All Cosmos Industries Sdn. Bhd.
Tel : +607-2523788
Fax : +607-2512588
E-mail : sales_marketing@allcosmos.com
Website: www.allcosmos.com
Sawah padi dibiar bersemak tanpa diusahakan amat merugikan. Pada kebiasaan, sawah padi mempunyai topografi yang rata dan ini merupakan satu ciri yang baik untuk menjalankan aktiviti penanaman. Namun begitu, sawah sering mempunyai paras air yang tinggi dan ini pula menjadi halangan kepada tanam-tanaman yang peka terhadap situasi sebegini. Melalui kajian yang pernah dijalankan oleh MARDI, sawah terbiar boleh diusahakan dengan tanaman mangga kerana tanaman ini boleh hidup dengan baik pada spektrum tanah yang luas termasuk tanah kurang subur atau tanah berpasir. Malah di kawasan bertakung air atau banjir selama lebih seminggu, tanaman mangga tetap boleh bertahan terhadapnya.
Tanaman mangga memerlukan musim kering selama 1 2 bulan sebagai penggalak pembungaan. Ini termasuk inisiasi bunga, pendebungaan, persenyawaan dan pembentukan butik buah adalah lebih baik dalam musim kering. Perubahan aras air sawah ekoran aktiviti pengeringan air sawah akan merangsang pembungaan tanaman mangga. Walaupun begitu, beberapa pengubahsuaian ke atas tanah tersebut perlu dibuat sebelum tanaman mangga ditanamkan.
Kaedah Penanaman Mangga Pada Tanah Sawah
• Tanam Atas Batas Asal Sawah atau Batas Khas
• Tanam Atas Busut
Penggunaan batas asal sawah berukuran 0.75 x 1.0 X 0.5m walaupun tidak melibatkan pengubahsuaian tanah, namun ia tidak dapat menampung pertumbuhan tanaman mangga dengan baik. Batas seumpama ini terlalu kecil dan justeru itu menyebabkan pertumbuhan terbantut serta menghasilkan kanopi pokok yang kecil. Meskipun begitu, tanaman mangga dengan baka tidak terpilih masih dapat diusahakan tanpa mengambil berat sangat aspek hasilnya. Boleh juga memperolehi pendapatan sampingan dengan cara ini sebagai usaha tambahan dalam aspek guna tanah.
Untuk mendapat kesan yang lebih baik, batas khas boleh dibina mengikut ukuran 3 – 4m (lebar) x 1 – 1.5m (tinggi) dibina dengan menggunakan jentera pengorek. Batas harus dibina tinggi di kawasan yang sentiasa mempunyai aras air yang tinggi. Ketinggian dan kelebaran batas sebenarnya boleh disesuaikan dengan aras air yang ada di kawasan masing-masing. Tanaman seperti betik dan jambu batu boleh diintegrasikan dengan tanaman mangga pada peringkat awal. Parit di antara batas pula boleh digunakan untuk menternak ikan bagi menambahkan pendapatan.
Penanaman mangga atas busut memerlukan pembinaan busut setinggi 0.5 – 0.7m dan bergarispusat 1 – 2m. Saiz busut perlu dibesarkan dari semasa ke semasa mengikut pertumbuhan pokok. Mangga jenis Sala didapati sesuai ditanam pada keadaan tanah yang mempunyai aras air yang tinggi. Mangga jenis Simpang Empat, Harumanis dan Sedaka juga boleh ditanami dengan kaedah ini. Mangga Sala memberi jumlah hasil 12,500 kg pada 3 tahun pertama (1985 – 1987) dengan menunjukkan hasil meningkat dari 1,500 kg (1985) kepada 3,000 kg (1986) dan 8,000 kg pada tahun penghasilan ketiga (1987).
Perbandingan Hasil
Kajian perbandingan antara tanaman mangga atas tanah biasa dengan tanaman mangga atas batas berukuran 3 x 1m tidak menunjukkan perbezaan yang ketara, tetapi tanaman mangga yang diusahakan atas batas mengeluarkan hasil lebih awal, iaitu kira-kira 3 tahun lepas tanam serta satu tahun lebih awal daripada tanaman mangga atas tanah biasa. Keadaan ini menandakan pokok mangga atas batas telah mendapat rangsangan pembungaan dan pembuahan yang lebih baik.
Empat jenis tanaman mangga telah digunakan dalam perbandingan dan didapati 6 tahun lepas tanam, Harumanis dan Melele yang ditanam di tanah dataran masing-masing mencatatkan 96.3 kg/pokok dan 108.3 kg/pokok berbanding dengan hasil 104.4 kg/pokok dan 108.0 kg/pokok bagi tanaman mangga atas batas. Dua jenis mangga lain, iaitu Guri dan Apple juga menunjukkan hasil yang menggalakkan atas batas.
Sumber maklumat :
M. A. Ghani dan rakan-rakan, “Potensi Tanaman Mangga Di Tanah Sawah Terbiar”, Teknologi Buah-Buahan, MARDI, 1989.
Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336