Union Harvest (M) Sdn Bhd
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com
Website : www.unionharvest.com
Baja kalium merupakan nutrien makro terpenting bagi meningkatkan hasil sawit. Justeru itu rumusan baja yang dipilih hendaklah mengandungi komposisi kalium yang tinggi, contohnya baja 12/5/23/3 +TE atau 10/5/24/2 + TE atau yang setimpal boleh digunakan. Melalui aplikasi baja seperti ini, tanaman sawit umumnya akan memberi hasil menggalakkan walaupun aspek tanah kadang-kadang mempengaruhi keberkesanan tersebut.
Di Malaysia, mengikut teori, pengeluaran 92 juta tan buah tandan segar sawit dari jumlah keluasan 4.4 juta hektar (tahun 2012) akan memerlukan 886,440 tan K20 atau bersamaan 1.5 juta tan MOP. Namun, oleh kerana biojisim sawit juga mengandungi kalium dan jika biojisim tersebut dikitar semula ke dalam tanah, maka jumlah keperluan dijangka lebih rendah daripada sepatutnya. Sebaliknya jika kadar larut resap adalah tinggi, keperluan tersebut akan meningkat semula.
Pada hakikat, penggunaan kalium boleh dijimatkan melalui kitar semula biojisim ke dalam tanah. Satu hektar daun dan pelepah sawit berjumlah 14.75 tan dan di dalamnya mengandungi 183kg kalium. Jika memasukkan sekali batang pokok tua, maka jumlah biojisim kering bagi satu hektar akan meningkat kepada 85 tan serta mengandungi kalium 1,255kg.
Selain itu, buah tandan segar pada jumlah keseluruhan tahun 2012 sebanyak 92 juta tan juga mengandungi 727,000 MOP (sumber kalium) manakala buah tandan kosong mengandungi 450,000 MOP (sumber kalium). Sekiranya kesemua buah tandan kosong ini dikitar semula ke dalam tanah, maka dapat memenuhi 30% keperluan baja kalium di ladang sawit di seluruh Malaysia.
Air buang kilang sawit (POME) juga mengandungi nutrien kalium. Menurut sumber, kadar kaliumnya adalah 140,000 tan atau bersamaan dengan 270,000 tan MOP yang dapat memenuhi 18% keperluan sawit terhadap kalium di ladang sawit Malaysia. Daripada sini, jelas kelihatan buah tandan kosong sawit serta POME sudah dapat memenuhi 48% keperluan kalium oleh tanaman sawit di seluruh Malaysia (tahun 2012). Nilai kewangan ini dianggar melebihi RM1 bilion setahun.
Keadaan ini menyatakan kenapa kedua-dua biojisim ini digalakkan untuk dikitar semula ke dalam tanah ladang sawit kerana proses kitaran semula dapat menjimat kos penanam sawit dengan ketara. Di era harga baja yang meningkat ini, aplikasi biojisim sawit di ladang sawit supaya menyuburkan tanah serta memperkasakan prestasi tanaman sawit adalah langkah yang wajar.
Sumber maklumat :
Khalid Haron, Ahmad Afandi M and Zulkifli Hashim, “The Fate of Potassium in Oil Palm Ecosystem: Where Does It Go ?” (Abstract), PIPOC 2013, Book of Abstracts, MPOB, 2013.