidak akan diganggu jika hanya satu atau dua pelepah terjejas akibat kejutan tersebut.
Dalam keadaan kejutan yang serius, keseluruhan daun dan pelepah anak pokok akan layu dan pokok akan mati. Bagaimanapun, selagi pucuk daun di bahagian tengah pokok (central spear) masih hidup dan berwarna hijau, pokok tersebut tetap akan hidup seterusnya walaupun tumbesaran tetap akan terjejas buat beberapa bulan sempena dalam proses pemulihan daripada kejutan tersebut. Sehubungan itu, penanaman anak pokok sawit lanjut usia sering juga mengalami kejutan dengan menunjukkan warna daun berkuningan sehingga beberapa bulan lamanya sebelum memulih. Kesan kejutan juga boleh berlanjutan ke sistem akar yang mana sistem akar anak pokok itu menjadi lemah dan dikoloni oleh kulat. Jangkitan kulat di situ malah akan menjalar di sepanjang akar sehingga ke akar yang berada di bawah pangkal anak pokok. Anak pokok ini amnya akan mati dengan simptom ditunjukkan oleh kelayuan dan kematian daun pucuk (spear leaves) anak pokok itu.
Punca Kejutan
Punca kejutan anak pokok sawit yang dipindah tanam di ladang termasuklah teknik pindah tanam yang tidak munasabah serta juga penyimpanan anak pokok terlalu lama di tapak semaian sehingga gangguan ke atas sistem akarnya berlaku. Bagi anak pokok lanjut usia, jika daun tidak dipangkas sebelum dipindah tanam, ia juga akan membangkitkan gejala kejutan selepas pindah tanam di ladang. Sebarang kerosakan terhadap sistem akar anak pokok tanpa mengira apa jua caranya akan menjejaskan keupayaan pengambilan air oleh akar. Daun muda mudah terjejas pada masa tersebut kerana pembentukan daun masih belum sempurna. Kekurangan air akan menyebabkan daun muda menjadi kekuningan.
Kaedah Pencegahan
1. Mengelak pindah tanam di musim kering, sebaliknya anak pokok hendaklah ditanam di awal musim hujan.
2. Anak pokok ditanam ke dalam lubang tanaman tanpa mewujudkan gangguan ketara terhadap sistem akar dan tanah yang melindungi sistem akar tersebut.
3. Selepas pindah tanam, tanah di permukaan lubang tanaman hendaklah dipadatkan dengan sempurna supaya sistem akar dan tanah sekeliling bersentuhan dengan baik untuk melancarkan penyerapan air oleh sistem akar dan mengurangkan kejutan.
4. Sebulan sebelum anak pokok dipindah tanam, polibag di tapak semaian hendaklah diangkat naik dan diputar setengah pusingan dengan tujuan mematahkan akar yang menusuk masuk ke dalam tanah.
5. Bagi anak pokok yang tingginya termasuk ketinggian polibag tidak melebihi 1.6 meter, Daunnya mungkin tidak perlu dipangkas sebelum dipindah tanam.
6. Sebaliknya anak pokok yang lebih tinggi daripada itu hendaklah dipangkas daunnya sebelum dipindah tanam untuk mengurangkan kehilangan air dalam pokok dan juga untuk meminimumkan kadar kejutan yang akan berlaku. Pangkasan tersebut dijalankan ke atas daun lama di bahagian bawah manakala daun muda di bahagian atas jika dipangkas hendaklah dalam kadar paling minimum. Pangkasan daun berlebihan di peringkat ini akan menganggu tumbesaran anak pokok di ladang
7. Dalam pengangkutan jarak jauh, daun anak pokok yang lebih besar seelok-eloknya diikat untuk meminimumkan kerosakan daun.
Sumber maklumat :
P.D. Turner, Oil Palm Diseases and Disorders, Oxford University Press, 1981, hal. 207-210.
Samudra SMS Sdn Bhd
Tel : 06-556 1086, 012-964 4932
016-663 6198 / 012-3232 055 (Office)
Email : chssb@hotmail.com